secawan kopi bisa mengajarkan erti hidup
Alhamdulillah, sekali lagi kesyukuran kupanjat buat Allah yang memilihku dan sahabat-sahabatku untuk berada di majlis ilmu 'Woman Issues' semalam. Percayalah, Allah telah memilih kita untuk berada di situ. Untuk memetik ranumnya buah ilmu. Sesungguhnya, andai kita tidak berada di majlis ilmu itu pastilah kita berada di tempat-tempat lain. Dan, percayalah seandainya kita tidak mengisi waktu kita dengan hal-hal kebaikan, pastilah hal-hal keburukan yang akan mengisi ruang waktu kita.
Tajuk malam tadi 'Total Motivation' sangat-sangat relevan dengan waktu sekarang. Waktu di mana students UIA sedang mengira detik untuk menempuh satu lagi 'mini test' iaitu Final Exam. Kurang dua minggu lagi.
Aku tertarik dengan satu video menunggu yang ditayangkan sementara menunggu penceramah tiba. Begini kisahnya...
********************************************
Sekumpulan pelajar alumni sebuah universiti telah datang menziarah pensyarah mereka, seorang profesor. Mereka saling bertukar khabar. Ramai di antara mereka yang mengadu tentang hidup mereka di alam pekerjaan yang penuh dengan stress, kesulitan, kepenatan dan kesibukan. Dan mereka teringin sekali untuk kembali ke zaman mereka belajar dahulu. Profesor itu hanya tersenyum mendengar aduan mereka. Lalu, beliau pun menawarkan minuman kopi kepada mereka. Semuanya nampak suka. Profesor itu pun ke belakang untuk membuat kopi.
Beberapa minit kemudian, profesor itu pun kembali dengan menatang satu teko kopi dan beberapa biji cawan. Yang anehnya, kesemua cawan-cawan itu semuanya datang dari pelbagai jenis bahan dan bentuk. Ada yang diperbuat daripada seramik, porselin, kaca, polisterin dan juga plastik. Ada yang nampak macam eksklusif dan ada yang nampak murah. Profesor itu pun menuangkan kopi itu ke dalam cawan-cawan tersebut.
Ternyata, ramai di antara mereka yang memilih kopi yang dituangkan ke dalam cawan yang nampak mahal dan eksklusif berbanding cawan yang murah seperti plastik dan polisterin. Profesor itu tersenyum melihat gelagat bekas-bekas pelajarnya itu. Lalu, dia pun mula bersuara.
"Anak-anakku, lihatlah... Itulah dia punca kepada permasalahan kamu semua."
Sambil tangannya menunjukkan ke arah cawan-cawan itu. Pelajar-pelajarnya kehairanan dan penuh tanda tanya.
"Tengok, kebanyakan dari kamu semua memilih cawan-cawan yang kelihatan mahal dan eksklusif sedangkan cawan-cawan yang kelihatan murah seperti plastik dan polisterin diketepikan. Sedangkan rasa kopi itu tetap sama.
Inilah dia punca kepada semua masalah kamu. Kebanyakan kita hanya mahu mengambil jalan yang kelihatan mudah. Kita memilih untuk senang, mudah dan selesa tanpa mahu mempedulikan kesulitan dan tekanan itu. Sedangkan hidup ini memang begitu. Penuh dengan dugaan. Adakalanya kita gembira, dan adakalanya kita berduka.
Seandainya kita memandang hidup ini dengan melihat hakikat sebenarnya, pasti kita akan merasa stress dan sulit setiap waktu. Anak-anakku, kopi itulah ibarat hidupmu. Dan cawan-cawan itu pula ibarat masalah-masalahmu dalam pekerjaan, peluang dan sebagainya. Tak penting apakah bentuk atau rupa cawan-cawan itu. Yang penting bagaimana kamu menikmati hirupan kopi itu."
********************************************
Begitulah, hidup ini bukan untuk sekadar itu saja. Sama juga dengan belajar. Kita perlu tahu apakah sebenarnya tujuan kita belajar. Betulkan niat kita belajar ini hanyalah kerana Allah. Dan apabila kita tahu dan sedar bahawa kita tidak belajar sekadar untuk mengejar kemewahan atau kesenangan pada masa depan, insyaAllah kita tidak akan merasa belajar itu satu beban. Pastikan kita belajar hanyalah kerana Allah. Dan semata-mata untuk menyumbang kepada Islam. Itulah sebenarnya 'Total Motivation' kita.
"SAVOR THE COFFEE, NOT THE CUP."
Boleh ya?
No comments:
Post a Comment