Tuesday, January 3, 2012

FASA BARU




Alhamdulillah. Tiada kata yang mampu terpacul dan terpercik dari hati juga mulut ini melainkan kalimat itu. Atas setiap hal dan peristiwa yang berlaku pada diri ini sepanjang tahun yang berlalu. 2012 membuka lembaran baru yang kukira benar-benar baru buat diri ini. InsyaAllah, satu pembuka dan pemula fasa hidupku yang baru. InsyaAllah, akan berakhirnya pengajianku dari  madrasah tarbiyah UIA ini, dan terus memulakan fasa seterusnya iaitu fasa pekerjaan. 

Alhamdulillah, temuduga tadi berjalan lancar. Diterima bekerja dan harus memulakannya esok. Jujur, perasaanku bercampur baur. Berselirat dengan pelbagai rasa dan jiwa. Untuk peperiksaan yang terakhir ini, aku belum menempuh satu kertas pun lagi. Peperiksaanku bermula 5hb, kemudian 6hb, 9hb dan akhirnya pada 12hb. Dalam keadaan kerisauan akan peperiksaan yang terakhir ini, Allah beriku rezeki, yang harus kupikul amanahnya. Aku perlu masuk kerja hari-hari termasuklah pada hari peperiksaan. Jika sampai waktu peperiksaan, aku diberi pelepasan untuk keluar menjawab kertas peperiksaan. Hanya mampu berusaha sedaya upaya, berdoa dan bertawakal agar semuanya dipermudahkan Allah. Dia Maha Pemurah, Maha Pemberi Rezeki dan Maha Menata Segela Urusan.  

Alhamdulillah, waktu malam yang Allah kurniakan buat manusia, hari ini aku melihat malam itu ibarat satu rahmat terbesar. Sebenarnya, setiap ciptaan Allah adalah suatu rahmat terbesar cuma kadang-kala kita sudah biasa hidup dengannya hingga tak merasakan kebesaran ciptaan Allah itu. Ya, malam. Malam lah waktu yang bakal menjadi 'siang' buatku. Malamlah saat aku akan menghamburkan segala usahaku untuk mengulangkaji dan menelaah pelajaran. Semoga Allah beriku kekuatan untuk memikul dua amanah dalam satu masa yang sama. Walaupun kalau diikutkan sejarah, aku ini adalah orang yang tak mampu melakukan dua perkara dalam masa yang sama. Sungguh aku takut, tapi aku harus menghadapi dan memenangkan keadaan ini. Pergantunganku harus total kali ini. Tiada lagi keraguan.

Alhamdulillah, mendapat sokongan dari keluarga adalah perkara yang utama juga. Cuma, mereka juga risau jika aku terkandas peperiksaan ini kerana tak dapat fokus. Itu sudah kufikirkan. Hanya satu yang terlintas di fikiran, aku akan cuba sebaik mungkin dan serahkan sebulatnya pada Allah untuk menetapkan keputusan. Aku tidak memandang lagi bahawa pensyarahku yang menentukan kelulusan dalam semua subjek, tapi Allah! Allah lah Pemarkah Utama yang kulihat satu-satunya sekarang. 

Alhamdulillah. Aku tak minta banyak dalam fasa hidupku seterusnya ini. Yang kuharapkan, tarbiyah berterusan, dakwah terus rancak, tanggungjawab pada keluarga terlaksana dan pembangunan diri berkembang. Adakah aku terlalu meminta sesuatu yang ideal? Tidak bagiku. Kerana setiap apa yang kita mahukan, kitalah yang menentukan tercapai atau tidak. Semoga Allah merahmati dan memberkati permintaanku ini. 

Buat yang membaca entri ini, kumohon doa kalian agar aku terus tegar dan teguh dalam menempuh fasa baru dalam hidupku ini. Aku perlukan kumpulan doa dari insan-insan yang mengenaliku saat ini. Jazakumulluhu khair kudahului andai sempat kalian mendoakanku. 

Semoga bertemu lagi sini.


(Maafkan diri ini kerana terlalu lama tidak berkongsi motivasi dan ilmu. Tiada alasan.)

Nur Syaheera Binti Mohd Yusoff
3 Januari 2012
6.36 PM