Sunday, June 19, 2011

KASIH AYAH

Kasih ayah...


Di bawah ini, tulisan lama. Kisah lama. Namun kisahnya masih lagi berkesinambungan. Hati ini begitu pedih. Pilu mengenangkan seorang ayah. Walau di mana dia berada. Semoga Allah beri petunjuk dan memeliharanya. Sungguh, tipulah andai diri ini mengatakan tidak pernah memikirnya..bahkan setiap hari. Dia pernah membesarkanku. Pernah menyayangiku. Selamat Hari Bapa buat ayahku. 

********************
Afwan terlebih dahulu...

Dia baru lepas menangis semahunya. Matanya merah menyala. Keluar saja dari bilik interview tadi, terus lagi air mata menghujan..Tadi, di depan tiga orang ustaz, dia telah menangis. Dia geram! Kerana dia terlalu lemah untuk menjadi keras. Lemah untuk menyembunyikan perasaannya. Malu sungguh!

Interview tentang apa?

Interview zakat. Ustaz itu sangat pandai menggunakan kata-katanya. Pandai sungguh psik pemikirannya. Biar apa pun masalah yang terpaksa diceritakan kepada tiga orang ustaz tadi, namun hanya satu perkara yang buat dia tak dapat menahan perasaan lalu 'burst' terus di situ.

Satu ayat dari seorang ustaz yang duduk paling kiri sekali...

"Walau apa pun yang ayah awak dah lakukan...ingatlah waktu awak kecil dulu, dia pernah mendukung awak, menimang awak...dia pernah sayang awak...Ingat yang itu saja..."

Air matanya terus berderai di situ. Semua ustaz menenangkannya dan memberinya masa untuk bertenang.. Mungkin dialah calon yang paling lama dalam bilik itu...

Dan lagi ustaz itu menyambung...

"Kesian...tua nanti dia hidup sunyi..seorang diri..ada penyakit...tak siapa tahu..."

Memang ada kebenarannya..Memang...Tapi, bila terkenangkan apa yang telah berlaku ke atas dirinya dan keluarganya, hati bagaikan membara semula..

Istighfar...

Dalam sudut hatinya....

"Dia tetap seorang ayah. Harus dihormati. Hanya doa agar ayahnya berubah dan kembali ke pangkal jalan. Menyesali segala kesalahan. Dan dirinya...inilah tugasnya sebagai seorang da'i untuk menegur, memperbaiki dan menyambung silaturrahim..."

Ayah dan ibu...
Itulah..permulaan kami...
Dapat melihat bulan dan matahari...

********************



SUDAH BERSIAP?


"Allahumma bariklana fi Rajab wa Sya'ban, wa balighna Ramadhan"

Bulan Rejab kini tinggal sisa. Sya'ban bakal menjengah sedikit waktu lagi. Kemudian, akan tibalah bulan penuh keberkahan, bulan yang dinanti, Bulan Ramadhan.

Namun, bagaimanakah persiapan kita untuk menempuhi bulan Ramadhan itu? Persiapan ruhi? Persiapan jasadi? Persiapan aqli? Sudahkan kita bersedia untuk masuk ke bulan tarbiyyah ini? Tidak sanggup rasanya untuk masuk ke bulan itu dengan 'tangan kosong'. Paling kurang, adalah sedikit buah tangan untuk kita bawa masuk ke bulan itu ya.

Setiap orang pasti masing-masing dengan persediaan tersendiri. Dari sudut ruhi, kita tingkatkan evaluasi ibadah kita. Bagaimana dengan qiyamullail, puasa, tilawah, hafalan dan solat sunat rawatib? Adakah semakin meningkat atau masih di tahap yang sama?

Dari sudut jasadi, kita perlu melakukan riadah bagi meningkatkan stamina supaya kita tak terkejut dengan perubahan fisiologi dalam badan kita. Stamina untuk bergerak di siang hari, terawikh di malamnya dan untuk bangun qiyamullai di sepanjang Ramadhan nanti. Kesemua ini perlu dipersiapkan dari sekarang, Kita tidak mahu hanya masuk ke bulan Ramadhan dengan sepintas lalu, mengharunginya tanpa spirit dan hambar. Lalu, pejam celik kita sudah keluar dari bulan tersebut.

Kita mahu menikmati seluruh kebaikan dan ganjaran yang Allah telah kurniakan kepada kita di bulan Ramadhan nanti. Bagaimana pula dengan persediaan aqli? Sudahkah kita semak kembali fiqh puasa? Niatnya masih ingat? Apa yang batalkan puasa? Dan yang penting, apa yang batalkan pahala puasa? Kelebihan-kelebihan, sunat-sunat yang kita harus lakukan sepanjang bulan puasa. Iktikaf? Bagaimana nak iktikaf? Apa syarat-syaratnya? Sudahkah kita sediakan ilmu-ilmu ini semua?

Bulan Ramadhan yang datang sekali setahun ini, sayang rasanya kalau kita biarkan ia berlalu seperti bulan-bulan lain. Tulisan kali ini lebih kepada reminder buat diri dan juga para pembaca. Semoga akan mampu mencetus mahu untuk berbuat sekarang. 

Teruskan dengan persiapan anda. Tingkatkan mana yang kurang. Lajukan mana yang perlahan. InsyaAllah, semoga bisa bertemu dengan Ramadhan kali ini. 

~Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna...~

Wednesday, June 15, 2011

STRESS? BRING IT ON!!

Sebagai seorang muslim, bagaimanakah cara kita menguruskan keadaan stress? Bagaimana untuk menyalurkannya pada tempat yang betul? Balik-balik, semuanya tergantung kepada iman kita. Iman yang di dalam itu akan refleks kepada setiap perkara yang di luar itu. Jadi, bagi mengetahui tips-tipsnya, mari kita luangkan masa ke sebuah majlis ilmu, 'Woman Issues' dengan tajuk minggu ini yang merupakan juga program akhir untuk semester ini iaitu "STRESS? BRING IT ON!!"


Jangan lupa: Ada Farewell Party (Majlis Wida') + Special Performance (Nasyeed Kumpulan Shoutul Humaira')

Menarik kan?
Apa tunggu lagi?
Fastabiqul Khairat!

Saturday, June 11, 2011

CERITERA CINTA 1 MALAM: KISAH MAJLIS ILMU

Adakah cinta yang kalian fikirkan itu adalah cinta yang ingin kukongsikan di sini? Ini adalah cinta luar biasa. Cinta ini bisa menyalurkan energi untuk mendapatkan cinta yang lebih banyak dan lebih besar lagi. Cinta yang bisa menghantarkan kita kepada Sang Pemilik Cinta. InsyaAllah.

cinta adalah kata kerja(credit to Freedom)

Hanya satu malam, satu sesi, satu bulatan, satu hati dan satu ikatan telah melahirkan sebuah kisah cinta luar biasa ini. Sebagai buah tangan untuk kali ini, ingin kukongsikan sebuah kisah cinta ini agar kalian turut merasa energi cinta yang membangkitkan kemahuan untuk bercinta dengan-Nya. InsyaAllah.

Kisah cinta: Majlis Ilmu

Kumpulan cinta (credit to addin love)


Pada suatu petang yang damai, sekumpulan hati telah berkumpul di dalam sebuah masjid dalam rangka menambah iman, menambah ilmu dan memperkukuh ukhuwwah. Lalu, dalam kemanisan berbincang, tiba-tiba kumpulan itu didatangi oleh seorang wanita Arab yang terburu-buru, berlari-lari anak ke arah mereka. Mereka kehairanan. Wanita itu lalu penuh semangat bersalaman dengan setiap dari mereka dengan penuh kecintaan dan kekaguman. Lantas apakah yang dilakukan oleh wanita itu menurut perkiraanmu? 

Subhanallah, terkedu seribu bahasa mereka melihat perlakuan wanita tersebut. Wanita itu menadah tangannya dengan penuh kobaran semangat serta keikhlasan, ia berdoa dengan penuh pengharapan, mendoakan majlis ilmu itu agar diberkati Allah, ia berdoa agar majlis ilmu itu tetap istiqomah... Subhanallah! Tanpa mengenal siapa, tanpa mengenal nama, tanpa pertalian apa-apa, sebuah cinta terlahir petang itu. Alangkah indahnya cinta itu. Cinta yang tiadalah punca selain kecintaan kepada Allah. 

Cinta yang terdasar dari iman kerana kita mengetahui, ukhuwwah itu saudaranya iman. Maka, pasti! Cinta kepada Allah lah yang telah menurunkan kecintaan kepada wanita itu untuk bercinta dengan sekumpulan hati itu. Alhamdulillah, satu lagi kisah cinta terjalin. Rahmat dari-Nya, kurniaan tak ternilai!

Maka, masihkah kalian ingin berpaling dari cinta ini? Di mana cinta ini telah termaktub dalam sebuah hadis cinta..inilah dalil cinta majlis ilmu...renungkanlah dan jentiklah iman agar tersedar dari mimpi yang lena.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki
para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t.
Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa
memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis
yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di
mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah
memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan
langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar,
para malikat naik ke langit.



Allah s.w.t bertanya para malaikat meskipun Allah mengetahui pergerakan mereka:
“Dari mana kamu datang?”

Malaikat menjawab:“Kami datang dari tempat hamba-hambaMu di dunia.
Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu.”


Allah s.w.t berfirman:“Apakah yang mereka pohonkan.?”

Para Malaikat menjawab:“Mereka memohon Syurga dari-Mu.”

Allah berfirman:“Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?”

Para Malaikat menjawab:“Belum, wahai Tuhan.”
Allah berfirman:“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Syurga-Ku?”

Malaikat berkata lagi:“Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan.”


Allah berfirman:“Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa?”

Malaikat menjawab:“Dari Neraka-Mu, wahai tuhan.”

Allah berfirman:“Apakah mereka pernah melihat Neraka-Ku?”

Malaikat menjawab:“Belum.”

Allah berfirman:“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Neraka-Ku.”

Malaikat terus berkata:“Mereka juga memohon keampunan-Mu.”

Allah berfirman:“Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada
mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala
kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan.”


Malaikat berkata lagi:“Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang
hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk
menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa
ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di
majlis itu.”





Allah berfirman:“Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.”


Tuesday, June 7, 2011

BOIKOT WORDPRESS! (Bersekongkol Menghina Islam)

Petikan artikel dari blog Mazidul Akmal Sidik

*********************************************************
Kini heboh kes berhubung blog menghina Islam

Pihak bertanggungjawab dilaporkan menjumpai blog menghina Islam secara keterlaluan itu pada 11 Mei lalu dan bertindak pantas memohon WordPress memadamkan blog terbabit sehari kemudian.

Malangnya, saya difahamkan Wordpress enggan bekerjasama kerana polisinya.

Berikut antara petikan kenyataan WordPress ...

' ... we will not shut down blogs because they are offensive. We think the right response to bad or offensive ideas is to speak out against them, not to censor them ...'

Saya percaya umat Islam sebahagian besar pengguna WordPress.

Lihat identiti mereka terbabit membangunkan WordPress di sini.

Wajarkah kita terus bersekongkol menggunakan WordPress sekaligus menggambarkan sokongan kita kepada polisinya?

... menganggap penghinaan terhadap Islam, offensive sebagai freedom of speech.

Jika tidak bersetuju dengan amalan WordPress, demi kesucian Islam, mari bersama kita BOIKOT WordPress!

Nyatakan bantahan anda kepada WordPress di sini. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. 


Namun jika pembaca berasa tindakan dicadangkan tidak wajar, carilah kaedah lebih berkesan asalkan blog terbabit dipadamkan.



Bagi saya, selagi WordPress tidak memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa di Malaysia, selagi itu logo di atas berada dalam keadaan sama.

Kepada sebilangan pembaca melontarkan komen disuntik perasaan kebencian, just keep that to yourself dan usah berbuat apa-apa sekaligus anggaplah penghinaan itu sebagai sebahagian daripada freedom of speech!

Kemas Kini

Setakat ini, 2 daripada 3 salinan blog terbabit telah berjaya disekat oleh ISP, Internet Service Provider negara kita.

... tanpa bantuan WordPress.

Itu fakta.

*******************************************
Saya, Nur Syaheera Mohd Yusoff telah pun menghantar aduan bantahan kepada WordPress. Anda bagaimana? Sungguh Islam, Allah, Nabi Muhammad telah dihinakan sehina-hinanya di dalam blog 'makcik' tersebut. Kita tidak boleh berdiam diri. Mari beraksi para da'i!

WOMAN ISSUES: MY MR. RIGHT!

Poster Info Woman Issues

Bulan Jun kelihatannya begitu meriah dengan undangan walimah dan juga majlis akad nikah. Begitu terasa kehangatan gerbang pernikahan itu. Kita yang mendengarnya terkadang merasa juga tempiasnya ya. Dari sudut perasaan dan pemikiran. 

Selanjutnya, hati berbicara sendirian. Ada juga yang dilanda kekhuatiran, kerisauan dan keinginan. Namun begitu, ini boleh diatasi. Marilah kita bersama menghayati Perkahwinan Islam itu secara benarnya. 

'Woman Issues' kembali membawa peranan dalam mengutarakan isu-isu kewanitaan yang sangat-sangat berguna buat semua wanita, InsyaAllah. Minggu ini, dengan gaya Chit-chat husband&wife, membawa Dr. Mira Kartiwi dan suaminya, Dr. Tedy Surya Gunawan dalam membicarakan isu 'My Mr. Right'.

Jangan ketinggalan! Semoga semua kita dapat hadir bagu menimba ilmu dan tips-tips pernikahan dalam Islam yang diberkahi..

Monday, June 6, 2011

DALAM LARIAN IMAN, KADANG KAKI TERSADUNG...

Andai tersadung...bangunlah kembali

Tranformasi diri…

Setelah kita menemukan permata tarbiyyah dalam hidup, pasti akan mengalami suatu proses. Proses di mana transformasi mengambil tempat dalam rutin harian kita. Dari segala aspek. Dari segala sudut pandang. Barangkali pemikiran kita, penampilan kita, sensitiviti kita atau juga dari segi tindakan kita. Kesemuanya dirangkum dalam transformasi proses tarbiyyah. Proses yang kemudiannya menjadikan seorang yang matang, serius dan tenang. Keadaan ini tidak statik. Penerokaan potensi diri membawa kita kepada orbit yang lebih luas. Di mana sumber daya manusia diperluaskan lagi. Semakin banyak peranan dan ‘topi’ harus dikenakan. Setiap ruang dan peluang diberdayagunakan. Menjadikan kita seorang yang ‘fleksibel’, ‘multitasking’ dan ‘efisyen’.

Larian iman…

Padang amal semakin luas. Larian iman juga semakin kencang. Kedua-duanya perlu seiring. Kerana bekalan iman itu diperlukan dalam meniti ruang amal. Kerana dari bekalan itu kita mendapat kekuatan, keyakinan dan semangat yang total yang sumbernya dari Allah SWT. Namun tak dinafikan dalam larian iman ini, kadang mata terlari dari target, fikiran tersimpang dari fokus sehingga mengaburi jejak matlamat. Dalam keadaan inilah, kaki kita boleh tersadung. Kelelahan mendatang, kemalasan membungkam dan kefuturan menikam.

Kita perlu bekal…

Tarbiyah dzatiyah yang jitu perlu kita siap sediakan. Disiplin dalam menerajui mutaba’ah ibadah sangat-sangat membantu. Selain itu tetaplah kebersamaan dengan lingkungan kesolehan. Selagi kita memegang ketiga-tiga elemen ini, InsyaAllah…kaki yang tersadung itu akan mampu berdiri kembali. Langkah pasti akan bertatih kembali dan akhirnya larian iman dapat diteruskan seperti sediakala. Rahsianya adalah jangan berlama. Jangan melayani. Jangan menjauhi. Rahsianya lagi adalah paksa hati, ikat jiwa dan tanamkan tekad untuk terus berjuang dalam larian iman. Ujian dan mehnah itu dianggap sebagai sunnatullah. Menikmati ujian sambil bermujahadah, sangat manis.

Tatapilah ini…

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, hewan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik" (Ali Imran:14)

Sunday, June 5, 2011

PERKONGSIAN EMAS: PUBLIC FORUM “Ikhwan Muslimin’s Role in Building A New Middle East”



“Ikhwan Muslimin’s Role in Building A New Middle East”

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, saya telah berkesempatan untuk duduk bersama dalam majlis forum yang dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia di Dewan Sivik MBPJ pada 4 Jun 2011, jam 8.30 malam.

Speakers istimewa yang dijemput khas ialah:
1.       Sheikh Hussein Ibrahim (Leader of Ikhwan Muslimin of Egypt Ikhwan Muslimin’s Former Member of the Egyptian Parliament).
2.       Dr. Nasser Sani (Leader of an Islamin Movement of Kuwait).
3.       Bapak Luthfi Hassan Ishaaq (Presiden Partai Keadilan Sejahtera Indonesia).




Pertemuan dengan 3 tokoh besar pada malam itu telah menjelaskan isu tentang revolusi di Timur Tengah terutamanya di Mesir. Moderator forum pada malam itu ialah Ir. Haji Zairulshahfuddin Zainal Abidin (Member of the National Representative Council of IKRAM) dan juga penterjemah malam itu ialah Ustaz Alias.

Sheikh Hussein Ibrahim
Walaupun terdapat batasan bahasa di mana Sheikh Hussein berbahasa arab yang diterjemahkan oleh Ustaz Alias, namun tidak terasa langsung ada jurang di antara panel dan hadirin yang hadir. Saya melihat perwatakan Sheikh Hussein yang begitu lembut, ampuh, penuh hikmah dan sangat-sangat teratur susun katanya. Dan yang paling ketara adalah cetakan yang dibawanya sebagai seorang da’i, yang membawa nama Ikhwanul Muslimin, di mana saya dapat lihat fikrahnya begitu jelas. Jelas dari segala aspek. Ke mana saja soalan yang diutarakan, jawapannya tetap tidak lari dari ‘membawa manusia kepada Islam’.
Cukup jelas apa yang dikatakan oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dalam Risalah Pergerakan Ikhwanul Muslimin ‘Kepada Apa Kami Menyeru Manusia?’ begitu jelas mesej yang disampaikan oleh Sheikh Hussein.
Beliau juga berulang kali menekankan bahawan revolusi di Mesir adalah karomah dan berkah dari Allah. Kemenangan revolusi yang awalannya dicetuskan oleh syabab(pemuda) namun akhirannya adalah milik semua rakyat Mesir. Tiada yang terketepi, samada gologan majoriti ataupun minoriti mendapatkan hak kemenangan yang sama.
Beliau mengulang-ulang dan menekankan bahawa pimpinan IM adalah pimpinan rakyat yang akan boleh dijatuhkan juga oleh rakyat. Dan yang terutama, pimpinan IM akan membawa syariah Islamiyyah di suatu tempat yang utama. Al-Qur’an dan Sunnah menjadi sumber rujukan utama. Syariah diutamakan.

Dr. Nasser Sani
Beralih kepada panelis kedua iaitu Dr. Nasser Sani, seorang panelis yang cukup bersemangat dan sangat-sangat mesra. Ada saja seloroh atau ‘pembuka selera’ yang di bawanya sebelum menjawab soalan moderator. Kata-katanya cukup padu, penuh spirit dan sangat menyegarkan. Beliau banyak menyentuh tentang isu Timur Tengah secara general. Satu soalan yang diutarakan olehnye sebelum menjawab soalan pertama ialah ;
“Adakah anda semua di dalam dewan ini menjangkakan bahawa revolusi yang berlaku(Tunisia dan Mesir) itu akan berlaku pada saat itu? Siapa yang tidak menjangkannya sila angkat tangan.”
Hampir satu dewan mengangkat tangan. Memang, menurut beliau memang seluruh dunia juga tidak menjangkakan peristiwa revolusi ini akan tercetus. Tetapi, beliau menceritakan kepada hadirin bahawa sebenarnya revolusi ini telah dirancangkan, telah dibincangkan dan telah strategikan lebih kurang 3 tahun yang lepas. Sangat-sangat memeranjatkan.
Beliau berkongsi cerita di mana sewaktu tercetusnya revolusi Mesir, seorang sahabatnya menelefon beliau dan beliau menjawab, “I told you before. Its happening.” (lebih kuranglah).
Cuma saatnya itu tercetus adalah suatu rahmat dan karomah dari Allah SWT. Di mana semua rakyat Mesir turun tanpa mengira dari aliran apa mereka. Pemuda adalah sumber tercetusnya revolusi dan kemudian merebak ke seluruh lapisan rakyat Mesir.

Bapak Luthfi Hassan Ishaaq
Daripada Pak Luthfi pula, soalan berkaitan kesan dan hubungan revolusi itu dengan Nusantara diajukan. Pak Luthfi bagi saya seorang yang sangat ‘critical thinking’. Cara beliau menganalisa keadaan lalu mengaitkan dengan Nusantara sangat-sangat berperspektif. Menurut beliau, barat/eropah sebenar menunggu-nunggu acuan dari pemerintahan sebuah Negara Islam (contohnya Mesir) di mana Parti Islam yang memerintah secara total.
Mereka(barat/eropah) sedia menerima apa-apa elemen Islam yang baik dan boleh mereka terima. Mereka juga mahu Islam menerima apa-apa elemen dari mereka yang mereka rasakan Islam patut menerimanya. Tetapi, titik halangannya adalah, mereka ini sangat takut/fobia dengan Islam itu sendiri kerana mereka khuatir Islam akan membalas dendam ke atas segala oposisi n opressi yang umat Islam hadapi dahulu dan saat ini. Ini yang mereka khuatirkan. Jadi, kesimpulannya menurut Pak Luthfi, mereka masih takut jika pemerintahan sesebuah Negara jatuh ke tangan Parti Islam dan mereka masih lagi menunggu acuan contoh seperti Mesir barangkali.

Apa yang di sisi kita?
Kita adalah sebahagian dari perjuangan mereka. Ikhwan Muslimin terutamanya melihat perjuangan revolusi ini adalah perjuangan rakyat bahkan perjuangan umat Islam secara keseluruhannya. Mereka sangat-sangat ditekan semasa pemerintahan Hosni Mubarak. Dan kemenangan dalam revolusi ini adalah suatu karomah dan berkah dari Allah buat mereka.
Ikhwan Muslimin dipandang sebagai sebuah parti yang terlalu tegas dan akan mengancam golongan minoriti Kristian di Mesri. Tetapi ini telah dijelaskan oleh Sheikh Hussein bahawa pemerintahan Ikhwan Muslimin tidak akan mengetepikan golongan minoriti. Semua rakyat Mesir berhak menerima bahagian masing-masing. Keadilan, kebebasan dan hak-hak akan dibahagikan sama rata.
Apa yang kita lihat, mereka tertekan dalam masa yang lama. Akhirnya kebangkitan telah menumbangkan tirani. Tetapi perjalanan selepas itu bukanlah mudah. Perubahan itu tidak dapat dilakukan secepat satu petikan jari. Ia memakan masa yang lama.
Kita belajar daripada mereka. Tentang semangat, optimis, keyakinan dan cita-cita serta semangat. Mungkin kita tidaklah harus beraksi seperti mereka hingga mengorbankan banyak nyawa. Tetapi banyak elemen yang boleh kita cedok dari mereka.
Alhamdulillah, masih banyak lagi yang mahu dikongsi, namun tidak dapat untuk dihamburkan semuanya di medan ini. InsyaAllah, katanya akan diuploadkan ke Youtube video rakaman forum tersebut.
Semoga setiap dari kita akan mendapatkan sesuatu yang berharga dari perkongsian 3 tokoh besar ini. Minta maaf andai ada yang terlari dari apa yang berlaku malam itu. Kerana tidak mencatat, hanya catat di fikiran sahaja.
Wallahu’alam.