Friday, March 4, 2011

BUKAN PADA TANAH ATAU API.TAPI...


Alhamdulillah....Tepat pukul 11.15pm semalam, ta'lim yang kuiikuti pun tamat. Ustaz@ Dr. Muhammad Abduh atau lebih mesra dengan panggilan Pak Abduh mengupas tajuk "Perangkap-perangkap Syaitan". Ternyata, terlalu banyak ilmu dan input yang kuperoleh sepanjang ta'lim semalam.

Pak Abduh membuka taujihnya dengan satu ayat di mana ayat ini secara solidnya menggambarkan deklarasi syaitan yang dibuatnya kepada Allah.

Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

(Surah Al-A'raf:16-17)

Cukup solid dan jelas. Dan kita sebagai manusia yang punya akal, sewajibnya harus tahu bahawa kita hanya punya dua pilihan saja setelah membaca ayat itu. Untuk menjadi sekutunya ataupun memusuhinya.

Menurut Pak Abduh, manusia ini ada dua macam. Satu, bila disebut saja 'syaitan', maka dalam hatinya ada ketakutan, ada perasaan seram dan meremang. Yang kedua, bila disebut saja tentang syaitan, maka terus dalam fikirannya "Ah, syaitan itu telah secara jelas membuat deklarasi bahawa dia akan menyesatkan anak Adam dan membawa mereka bersama menemaninya di neraka. Maka, inilah musuhku. Jelas sekali aku harus memusuhinya."

Jadi, pilihan kita itu hanya ada dua saja kan? Menjadi sekutunya atau memusuhinya. Tapi kebanyakan manusia, tidak sedar bahawa pilihan mereka itu sering kali jatuh atau berat kepada menjadi sekutu kepada syaitan. Na'udzubillahi min dzalik...

Dan bagi kita manusia, seharusnya kita mengetahui siapa syaitan itu. Kerana jika kita tidak tahu siapakah musuh kita, yang ingin kita hadapi itu, maka kita tidak akan tahu makna 'fitri' atau kemenangan itu. Dengan mengenali musuh kita, kita akan dapat mengetahui kelemahannya.

Ternyata, yang sebenarnya penglaknatan Allah terhadap iblis dan pengusirannya dari syurga bukanlah disebabkan kerana keimanan iblis. Tetapi hanyalah kerana ketaatannya. Bak kata Pak Abduh semalam..

"Bukan pada tanah atau api. Tetapi pada KETAATANnya sang iblis."

Iblis itu bukanlah tidak meyakini kewujudan Allah. Bahkan ia sangat yakin bahawa Allah itu wujud. Dan ia sebenarnya sangat menyakini ketuhanan Allah. Tidak pernah ia mendeklarasikan dirinya sebagai Tuhan. Tiada masalah dengan keimanannya. Namun begitu, apa yang menjadi musabab pengusirannya hanyalah kerana ketaatanya yang tidak total kepada Allah. Iblis, makhluk yang mulia pada awalnya. Ia dapat melihat Allah, berbicara secara terus dengan Allah, dan beribadah setiap waktu di atas sana. Cukup mulia.

Namun, setelah Allah menciptakan Adam a.s dan meminta semua malaikat tunduk sujud padanya, semua para malaikat pun sujud kecualilah Iblis. Lalu Allah berfirman:

Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

Allah berfirman: “Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”

(Surah Al-A'raf: 12-13)

Kesombongannya. Ketaatnya. Di sinilah rupanya ujian Allah buat iblis. Bukan masalah keimanannya tetapi ketaatannya..Bukan pada tanah atau api..tetapi pada ketaatnya. Ternyata iblis gagal dalam ujian itu. Maka natijah, Allah melaknat iblis dan seluruh keturunannya.

Begitulah sejarahnya. Dan kembali kepada tajuk ta'lim iaitu 'Perangkap=perangkap syaitan', mari kita lihat siapakah yang menjadi sekutu syaitan.

Rasulullah SAW, bertanya ….. “Man Anta?” (Siapakah kamu?)
Iblis menjawab,
“Aku Iblis”
Rasulullah SAW, bertanya lagi….
“Mengapa kamu datang ke mari?”
Jawab Iblis,
“Aku diperintahkan oleh Allah SWT agar datang kepadamu untuk menjawab pertanyaan apapun dari mu.”

Maka Rasulullah SAW, seraya bertanya lagi, ….. “Hai iblis! siapa sajakah sekutumu dari umatku?”
“10 orang” jawab Iblis… “iaitu”:

1. Hakim yang tidak adil.

2. Orang kaya yang sombong.

3. Pedagang yang tidak jujur

4. Peminum arak.

5. Orang yang suka memfitnah saudaranya.

6. Orang yang beramal kerana ingin nama (riak).

7. Orang yang memakan harta anak yatim.

8. Orang yang melalaikan sholat.

9. Orang yang tidak mahu berzakat.

10. Orang yang sering berhayal (panjang angn-angannya).

“Mereka itulah sahabat dan saudaraku,” tambah iblis mengakhiri.

Semoga perkongsian kali ini bisa memberikan input dan informasi bagi yang tidak berkesempatan mendengarkan ta'lim Pak Abduh semalam. Sahabat, kita telah mengenali siapa musuh kita, juga siapa yang menjadi sekutu musuh kita. Marilah kita berdoa supaya dijauhkan dari semua ini. Bersihkanlah niat kita dalam setiap perkara.

Satu lagi input yang Pak Abduh sampaikan...Bagi orang-orang yang beriman (kuat imannya) atau para aktivis dakwah, godaan syaitan itu bukanlah yang menggodanya untuk melakukan maksiat dahulu, tetapi ia menggoda mereka untuk berbuat hal-hal yang mubah sehingga melupakan hal-hal yang sunnah. Apakah hal-hal yang mubah itu? Hal-hal yang tidak haram, bisa saja dilakukan seperti bermain, makan, berjual beli dan sebagainya. Itu mungkin bab lain jika ingin dikupaskan.

Setakat ini saja perkongsian kali ini. Semoga bermanfaat.






No comments:

Post a Comment