Di suatu padang pasir yang panas terik, bermulalah perjalanan musafir seorang ayah dan anak lelakinya dengan seekor unta sebagai kenderaan mereka. Dengan hanya ada seekor unta, maka mereka terpaksa mengenderaainya secara bergilir.
Anak yang soleh itu pun mempersilakan ayahnya untuk naik ke atas unta mereka. “Wahai ayahku, naiklah dan biarkan aku yang berjalan kerana aku lebih muda dan bertenaga berbanding ayah.” Maka sang ayah pun naik dengan perasaan bangga terhadap kebaikan anaknya.
Perjalanan mereka diteruskan sehingga melalui sebuah perkampungan. Orang-orang di situ memandang mereka berdua dengan pandangan yang sangat pelik dan tidak puas hati.
“Ya syaikh, apa ini?! Kamu membiarkan anakmu yang berjalan sedangkan kamu enak-enak saja di atas unta itu,” kedengaran suara seseorang yang begitu tidak puas hati melihat situasi itu.
Si ayah merasa malu. Dengan perasaan serba salah, maka dia pun turun dari unta itu.
“Wahai anakku, sudah kau dengari bukan? Sekarang, naiklah dan biarkan aku yang berjalan kerana aku ini ayahmu yang sepatutnya melindungimu. Naiklah.” Si ayah bernada lembut.
Maka sang anak pun naik dengan perasaan yang terharu atas keprihatinan si ayah. Perjalanan mereka pun diteruskan sehinggalah mereka melalui sebuah lagi kampung yang lain. Ternyata, di kampung itu juga, mereka dipandang sinis dan pelik sekali lagi.
“Hai anak muda! Sungguh, perbuatanmu sangat-sangat tidak bermaruah dan zalim. Apakah kau tidak kasihan akan ayahmu yang sudah tua itu, berjalan kaki sedangkan tubuhmu yang muda dan segar itu ditampung oleh unta ini?”
Si anak jadi sedih mendengar herdikan itu lalu ia pun turun dengan penuh rasa simpati. Nah, jadi…yang mana satu ini? Mana yang seharusnya diambil? Waduh, bikin pening ni! Akhirnya, sang ayah dan anak pun sama-sama berjalan kaki kerana tidak tahu yang mana satu harus mereka ikuti.
Perjalanan pun diteruskan sehinggalah mereka melalui satu lagi kampung yang lain. Nah lagi, orang-orang di situ tersenyum-senyum sinis dengan lirikan mata yang mengejek.
“Wahai si tua dan anak muda, apakah kamu berdua ini tidak punya otak? Atau kamu berdua ini sakit? Kamu kan punya unta sebagai kenderaan. Mengapa tidak dinaiki?”
Sang ayah dan si anak lalu berpandangan sesama mereka dalam kebingungan.
Begitulah saudaraku sekalian,
Kita tidak akan dapat memuaskan hati setiap orang. Dalam mencari yang mana lebih sesuai itu sulit sekali. Begitu juga dengan amal. Untuk melakukan kebaikan itu pasti akan ada orang yang mengata dan tidak berpuas hati dengan kita. Namun ingatlah, jika kau melakukan sesuatu kerana selain Allah, itu syirik. Dan jika kau meninggalkan sesuatu kebaikan kerana manusia, itulah riak kepada Allah. Maka, lakukanlah segala sesuatu itu hanya kerana Allah. Lakukanlah hanya kerana mengharapkan ridho Allah dan untuk mendapatkan pahala dari Allah. Dan itulah keikhlasan sebenar.
Bila ada orang mengatamu, maka kau harus senyum dan ceria selalu. Kerana apa? Kerana kita rupanya sedang mengambil pahala dari orang tersebut. Jadi, kenapa harus sedih? Betul?
Jadilah kamu tentera fikrah dan akidah tapi janganlah jadi tentera manfaat dan maslahat. Semoga setiap amal kita terhias rasa ikhlas tanpa ada yang menjadi dasarnya melainkan Allah. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment