Umar r.a. masuk ke masjid dan melihat Mu’adz bin Jabal sedang menangis di sisi kuburan Rasulullah saw. , Umar bertanya, “Apa yang membuatmu menangis wahai Mu’adz?” Mu’adz menjawab bahawa dia mendengar Rasulullah saw. Bersabda, “Sesungguhnya sedikit dari riya’ adalah syirik. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berrtaqwa yang tersembunyi, iaitu orang-orang yang apabila mereka tidak ada maka tidak ada orang merasa kehilangan dan apabila mereka hadir maka mereka tidak diketahui. Hati mereka bagaikan sinar petunjuk yang selamat dari debu yang pekat.” (HR. Ath-Thabrani)
Kita telah mengetahui bahawa meskipun kita memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap agama, tetapi keperluan kita terhadap keikhlasan amal kepada Allah itu adalah lebih besar.
Dengan adanya niat yang ikhlas, maka itulah tiket bagi menghantarkan setiap amal-amal yang telah diperbuat.
Generasi sahabat, para tabi’in dan ulama’ salaf pendahulu, sangat-sangat memperhatikan soal keihlasan ini. Oleh sebab itulah kita melihat betapa besar dan luar biasanya setiap amal yang dikerjakan mereka. Kita juga membaca kisah-kisah mereka, di antaranya ada yang menulis buku tetapi tidak menisbatkan buku itu kepada dirinya sendiri kerana khuatir jatuh ke lubang riya’.
Ada juga yang berusaha menyembunyikan amal-amal sehinggalah tidak ada orang yang tahu bahawa dia yang telah memberi makan kepada orang-orang miskin di Madinah kecuali setelah meninggal dunia. Ibarat semut hitam, di atas batu hitam dan di malam gelap gelita. Tiada yang terlihat akannya.
Di sini kita melihat momentum ikhlas yang umat kini sering sahaja memberikan alasan bahawa “ikhlas tu susah…”, “Allah saja yang tahu…”, atau “kita mana boleh dapat kesempurnaan ikhlas…” dan lain-lain lagi itu sebenarnya hanyalah alasan untuk tidak berbuat. Generasi kini nampaknya telah memposisikan konsep ikhlas ini di tempat yang salah. Dek kerana ingin menjaga ikhlas, maka mereka lebih suka menolak daripada berbuat di depan khayalak. Contohnya, dalam menyampai dan perkongsian ilmu. Alasannya, ingin menjaga ikhlas ataupun ingin tawadhu’. Ternyata konsep ikhlas di sini telah disalahletakkan tempatnya.
Muhasabah kembali, adakah kita ini termasuk di kalangan yang betul-betul ingin menjaga ikhlasnya atau sebenarnya hanya memberi alasan untuk tidak berbuat. “Saya takut...cukup takut kalau-kalau saya terima tugas ni saya tak berbuat apa yang saya cakap .” “Saya taknak sekadar cakap tapi tak buat.” dan lain-lain lagi. Kenapa masih memberi alasan dalam kebaikan? Tiada alasan ataupun riya’ dalam kebaikan jika kita mengetahui dan memahami erti kata ikhlas yang sebenar. Ingat, kata-kata dari Fudhail B. Iyadh, “Meninggalkan perbuatan kerana manusia adalah riya’ dan melakukan perbuatan untuk manusia adalah syirik, sedangkan ikhlas adalah Allah membebaskanmu dari keduanya.”
Maka, setelah kita mengetahui akan hebat dan luar biasanya momentum ikhlas ini, bukan menjadikan kita sebagai orang yang pasif dalam melakukan kebaikan sebaliknya sentiasa ‘fastabiqu khairat’ dan menjadi orang yang terkedepan dan terdahulu dalam merespon setiap amal-amal kebaikan yang diserukan.
InsyaAllah, semoga kita sama-sama evaluasi diri dan moga lebih membuka minda-minda, menjentik hati-hati serta menggugah jiwa-jiwa yang masih ada keraguan dalam mengerjakan kebaikan lantaran ingin menjaga keikhlasan. Let’s check it out!
No comments:
Post a Comment