Saturday, November 13, 2010

DIA IDAMANKU


Aku membuka laman isi kandungan buku Teladan Tarbiyah tulisan Parman Hanif M. Pd.
Mataku tertangkap perkataan 'Manusia Bercadar'. Macam menarik bunyinya. Sudah lama aku tidak membuka buku ini sejak kubeli. Sempat membelek-belek dan membaca beberapa tajuk sahaja. Semalam, hati ini berdetik untuk menyambung kembali bacaan yang sudah agak lama kutinggalkan.

Setiap dari kita sering bermain tarik tali dalam hal keikhlasan. Benar atau tidak, hanya hati anda yang bisa menjawabnya. Dan hanya Pencipta hati itu yang mengetahuinya. Kerna seperti yang telah saya bicarakan dalam entri 'IBARAT SEMUT HITAM', ikhlas ini rahsia hati yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Kadang-kala, dalam kita bersemangat dan penuh komitmen dalam sesuatu kerja, tiba-tiba hadir perasaan riak. Ya! Tanpa kita sedari. Kadang-kala hanya kerana sekilas rasa itu, bisa membinasakan seluruh bangunan kerja yang kita perbuatkan. Macam game UNO, satu tarikan yang salah bisa merobohkan susunan blok itu. Dahsyat ya penangan ikhlas ini?

Bagaimana membina hati yang penuh keikhlasan? Semoga kisah 'Manusia Bercadar' ini bisa kita jadikan motivasi dalam membina hati yang ikhlas. Yuk sama-sama simak!

>>>>

Dalam satu peperangan, Maslamah, sang panglima khalifah yakin bahawa kemenangan akan diperoleh pihaknya jika pasukannya mampu menerobos benteng musuh. Persoalananya, bagaimana?

Selepas meneliti dan membuat perkiraan, Maslamah menyimpulkan bahawa terdapat lorong yang memungkinkan untuk ditembus. Dan itu memerlukan relawan yang berani untuk melakukannya. Jika ia berhasil masuk ke dalam benteng, maka ia akan dapat membukakan pintu sebagai jalan masuk penyerbuan lebih lanjut.

Setelah selesai mengemukakan strateginya, Maslamah menatap satu-persatu wajah pejuangnya. Sedang dia bertafakur, tiba-tiba dari arah lain datang seorang lelaki berkuda dengan wajahnya ditutup cadar. Ia sanggup untuk melaksanakan tugas berat tersebut saat itu juga. Ia pun berangkat sambil Maslamah melepaskannya dengan bekal doa.

Beberapa lama kemudian, terdengar teriakan takbir dari pintu benteng. Nampaknya dia telah berhasil menerobos benteng musuh. Suara itu membangkitkan semangat tentera muslimin. Bagaikan air bah, para mujahidin fi sabilillah itu menyerbu masuk. Dalam waktu yang singkat, benteng jatuh dan pasukan musuh dapat dihancurkan.



Setelah perang selesai, Maslamah masih memikirkan perajurit bercadar tadi. Ia perintahkan seluruh tenteranya untuk mencari. Sampai waktu yang lama, masih tiada yang mengaku. Namun, tidak lama kemudian, datanglah seorang orang yang bercadar mendekatinya. Ia bertanya, "Apakah tuan masih mencari perajurit bercadar tadi?"

"Benar. Kaukah orangnya?"
"Saya dapat menunjukkan orangnya, asal tuan mahu berjanji kepadaku."
"Baiklah. Apa yang harus kujanji?"
"Tuan jangan menanyakan siapa namanya, jangan memberi hadiah apa pun kepadanya dan jangan menceritakan kepada seorang pun. Apakah tuan berjanji?"

"Ya, saya berjanji."
"Ketahuilah tuan, orang itu adalah yang ada di hadapan tuan."

Mendengar jawapan itu, Maslamah terus memeluk erat perajurit yang mukhlis itu. Selanjutnya, setelah orang bercadar itu berlalu, Maslamah mengangkat tangannya berdoa,

"Ya Allah, kumpulkanlah aku bersamanya di syurga kelak!"

Allahu Akbar!

Perkongsian ulasan dari Embun Tarbiyah yang saya sempat copykan di sini:

>>>>

Subhanallah.

Ikhwahfillah,

Kiranya cerminan kisah ini merupakan penyemangat bagi diri kita untuk selalu berusaha berjuang meraih keridhaan meskipun kita tiada dikenal atau tidak pada posisi struktural. Berusaha tanpa pamrih jalankan amanah yang amat berat sekalipun karena itulah tantangan.

Ikhwahfillah,

Saat ini yang dibutuhkan umat muslim adalah orang-orang yang mukhlis dalam berjuang ketika musuh-musuh Islam bersatu untuk menghancurkan Islam dari semua sisi.Orang-orang mukhlis yang tidak menunggu bola tapi menjemput bola. Mengawali untuk berdakwah sesuai dengan kemampuan. Menjadi Pioner. Pioner yang akan selalu mengawali berbuat baik dari hal terkecil, walau sekedar menyingkirkan batu dari jalanan.Pioner untuk selalu berfikir kreatif demi kelangsungan dakwah Islam.

Ikhwahfillah,

Masihkah kita kecewa apabila teman aktivis kita lebih dikenal sedangkan kita yang lebih banyak berkorban dilupakan?

Apakah diri berfikir untuk mundur dari dunia dakwah, saat merasa tiada orang yang peduli dengan keberadaan kita?

Jika jawabannya YA, pertanyakanlah nilai Keikhlasan itu.

Bukankah sang manusia bercadar TIDAK INGIN DIKENAL!!!


Maka jadilah insan yang ketika berada dalam masyarakat, masyarakat tidak mengenal dirinya. Tetapi ketika ia pergi, masyarakat mencari karena jasa-jasanya.

>>>>

Saya sangat-sangat tersentuh dengan ulasan oleh Embun Tarbiyah. Terlalu mendalam sehingga meremang bulu roma saya membacanya. Adakah kita seperti itu? atau sebaliknya? Begitu memuhasabahkan diri. Apabila membaca kisah Manusia Bercadar ini, dalam hati berkata-kata.


"Aku mahu sekali menjadi sepertinya. Dia idamanku."


Wallahu'alam...


Thursday, November 11, 2010

MENJAGA STAMINA IMAN

Setelah berhempas pulas untuk 'mini test' , barulah rasa lega. Kelapangan waktu yang ada saya gunakan sebaiknya sebelum terjun ke medan seterusnya, berhempas pulas di lab pula untuk FYP. Dah lama rasanya saya tak mengisi akal saya ni dengan makanannya. Ya, saya akui, semenjak masuk final year ni, kurang sangat saya membaca. Membaca buku-buku yang meluaskan pemikiran wawasan-wawasan baru.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga menghabiskan satu tajuk dalam satu buku yang saya sangat suka baca bila datang waktu down. Fitrah, iman itu yazid wa yankuz. Saya tak terlepas dari fluctuation iman ni.

Saya nak kupas beberapa perkara yang saya dapat dari pembacaan saya. Buku pilihan saya kali ini ialah 'Menjaga Stamina Iman' oleh Dr. Faishal Al-Hulaibi. Hal-hal yang disentuh oleh Dr. Faishal sangat realistik dan benar-benar membawa isu-isu yang sering dialami oleh seorang aktivis, da'i dan juga sebagai seorang muslim.


Antara bab yang menarik dan sangat-sangat terkesan dalam hati saya ialah bab 4: Tanda dan Terapi Futur.

Bukan apa, kerana saya sendiri mengalami keadaan ini. Dan saya khuatir, mungkin saya masih belum recover dari penyakit ini. Jadi, marilah teman-teman semua kita muhasabah sedikit intipati dari bab ini.

Dalam bab ini, penulis mengawali kupasan beliau dengan menyelitkan satu persoalan:
"Bagaimana saya tahu kalau saya terkena futur? Selain itu apa tanda-tanda dan bentuknya yang tampak dalam ibadah dan kehidupan saya?"

Penulis menyebut bahawa terdapat banyak tanda-tanda yang mengarah pada berkurangnya iman dan goyahnya hubungan dengan Allah. Masalah ini perlu diatasi dengan segera. Pembaikan dan peneguhan.

Antara tanda-tanda yang digariskan oleh penulis ialah:

1. KERASNYA HATI

Hati yang keras ibarat dinding yang menghalang dari kekhusyukan kepada Allah. Dengan hati yang keras, kita tidak akan bisa menangis dan merasai kenikmatan dan kelazatan tunduk kepada-Nya.

Hati kita tidak kenal yang ma'ruf, tak lagi mengingkari kemungkaran. Penulis menyebut lagi bahawa orang yang hatinya keras, ibarat taman-taman yang gersang dengan kasih sayang. Air mata cinta di dalamnya juga kering kontang. Hijau perasaan dalam hatinya juga layu

"Maka kecelakaan yang besar bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata." (Az-Zumar:22)

2. MEREMEHKAN KETAATAN


Ketika seseorang meremehkan ketaatan baik perkara wajib mahupun sunnah, atau jika seseorang merasakan dirinya berat melaksanakan ibadah, malas untuk bangkit, benci melakukannya, maka ketahuilah...penyakit futur sedang menjalar di segenap sendinya dan mengalir dalam darahnya.

"Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (At-Taubah:54)

3. MEMBENCI ORANG-ORANG SOLEH


Bila saja anda melihat seseorang menjauhi majlis-majlis kebaikan dan lebih suka terhadap pembicaraan yang sia-sia, maka ketahuilah bahawa dia telah hidup melawan nuraninya sendiri. Perkara ini akan menghilangkan keteguhannya di atas kebenaran, membuatnya menganggap remeh serta lesu dalam melakukannya.

4. HILANGNYA KECEMBURUAN (GHIRAH) TERHADAP AGAMA


Seseorang tidak lagi marah kerana Allah ketika Islam dihinia, ia telah kehilangan nurani keagamaan. Dan pada pandangan saya sendiri, seseorang yang terkena futur ini tidak lagi merasa ghirah untuk berlumba-lumba membuat kebaikan. Tidak terjentik iman mereka melihat orang lain melakukan ketaatan bahkan timbul perasaan memberontak dalam diri mereka melihat orang lain melakukan ketaatan. Wallahu'alam.

5. TIDAK BERSYUKUR SAAT SENANG DAN TIDAK BERSABAR SAAT SUSAH


Semua ini berlaku kerana lemahnya iman dan lesunya hubungan dengan Allah. Demikianlah, tak ada syukur pada saat ujian nikmat dan tak ada sabar pada saat ujian kesusahan bagi orang-orang yang terkena penyakit futur ini.

6. TERANG-TERANGAN DALAM BERMAKSIAT



Tidak seperti pokok semalu. Tidak ambil peduli jika orang lain mengetahuinya, merupakan tingkatan futur tertinggi. Perbuatan ini sangat buruk. Jiwanya telah berkubang dalam lautan maksiat sehingga menanggalkan perasaan malu kepada Allah dan makhlukNya.

Itulah beberapa tanda yang sempat penulis bincangkan dalam buku ini. Penulis memilih tanda-tanda ini kerana seringnya hal ini terjadi.

Tanda-tanda yang digariskan merupakan tanda-tanda yang realiti dan penting. Mengapa hal ini terjadi? Marilah kita sama-sama muhasabah dan mencari sebab terBoldjadinya penyakit futur ini..

InsyaAllah, saya akan bedah lagi untuk tajuk seterusnya iaitu TERAPI FUTUR pada entry akan datang jika berkesempatan. Semoga kupasan/bedah buku ini akan dapat melembutkan hati-hati kita yang membacanya justeru membuatkan kita sentiasa bermuhasabah iman. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang terkena penyakit futur ini.

Selamat membaca MENJAGA STAMINA IMAN. Harap-harap graf iman kita sentiasa meningkat. Andai pun turun, cukuplah sedikit sahaja. Jangan biarkan penurunan itu terus dan terus sehingga akhirnya kita terjebak ke dalam kancah kefuturan. Na'udzubillahi min dzalik.

RINTIHAN IMAN


Alhamdulillah...

Syukur dipanjatkan buat-Mu atas nikmat ketenangan dan kelapangan yang diberi. Dengan itu membolehkan saya menata kembali hidup saya yang sedang berkecamuk dengan hal-hal duniawi. Nikmat ini juga membuatkan saya tersedar untuk bermuhasabah akan segala amal-amal saya terutamanya mutaba'ah ibadah yang hampir nazak dek kelelahan dan kesibukan.

Astaghfirullah...

Ya Allah, ampunilah dosa hamba yang sering lalai dan rapuh dalam mencintai-Mu. Kadang tak sedar aku telah meletakkan syarat untuk mencintai-Mu.

Na'udzubillah...

Semoga saya dijauhkan dari sifat lalai. Lalai dalam meletakkan Allah dalam hati saya. Semoga saya tidak mengalokasikan sisa-sia waktu saya buat-Nya. Walau kadang-kala saya akui agak rapuh dalam mempertahankan cinta dan kedudukan-Nya di hati saya. Terkadang rindu pada manusia melebihi rindu pada-Nya. Waktu yang selesa lebih diutamakan buat manusia melebihi-Nya. Kadang-kala, sisa-sisa waktu atau waktu terjepit itu dikhaskan buat-Nya walhal waktu itulah kita dalam kepenatan, kelelahan dan pastinya kurang keikhlasan.

InsyaAllah...

Saya akan terus bermuhasabah diri agar tak tersesat dan terus terlalai dibuai kesibukan dunia. Semoga hati ini terus tersiram dengan siraman iman lalu menyalakan obor semangat. Semangat untuk menggapai sukses!

Monday, November 8, 2010

3 JENIS TENGKORAK. ANDA YANG MANA SATU?

Alhamdulillah… Walaupun dalam kesibukan menghadapi peperiksaan, dengan stress masing-masing, akhirnya pertemuan itu terpatri juga. Wajah-wajah yang dirindui bisa kutatap lewat petang semalam. Ada yang ceria menyambut kemerdekaan mereka dari exam, ada yang wajahnya kerisauan dek paper menanti esok hari dan ada juga yang kelihatan tenang kerana memang sudah graduated. Beraneka reaksi wajah kulihat, sememang manis untuk dikenang.

Kadang-kadang kita terlalu menghambakan diri dengan peperiksaan sehingga ada yang sampai tak keluar bilik gara-gara terlalu asyik dengan study. Ketahuilah, sebenannya jauh dalam sudut hati kita memang inginkan sesuatu yang berbeza. Hati kita perlukan makanan rohani. Percayalah, dan itu apa yang kudapati dari pertemuan semalam yang ingin aku kongsikan bersama. Memang sangat menarik untuk difikir dan direnung-renungkan.

Murabbiku mengedarkan sekeping kertas. Seorang demi seorang diminta untuk memperhatikan lukisan itu dan cuba fahamkan kerana akan disoal apa yang kami dapat dari lukisan itu.

Sebaik saja melihat lukisan itu, kami masing-masing kebuntuan. Ada yang mengangguk-anggukkan kepala seperti mendapat idea, ada yang menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak ada idea langsung. Otakku masih memerah idea. Gagal.

Inilah lukisannya (diilustrasi semula sebab tak ambil gambar ^-^):




Faham tak?
Cubalah fahamkan dulu?
....
.....
.......
Masih tak faham?

Pada mulanya, saya juga tak faham apa maksud lukisan ni. tapi setelah diterangkan oleh murabbi saya, barulah saya faham. Inilah tandanya kurang membaca.. Adoi, terkena betul kat batang hidung saya.

Baiklah, biar saya terangkan satu persatu apa yang ingin disampaikan dalam lukisan ini. Menarik!

Inilah kisah di mana seorang tabi'in iaitu Hasan al-Basri yang sedang berjalan-jalan bersama anak-anak muridnya. Sewaktu berjalan itu, mereka terjumpa satu tengkorak manusia. Hassan al-Basri pun mencucuk beberapa kali lubang telinga tengkorak itu menggunakan tongkatnya, namun tidak berjaya. Beliau meneruskan perjalanannya dan terjumpa pula tengkorak yang kedua. Beliau mengulang perbuatan yang sama. Kali ini, tongkat itu berjaya masuk ke telinga tengkorak tersebut sehingga tembus keluar. Beliau meneruskan lagi perjalananya sehingga bertemu pula dengan tengkorak yang ketiga. Kali ini, walaupun dicucuk tel­inganya, tongkat tersebut tidak tembus keluar. Beliau pun membersihkan tengkorak tersebut dan menguruskan jenazahnya sehingga liang lahad.

Perbuatan Hassan al-Basri tersebut mengundang tanda tanya anak muridnya. Kemudian, beliau menjelaskan bahawa:

Tengko­rak yang pertama itu semasa hayatnya telah mengabaikan majlis ilmu. Apa sahaja nasihat yang didengarinya, tidak diterima. Tengkorak jenis ini sangat keras hatinya. Bahkan memberi pelbagai alasan dan mencari-cari sebab untuk membangkang apa yang dinasihatkan kepadanya.

Tengkorak yang kedua pula, walaupun berada dalam majlis ilmu, apa-apa yang disampaikan masuk dari telinga kanan keluar dari telinga kiri. Dia lebih banyak menerima tetapi tidak mahu juga berubah. Sama saja keadaannya.

Tengkorak yang ketiga sewaktu hayat­nya sentiasa istiqamah dalam belajar. Ilmu yang dipelajari menjadi pegangan. Apa yang diterima terus dipraktikkan dan dia istiqomah dengan amalannya.

Begitulah gambaran ketiga-tiga tengkorak dalam kisah tersebut memberi pengajaran betapa pentingnya elemen akal yang menentukan kemuliaan seseorang manusia - satu anugerah Allah SWT yang membezakan manusia daripada makhluknya yang lain.

Sekarang, kitalah yang memilih untuk termasuk dalam golongan tengkorak yang mana satu. Adakah kita mahu menjadi seorang yang keras hatinya, yang tidak mahu menerima pembaikan dan nasihat dari orang lain, atau mahu menjadi orang yang sedar dirinya ada masalah tapi tetap tidak mahu berubah ataupun mahu menjadi orang yang lembut menerima nasihat, sedia ditegur dan ilmu yang diterimanya terus diamalkan dengan istiqomah??

Tepuk dada, tanya iman.

Renung-renungkan dan selamat beramal!


KASIH ZULHIJJAH


Zulhijjah menjengah kembali. Musim Haji pun tiba lagi. Istilah-istilah seperti Aidiladha, ibadah korban dan puasa Arafah pun muncul semula. Maka ramailah orang yang akan menggunakan istilah-istilah ini untuk menulis artikel, menghantar ‘sms’ pada rakan-rakan atau untuk ditulis di dalam blog. Termasuk diri saya sendiri. Tapi, sejujurnya saya akui bahawa saya masih belum menguasai sepenuhnya definisi dan yang terpenting adalah makna tersirat di sebalik istilah-istilah tersebut. Mungkinlah saya boleh memahaminya jika ada yang bercerita atau membincangkannya, tapi sejujurnya, dalam hati saya yang jahil ini, masih belum lagi dapat menjiwai makna sebenar apa yang terkandung dalam bulan Zulhijjah yang penuh keberkatan ini. Aduhai, jahilnya hamba…

Berbalik kepada persoalan, adakah kita benar-benar memahami erti kata sebenar bulan Zulhijjah ini? Kejahilan bukanlah alasan untuk duduk diam. Tapi kejahilan yang sebenarnya adalah peluang untuk kita bergerak. Bergerak mencari apa yang hilang, menambah apa yang kurang dan menimba sebanyk-banyaknya ilmu yang tiada. Wallahu’alam.

Ramai di antara kita yang masih belum benar-benar menjiwai pengertian sebenar Aidiladha termasuklah diri saya. Aidiladha dianggap sebagai hari-hari biasa yang berlalu dalam hidup kita. Bahkan kita merasakan nilai aidiladha kurang sedikit berbanding dengan aidilfitri. Tidak sepatutnya demikian.

Sempena 1 Zulhijah ni...tiba-tiba hati mula berlagu sayu... mood bersajak pun datang.... Dedikasi buat insan-insan yang telah berkorban di jalan Allah...


~Darah Kasih Mengalir Rindu~

Lambaian haji menggamit hati

Seruan talbiyah penuh kerinduan

Dipanjat penuh hikmah

PadaMu Rabbi

Jiwa meronta, ingin bertamu ke rumahMu

Makkah al-Mukarramah

Untuk kucium bau harum sejarah agung

Korban Ismail jua Ibrahim

Perintah Agung terpenuhi

Bukti cinta, korban kasih

Duka pilu berparut di hati

Hanya Dia Maha Tahu

Cinta terbukti, kasih terkorban

Akhirnya, kibas suci digalang ganti

Manis sudah senyum terukir

Tumpah jua kasih diempang.

Kedua insan dapat barokah

Lantaran ikhlas dan sabar atas ujian

Syukur terpanjat berjuta hasta

Tak terkira andai diukur

Hanya padaNya, diri diserah

Begitu terpahat sejarah mulia.

Korban teralir darah dan airmata

Namun alirnya tak sia-sia

Bahkan terjana ruh, bergolak perjuangan

Terus mengemban risalah Allah

Hingga bisa diresapi segenap manusia

Begitulah kita harusnya..

Ya Allah,

Aku datang penuhi panggilanMu,

Tiada sekutu bagiMu,

Sungguh, segala puji dan nikmat

Hanya milikMu dan kerajaanMu,

Tiada sekutu bagiMu..