Monday, October 10, 2011

Pasca SERUMPUN

kayak poster filem islami terbaru ya...

Ternyata, SERUMPUN yang saya hadiri memberi sejuta inspirasi yang tak ternilai buat diri ini. Kesemua ‘speakers’ miliki energi yang luar biasa. Kobaran semangatnya begitu melebur dan mengalir ke dalam jiwa-jiwa yang mendengarnya.

Sebagai kado (hadiah) buat teman-teman yang tidak berkesempatan bersama SERUMPUN, saya titipkan sedikit perkongsian buat anda semua. Semoga bermanfaat.


Gegak Izzatuna.

Sesi SERUMPUN dimulai dengan kobaran semangat  oleh kumpulan nasyid Izzatuna. ‘Generasi Harapan’, ‘Dunia Indah Menipu’ dan ‘Rabithah’ menjadi sajian halwa telinga kami dengan tujuan untuk membangkitkan lagi energi sebelum sesi seminar bermula.


Cinta Anugerah Allah.

Seterusnya program diteruskan dengan lantunan ayat-ayat cinta-Nya dari Surah Al-Hujurat:10-13 yang benar-benar menembus jiwa. Ayat-ayat ini begitu ditadabur lalu daripada ayat inilah terlahirnya misi utama SERUMPUN iaitu persatuan, ‘alami(international)  dan juga kemanusiaan.


Racikan Utama.

Tiga racikan utama dalam kuali SERUMPUN adalah bedah filem ‘Ketika Cinta Bertasbih’ oleh penulisnya sendiri iaitu Ustas Habiburrahman El-Shirazy atau lebih dikenali dengan panggilan Kang Abik, Seminar penulisan 1 oleh tiga panelis iaitu Ustaz Alwi Alatas, Helvy Tiana Rosa dan juga Asma Nadia dan racikan terakhir ialah Seminar penulisan 2 berkisar perkongsian oleh 4 panelis (tiga yang atas) termasuk Fatimah Syarhah tentang kekuatan novel masing-masing pada sesi malamnya.


“Oh, Islam juga punya cinta ya?” (Ustaz Habiburrahman El-Shirazy)

Kang Abik

Itulah kata-kata pemikiran-pemikiran kufar yang berputar setelah terlahirnya filem adaptasi novel ‘Ketika Cinta Bertasbih’ menurut Kang Abik. Kerana apa yang selama ini digembar-gembur di CNN News atau pun NBC News di barat semuanya tentang Islam yang teroris, tanpa cinta dan pelbagai macam lagi tanggapan negatif terhadap Islam yang pihak kufar sebarluaskan. Kenyataan ini menyedihkan kita.

Lantaran itu, komentar Kang Abik setelah ditanya apa relevannya novel atau filem cinta Islami ini, beliau menjawab;

“Jika musuh menentang Islam dengan perkataan, bantahlah dengan perkataan yang lebih baik. Jika musuh menentang dengan tulisan, bantahlah dengan tulisan yang lebih baik. Namun jika musuh menentang Islam dengan filem, tidak cukup untuk kita bantah dengan tulisan dan juga berdakwah di masjid-masjid. Tapi kita harus bangun dan bantah dengan menghasilkan filem yang lebih baik lagi.”

“Ini kenyataan. Anak kecil yang dididik dengan akhlak yang baik akan bisa runtuh akhlaknya hanya dengan menonton filem yang tidak baik selama seminit saja.”

Inilah dahsyatnya kekuatan media yang harus kita gunakan saat ini. Dan kerana tuntutan Fiqud Dakwah, ajaran Islam harus tersampai seluas-luasnya kepada umat manusia di muka bumi ini dengan cara yang indah termasuk filem.

Apabila ditanya oleh salah seorang peserta bagaimana Kang Abik mendapat ilham untuk menulis, beliau menjawabnya dengan memberikan sebuah analogi yang saya kira cukup menarik dan tepat.

“Idea atau ilham itu ibarat ikan di lautan. Tak bisa dihitung. Dan penulis-penulis pula seperti nelayan. Ada yang malas dan ada yang kreatif. Yang malas akan duduk saja di tepi pantai, mengharap akan ada ikan besar yang terdampar. Tapi, bagi nelayan yang kreatif, ia akan terus berfikir bagaimana nak tangkap ikan itu. Jadi, untuk mendapatkan ilham atau idea itu, kamu harus turun ke medan. Tangkaplah sebanyak-banyaknya idea dan ilham itu.”

Subhanallah. Sebuah analogi yang cukup menarik. Tidak ubah seperti dakwah. Kita harus turun ke medan. Barulah segala skill, teknik, pengalaman akan bertambah tajam. Dan saya melihat seperti persepsi saya pada tulisan sebelum ini tentang dakwah adalah benar. Teori dakwah lewat tulisan itu tak ubah seperti dakwah bil lisan.


Penulis tanpa teori. (Ustaz Alwi Alatas)

Pak Alwi, dua moderator, mba Helvy, mba Asma & Kak Fatimah


Bila disoal tentang teori menulis secara amnya. Pak Alwi membalas,

“Saya seorang penulis tanpa teori. Saya bercerita dari pengalaman dan pembacaan saya. Bagaimana mahu menulis dengan baik itu tergantung kepada kekuatan idea. Kita punya idea yang sangat banyak. Tapi bagaimana mahu menuang idea itu ke dalam penulisan dan dibaca oleh orang. Nah, buku yang baik adalah buku yang mampu menyediakan satu idea yang kuat. Dan idea yang kuat ini hanya dapat diperolehi dari banyaknya membaca dan berfikir. Seperti mana telah diterangkan oleh Kang Abik sebentar tadi. Dan jangan lupa berlatih menulis untuk hasilkan olahan idea yang baik.”

Saya pasti ramai di antara kita yang menulis termasuk dalam kategori penulis tanpa teori. Kita menulis berdasarkan apa yang kita alami dan baca. Dan tanpa kita sedari ini juga adalah salah satu teori penulisan.


“Start writing with your heart” (Mba’ Asma Nadia)

Mba Asma Nadia, seorang yang ceria

Asma Nadia merupakan penulis novel ‘Emak Ingin Naik Haji’ dan ‘Rumah Tanpa Jendela’. Lebih 50 buah buku telah ditulis oleh beliau. Dan targetnya adalah untuk menghasilkan buku yang melebihi umur beliau. Penulis ini saya kira seorang ‘iron lady’. Mengapa? Kerana beliau bermula menulis dalam kondisi yang serba kekurangan fasiliti. Dan akhirnya berjaya seperti sekarang. Dari tutur kata dan bicara, terlihat akan saya betapa beliau seorang yang cergas, energetic dan kreatif.

Asma Nadia memberikan beberapa tips menulis yang sangat-sangat berguna bagi mereka yang serius menulis seperti berikut;
  • “Start writing with your heart”
  • Management (dari segi waktu)
  • Jangan ikut mood.
  • Ikhtiar melihat keperluan pembaca.
  • Kirimkan ke media atau penerbit.
  • Allah itu jadikan motivasi utama kita.
Menurut mba Asma Nadia, jika kita benar-benar ikhlas dan menjadikan Allah motivasi utama kita, insyaAllah, idea untuk menulis akan mengalir laju. Beliau berkongsi bahawa setiap kali ingin mula menulis, beliau pasti akan mulakan dengan ‘bismillah’ dan Alhamdulillah idea yang datang mencurah-curah untuk diolah.

Terakhir, mba Asma mengatakan;

“Tidak ada orang yang malas di dunia ini. Yang ada hanyalah mereka yang tidak bermotivasi.”

Carilah dan temukanlah motivasi utama untuk menulis.


“You are what you write!” (Mba’ Helvy Tiana Rosa)

dikerumuni peminatnya


Mba’ helvy ialah kakak kandung kepada mba Asma Nadia. Beliau adalah sumber inspirasi yang memotivasikan mba Asma untuk menulis dan berkarya. Beliau punya latar belakang sarjana dan master dalam bidang sastera.

Mba Helvy berkongsi, “Kita menulis apa yang kita rasa dan apa yang kita lihat.” Berikut merupakan beberapa tips dikongsikan oleh Mba’ Helvy yang benar-benar bermanfaat.

  1. Menulis sebagai ibadah, sebagai jihad:- Ridha Allah tujuan utama dan tulislah dengan penuh kesungguhan.
  2. Menulis dengan hati:- agar sampai pada hati-hati yang membaca.
  3.  Menulis dengan wawasan:- mencerdaskan diri dengan banyak membaca. Jadilah ‘predator’ buku.
  4. Menulis dengan kesedaran tentang ‘rekam jejak’:- maknanya, tulisan tak kan pernah bisa dihapuskan atau ditarik lagi selamanya. Apa yang kita tulis akan terus tersebar. Jadi, tulislah yang baik-baik saja. Harus yakin apa yang ditulis tak kan disesali kemudian.
  5. Menulis karya yang bermanfaat:- karya yang mencerahkan, bergizi dan menggerakkan.
  6. Menggerakkan/memotivasi orang sekitar untuk menulis juga.

Menarik bukan tips-tips yang dikongsikan. Kadang-kala kita terlupa melandaskan penulisan kita ini sebagai ibadah. Rupanya, menulis ini merupakan ‘investment’ kita. Baik yang dilaburkan, baik juga keuntungannya. Buruk yang dilabur, buruk juga yang akan kita dapat kembali.

Terakhir umpama satu perjanjian dengan diri di kalangan peserta SERUMPUN, mba’ Helvy membangkitkan kami dengan satu yell iaitu;

“Satu buku sebelum mati, boleh!”


“Siapkan diri” (Kak Fatimah Syarhah Nordin)

Ketika ditanya tentang soalan bagaimana memulakan penulisan dan apakah persediaannya, Kak Fatimah menjawab;

1.       Mempersiapkan diri dengan kefahaman al-Qur’an dan As-sunnah.
2.       Banyakkan membaca. Tanpa membaca, tak dapat kefahaman itu.
3.       Membaca umpama makanan bagi akal.
4.       Berani mulakan dan jangan tunggu sempurna baru nak mula menulis.

Suka dengan bagaimana Kak Fatimah berfikir tentang minatnya menulis ini. Katanya,


"Kalau orang lain boleh habiskan masa berjam-jam dengan hobi mereka iaitu tidur atau habiskan masa berjam-jam dengan hobi chatting mereka, kenapa saya tidak boleh peruntukkan masa untuk apa yang saya minat ini?"


“Satu buku bermanfaat sebelum mati”

InsyaAllah. Setelah mengikuti seminar penulisan ini, visi makin jelas, misi makin nyata. Benar kata Mba Asma Nadia, tiada orang yang malas di dunia ini, yang ada hanya orang yang tak termotivasi. Semoga perkongsian saya tentang seminar penulisan SERUMPUN yang sedikit ini mampu menggerakkan para pembaca yang serius menulis untuk terus menulis dan terus menulis sehingga berjaya. Dan ingin diingatkan, kita menulis kerana Allah, kerana mahu melangitkaryakan cinta-Nya agar membumi ke seluruh alam.  Kerana itu, haruslah kita jadikan Allah sebagai motivasi utama. Semua orang mampu menulis, percayalah!


momen indah untuk dikongsi


SERUMPUN 2011, 8 OKTOBER 2011.
“Melangitkan Karya, Membumikan Cinta”

Nur Syaheera Mohd Yusoff.


5 comments:

  1. mabruk akak, sangat bagus huraiannya!
    alhamdulillah. :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..semuanya dtg dr Allah..insyaAllah, kite berkongsi..ada part2 yg akk xdpt nk ungkapkan, umay telah ungkapkn di blog umay..jzkk dik..=)

    ReplyDelete
  3. salam. k.syera, baru tengok list dekat dashboard sy. rupenye dah ade post share serumpun. sy yang lambat.huhu.

    jzkk k.syera. sangat menusuk jiwa bila baca. 1 buku sebelum mati! insyaAllah..

    ReplyDelete
  4. itu maknanya syida kena activate semula blog syida tu ye..cpt..xsbr ni..

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,

    Seronoknya baca entri ni..termotivasi juga membacanya..Setiap orang boleh menulis, menulislah dengan hati..Wah,suka sangat penyataan ni..

    Mula2 dulu selalu nampak banner ni kat centre. Ragu2 nak beli ke tak. memikirkan masa program juga. Bila dengar-dengar (masa dah terdetik nak beli tiket), dah sold out..

    Jzkk kak Syeera atas perkongsian..sekurang-kurangnya satu buku..Hmmm, nak tulis tentang apa ya? =)

    ReplyDelete