Wukuf di Arafah |
Intro.
“Jangan lupa letak ‘haji’ nya… Dia sudah naik haji.”
“Nama saya ‘Haji Z”
“Ini haji saya yang ke-X”
“Saya dah banyak kali haji. Masuk ni dah kali ke-X saya naik haji”
Sekilas pandang, nampak biasa saja ungkapan-ungkapan di atas. Begitulah kebiasaan orang Malaysia seputar persoalan haji. Nampak biasa. Namun inilah refleksi sebenar, pemahaman tentang rukun Islam ke-5 ini. Suatu hakikat dan suatu refleksi realiti.
Sebelum ini, saya juga masih tidak berapa jelas akan kondisi ini. Sehinggalah berkesempatan mengikuti sebuah seminar bertajuk ‘Fiqh Haji’ di sebuah surau yang disampaikan oleh Ustaz Zulkifli Ahmad, TYDP IKRAM Bandar Tun Razak.
Dejavu.
Tajuk yang cukup dejavu bagi semua orang, saya kira. Pertama kali mendengarkan tajuk tersebut, sejujurnya, rasa ‘layu’ tumbuh sedikit kerana sudah berulang kali mendengarkan tajuk yang sama. Begitu juga yang terjadi kepada beberapa orang sahabat, mereka juga merasakan yang sama. Bintik-bintik ‘allergic’ mula tumbuh dalam hati.
‘Bawalah cawan kosong’.
Ungkapan ini tersangatlah tepat dan benar bahkan terbukti! Begitu lari dari jangkaan awal, apa yang kami fikirkan dan bayangkan terhadap penyampaian ini ternyata meleset dan jauh dari jangkaan. Ketika itu, diri jadi malu sendiri, benar-benar terkena pada batang hidung betapa masih ada sifat ‘sombong’ dan tidak rendah hati yang merambah dalam jiwa. Astaghfirullah, muhasabah kembali.
Dimensi.
Kami menemukan suatu dimensi lain yang cukup berbeza dalam penyampaian ‘fiqh haji’ kali ini. Dimesni yang berbeza dari sebelum ini. Yang memberi suatu pengisian yang sangat-sangat bernilai. Merasa tersangat beruntung terpilih untuk berada di situ ketika itu mendengarkan penyampaian tersebut. Syukur Alhamdulillah.
Khutbah Wada’
Padang Arafah. Pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir. Baginda bertolak ke Arafah dari Mina setelah naiknya matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untk baginda dan baginda masuk serta berada di dalamnya sehingga terglincir matahari (waktu zohor). Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya Al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah yang ingin disampaikan baginda?
Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah 144000 orang semuanya.
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Kupasan oleh Ustaz Zul:
Betapa pentingnya kita untuk menyampaikan apa saja ilmu yang kita dapat kepada yang tidak hadir. Seperti sekarang, sampaikanlah apa yang kamu dapat ini kepada kawan-kawan. Berapa ramai orang yang tidak berkesempatan untuk mendengar penyampaian ini, sampaikanlah kepada mereka.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Kupasan oleh Ustaz Zul:
Jika semua jemaah haji memahami isi kandungan khutbah ini, jika kita semua memahami, maka tidak akan ada satu pun di antara kita yang akan menyakiti orang lain. Kita semua akan memahami penderitaan saudara-saudara kita di Palestin dan juga di mana-mana saja yang sedang tertindas. Maka dunia ini akan aman kerana semua orang jiwa dan harta setiap muslim adalah suci.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Kupasan oleh Ustaz Zul:
Di sini, ustaz Zul mengupas tentang bagaimana Rasulullah sangat-sangat mengangkat kedudukan dan martabat kaum wanita. Sehingga Allah juga menamakan salah satu surah dalam al-Qur’an dengan An-Nisa’ di mana begitu jelas sekali keistimewaan wanita. Kaum lelaki seharusnya berlembut dengan wanita. Berinteraksi dan berkomunikasi dengan cara yang terbaik tanpa mengenepikan syari’ah. Haknya dipenuhi. Walaupun si isteri punya gaji sendiri, tapi si suami masih perlu memenuhi hak keperluan si isteri.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Kupasan oleh Ustaz Zul:
Apakah interpretasi dari ayat berwarna merah itu? Itulah sebabnya kita kena berdakwah. Kita kena menyambung kerja warisan nabi ini. Kita harus sampaikan Islam.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
Kupasan oleh Ustaz Zul:
Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempurnaan agama Islam.
“Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu.” (Al-Maidah ayat 3)
Selepas baginda membacakan wahyu ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyak. Beliau pun ikut menangis. Sayyidina Umar bertanya apakah sebabnya lalu Sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu penutup itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.
Impak Dari Khutbah Wada’
Setelah mendengar khutbah haji wida’ hampir semua para sahabat telah bertebaran keseluruh pelusuk dunia untuk menyampaikan pesanan. Daripada 124 ribu hanya sekitar 10 ribu para sahabat yang kuburnya berada di Mekah dan Madinah selainnya berada bertebaran diseluruh dunia. Atas usaha dan pengorbanan para sahabat lah kita di Nusantara mendapat nikmat yang MAHA besar iaitu nikmat IMAN kepada ALLAH S.W.T.
Setelah kita benar-benar memahami isi kandungan khutbah wada’ ini, apakah sempat untuk kita memikirkan title ‘haji’ yang kita ada? Mengira berapa kali sudah kita ke baitullah? Tidak! Dan inilah falsafah haji yang sebenar, yang seharusnya difahami oleh setiap manusia lebih-lebih lagi yang sudah menunaikan haji. Inilah falsafah haji yang sebenar yang Rasulullah mahu setiap dari kita mengerti dan beraksi.
Allahu…Sudah lama rupanya saya tertinggal dari memahami makna sebenar haji dan falsafah sebenar haji ini. Biarpun terlambat mengetahuinya, saya bersyukur kerana dapat memahaminya. InsyaAllah, bakal mengerjakannya. Perkenankanlah ya Allah.
p/s: Sebenarnya, perasaan dan apa yang dapat pada hari itu hanya 40% saja dapat digambarkan ke dalam penulisan ini. Selebihnya, sangat-sangat sukar diungkap. It just, only Allah knows what’s inside my heart when listening to the talk. Only Allah knows. Maafkan diri ini kerana sukar untuk berkongsi pada kali ini. Semoga mendapat manfaat walaupun sedikit. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment