Thursday, December 30, 2010

AKU MAHU BERSAMA DAKWAH


"Seolah-olah menuju medan juang,...tidak akan kembali lagi..."

Sungguh syahdu kata-kata itu menyusup kalbuku. Namun, ada juga beberapa hal membuatkan aku benar-benar terjepit. Aku sungguh memaksudkannya...

Aku tidak mahu beralasan lagi, itu janjiku pada diri suatu waktu dahulu. Namun, rencana Allah itu tepat sekali waktunya, ujian hadir untuk menduga ketegaran dan keteguhan kita..intinya adalah keikhlasan. Ikhlaskah aku saat berbai'ah pada diriku dahulu?

~Menanti kelahiran anak kakakku, anak buah pertama dalam keluarga kami, cucu dan cicit pertama dalam keluarga besar kami, semua ahli keluarga berkumpul. Tarikh due nya 31/12/2010 atau 1/1/2011. Clash langsung dengan seruan NLB. Dan aku tidak dapat meluangkan sedikit masa pun? Itu yang akan kudengar dari mereka nanti.

~Hidup dalam kecacatan. Sudah seminggu aku berjalan dan belajar dalam keadaan rabun. Cermin mataku tertinggal di rumah. Semuanya silapku. Yang tidak terorganisasi dalam urusan.

~Slip gaji ayahku ada padaku. Dan adik bongsuku memerlukannya untuk daftar ke sekolah menengah Sabtu pagi ini. Apa yang aku perlu buat ni?

~Sejak akhir-akhir ini, kakiku sering sakit. Kaki kiriku sudah tidak kuat seperti dulu. aku tidak dapat berpijak betul-betul pada lantai. Duduk bersila juga tidak boleh lama. Aku tidak main-main. tapi hampir setahun aku deritai sakit ini. Sejak MK yang lepas. Kakiku lemah kerana dulu tiba-tiba saja ada bunyi tulang bergerak pada lututku. Dan aku masih tidak periksa apa puncanya. Silapku juga.

Kalau diikutkan mahu sampai 1001 alasan ya.

Benar, inilah hambatan-hambatan yang terpaksa ku hadapi untuk menyahut seruan NLB. Terlalu kecil dan lemah kan alasan-alasan ini?

Tapi hal ini sangat-sangat memberatkan hatiku untuk menyahut seruan NLB itu. Aku termangu petang ini, mengharapkan sedikit kata semangat dari dalam diri. Aku membuka almari buku dan mencapai sebuah buku bertajuk "Komitmen Da'i Sejati". Harap-harap aku temui keteguhan dan semangat.

Mengutamakan Kepentingan Pribadi atas Kepentingan Bersama.

Kena sungguh aku dengan tajuk ini.

"Aktivis dakwah adalah satu-satunya orang yang bisa mengutamakan salah satu kepentingan atas kepentingan lainnya."

Adush! Terkena aku..Apa lagi ya..

"Dia mampu menempatkan dirinya; di antara orang-orang yang malas dan berpangku tangan."

Ya Allah..kali ini aku memang terpukul. Lagi...

"Hanya ada dua pilihan yang bisa dilakukan: mengutamakan dakwah atau tidak sama sekali."

Aku akuinya....

"Di sisi lain, dakwah hanya bisa diperjuangkan oleh orang yang benar-benar menguasainya secara utuh, mahu mengorbankan jiwa, harta, waktu dan kesehatannya, sebagaimana dinyataakan oleh Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna.


Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. (9:24)


Emmm......
Jangan mengeluh wahai diri...
Terakhir sebelum aku berhenti...

"Barangsiapa yang siap mengusungnya, maka dia akan hidup dengan dakwah dan dakwah akan hidup kerananya. Sedangkan orang yang tidak sanggup memikul beban dakwah, maka dia tidak akan mendapat pahala para pejuang dan akan tersingkir bersama orang-orang yang tinggal diam dan tidak berjuang, lalu Allah akan menggantikan posisinya dalam dakwah dengan orang lain."

Tak mahu!
Tak nak!
Aku masih mahu bersama dakwah.
Ya Allah, teguhkanlah hatiku ya Allah....
Wahai hati, hilangkanlah kegusaranmu, yakinlah dengan janji Allah!
Jangan pernah ragu!

Syaheera...



Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.


Tuesday, December 21, 2010

MACAM PRINSIP SPRING...


"Bagai jatuh ditimpa tangga... Mampukah diri mengangkat kembali tangga untuk dakian seterusnya???"


Luahan seorang teman. Dan saya tahu luahan itu dari hatinya yang paling dalam, paling perit. Namun dia masih mampu tersenyum. Masih mampu bergerak, menyeru kebaikan dan masih mampu menyampaikan kata-kata hikmah.

Seorang lagi teman yang lain membalas,

"Kami teman-temanmu datang ketepikan tangga dan menarikmu bangun semula untuk meneruskan perjalanan yang seterusnya."


Seorang lagi membalas...

"InsyaAllah mampu...yakin pada Allah...dalam apa pun bentuk ujianNya, pasti Allah titipkan kekuatan sebagai bekalan..takkan dibiarkan begitu sahaja."

Dan lagi...

"Kita ibarat batu-bata. InsyaAllah, kamu susah pasti kami akan bersamamu... Sunnatullah...jalan ini penuh onak duri, tak ditaburi bunga mewangi..tapi ingatlah, saudaramu sentiasa di sisi."

Alangkah indahnya setiap kata-kata ini. Moga-moga kesedihan temanku terubat sedikit.


InsyaAllah, penderitaan sirna dan yang tersisa adalah pahala.

Kadang-kadang sukar kita meluahkan pada seseorang. Cuma, jika sahabat itu membaca tulisan ini, inilah yang saya ingin katakan padanya.

" Segala ujian dan tekanan yang mendatang itu ibarat seperti teori spring. Spring, jika kita beri tekanan yang besar/kuat, ia pasti akan melantun lebih tinggi."


Begitu juga kita manusia, sentasa diuji. Makin tinggi keimanan kita, semakin besar ujian menimpa. Dan semakin besar ujian yang menimpa, semakin tinggi kedudukan kita di sisi Allah, andai saja kita mampu bersabar dalam menghadapi ujian itu.





Friday, December 17, 2010

AKAD TERLAFAZ, LESTARI PEMILIK HATI!


Baiklah kalian, sekarang ini saya ada beberapa persoalan yang ingin ditanya dan saya harap kalian dapat menjawabnya ya.

Apakah pendapat kalian, setelah terlafaznya akad nikah oleh si lelaki langsung menjadikan si perempuan itu mutlak miliknya?

Bolehkah si lelaki itu menyentuh si perempuan?

Adakah si lelaki berhak ke atas si perempuan 100%?

Wajibkah si perempuan mentaati si lelaki?

Bila disuruh masak, isteri kena masak tak?

Bila diajak tidur, isteri perlu ikut tak?

Kalian,
Ya! Semua jawapan kepada pertanyaan saya di atas adalah "Ya!".

Benar ya?

Benar dan memang jawapannya "Ya".

Baik, bagaimana pula jika seorang suami itu melafazkan talak kepada si isteri?

Adakah hubungan mereka masih sah?

Bolehkah si suami menyentuh isterinya?

Masih halal lagikah hubungan mereka?

Masih wajibkah si isteri mentaati si suami?

Kalian,
Tidak! Semua jawapan kepada pertanyaan saya di atas adalah "Tidak!".

Nah, sekarang adakah kalian dapat melihat besarnya lafaz akad nikah itu dan juga lafaz talak itu. Benar kan?

Dapatkah kalian merasakan betapa beratnya kesan kedua-dua lafaz itu? Dalam sekelip mata sahaja, lafaz itu dapat merubah kehidupan seseorang baik perasaan atau pun tindakannya.

Perhatikan sahabat.
Dua lafaz yang peranannya sangat besar dalam kehidupan kita.

SEKARANG!

Saya ingin bertanya kepada kalian.

BAGAIMANA PULA DENGAN LAFAZ KALIMAH SYAHADAH YANG KITA LAFAZKAN SETIAP KALI SOLAT LIMA WAKTU??

"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah"


Bagaimanakah lafaz itu pula memberi kesan kepada kita?
Adakah kita telah bertindak dan berperasaan terhadap lafaz itu?
Di manakah duduk letaknya lafaz itu di hati kita sebagai seorang muslim?
Di mana?

Adakah kita melaksanakan sesungguhnya untuk memenuhi amanah lafaz itu sepertimana kita memenuhi amanah lafaz akad nikah dan lafaz cerai itu?
Tidakkah pernah terfikir oleh kita semua?
Tidak sedarkah kita betapa BESARnya Si Pemilik lafaz itu?
Dan kita, bagaimana kita berprestasi untuk memenuhi hak-hak Si Pemilik lafaz itu?

Astaghfirullahal'azim...

Saya benar-benar terpukul ketika mendapatkan analogi ini dari murabbi saya dimana murabbi saya telah mendapatkan pula analogi ini dari seorang ustaz lulusan Universiti Iman, Ustaz Emran@Eremy.

Sungguh, analoginya ringkas tetapi besar impaknya. Sahabat, mari kita renungkan, kita muhasabah kembali, apakah tujuan hidup kita selama ini? Apakah kita telah menyiapkan segalanya untuk mempersembahkan segala yang kita ada kepada si Pemilik lafaz ini? Akhirnya nanti, si Pemilik lafaz ini akan menuntut hakNya dari kita. Saat itu, apakah yang kita miliki untuk memberi, untuk mempersembahkan kepadaNya.

Semoga semua terinspirasi dengan analogi ini dan kembali menyusun tindakan bagi memenuhi segala hak-hak lafaz syahadah itu.

Monday, December 13, 2010

HARUS MENGALIR!


Hari ini 13 Disember 2010, permulaan bagi semester yang kedua sesi 2010/2011. Hari yang segar, yang penuh energi. Hari yang membangkitkan semangatku untuk bergerak. Permulaan yang baru, permulaan untuk membuang segala tabiat buruk yang lama, sifat-sifat yang mendatangkan kerugian dan juga permulaan bagi menata semula urusan-urusan agar tersusur atur dengan kemas.

Dua hari lepas mengikuti program tarbawi ibarat menebus kembali rasa kebuluran makanan ruhani selama 3 minggu bercuti di rumah. Alhamdulillah, banyak yang kuperolehi dan tidak tinggal satu pun yang benar-benar menggugah jiwaku, lantas melejitkan semangatku kembali.

Ada satu kata-kata dari seorang muwajih yang sempat kurakam di memoriku lalu membuatkan diri ini berfikir, memuhasabah diri.

"Jadilah seperti air yang mengalir yang sentiasa bergerak, jangan jadi air yang bertakung yang tidak bergerak.


Kerana air yang mengalir itu bersih, segar dan baunya juga tidak busuk sebaliknya air yang bertakung itu membusuk, penuh dengan kekotoran, dan warnanya juga jelek."

Dalam sekali makna kata-kata ini. Ya! Begitu juga diumpamakan dengan manusia. Manusia yang bergerak dan beraksi dalam hidupnya, akan memperoleh banyak kemajuan dan pencapaian yang sukses. Berbeza dengan orang yang kaku dalam bekerja, yang pasif dalam melaksanakan tugasan yang berdiam dalam tindakan, ia hanya merugikan dirinya. Tidak banyak kejayaan yang akan diraihnya.

Refleks kepada diri sendiri. Sebagai seorang aktivis yang perlu kepada pergerakan. Banyak yang membuatkan diri bermonolog sendiri. Aku bagaimana?

Semoga dengan tekad yang kuat dan semangat bagai besi waja dapat mengobarkan kembali semangat kita. Untuk terus beramal dan berkontribusi.

Harus mengalir! Tetap semangat! Terus bergerak!



Saturday, November 13, 2010

DIA IDAMANKU


Aku membuka laman isi kandungan buku Teladan Tarbiyah tulisan Parman Hanif M. Pd.
Mataku tertangkap perkataan 'Manusia Bercadar'. Macam menarik bunyinya. Sudah lama aku tidak membuka buku ini sejak kubeli. Sempat membelek-belek dan membaca beberapa tajuk sahaja. Semalam, hati ini berdetik untuk menyambung kembali bacaan yang sudah agak lama kutinggalkan.

Setiap dari kita sering bermain tarik tali dalam hal keikhlasan. Benar atau tidak, hanya hati anda yang bisa menjawabnya. Dan hanya Pencipta hati itu yang mengetahuinya. Kerna seperti yang telah saya bicarakan dalam entri 'IBARAT SEMUT HITAM', ikhlas ini rahsia hati yang hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Kadang-kala, dalam kita bersemangat dan penuh komitmen dalam sesuatu kerja, tiba-tiba hadir perasaan riak. Ya! Tanpa kita sedari. Kadang-kala hanya kerana sekilas rasa itu, bisa membinasakan seluruh bangunan kerja yang kita perbuatkan. Macam game UNO, satu tarikan yang salah bisa merobohkan susunan blok itu. Dahsyat ya penangan ikhlas ini?

Bagaimana membina hati yang penuh keikhlasan? Semoga kisah 'Manusia Bercadar' ini bisa kita jadikan motivasi dalam membina hati yang ikhlas. Yuk sama-sama simak!

>>>>

Dalam satu peperangan, Maslamah, sang panglima khalifah yakin bahawa kemenangan akan diperoleh pihaknya jika pasukannya mampu menerobos benteng musuh. Persoalananya, bagaimana?

Selepas meneliti dan membuat perkiraan, Maslamah menyimpulkan bahawa terdapat lorong yang memungkinkan untuk ditembus. Dan itu memerlukan relawan yang berani untuk melakukannya. Jika ia berhasil masuk ke dalam benteng, maka ia akan dapat membukakan pintu sebagai jalan masuk penyerbuan lebih lanjut.

Setelah selesai mengemukakan strateginya, Maslamah menatap satu-persatu wajah pejuangnya. Sedang dia bertafakur, tiba-tiba dari arah lain datang seorang lelaki berkuda dengan wajahnya ditutup cadar. Ia sanggup untuk melaksanakan tugas berat tersebut saat itu juga. Ia pun berangkat sambil Maslamah melepaskannya dengan bekal doa.

Beberapa lama kemudian, terdengar teriakan takbir dari pintu benteng. Nampaknya dia telah berhasil menerobos benteng musuh. Suara itu membangkitkan semangat tentera muslimin. Bagaikan air bah, para mujahidin fi sabilillah itu menyerbu masuk. Dalam waktu yang singkat, benteng jatuh dan pasukan musuh dapat dihancurkan.



Setelah perang selesai, Maslamah masih memikirkan perajurit bercadar tadi. Ia perintahkan seluruh tenteranya untuk mencari. Sampai waktu yang lama, masih tiada yang mengaku. Namun, tidak lama kemudian, datanglah seorang orang yang bercadar mendekatinya. Ia bertanya, "Apakah tuan masih mencari perajurit bercadar tadi?"

"Benar. Kaukah orangnya?"
"Saya dapat menunjukkan orangnya, asal tuan mahu berjanji kepadaku."
"Baiklah. Apa yang harus kujanji?"
"Tuan jangan menanyakan siapa namanya, jangan memberi hadiah apa pun kepadanya dan jangan menceritakan kepada seorang pun. Apakah tuan berjanji?"

"Ya, saya berjanji."
"Ketahuilah tuan, orang itu adalah yang ada di hadapan tuan."

Mendengar jawapan itu, Maslamah terus memeluk erat perajurit yang mukhlis itu. Selanjutnya, setelah orang bercadar itu berlalu, Maslamah mengangkat tangannya berdoa,

"Ya Allah, kumpulkanlah aku bersamanya di syurga kelak!"

Allahu Akbar!

Perkongsian ulasan dari Embun Tarbiyah yang saya sempat copykan di sini:

>>>>

Subhanallah.

Ikhwahfillah,

Kiranya cerminan kisah ini merupakan penyemangat bagi diri kita untuk selalu berusaha berjuang meraih keridhaan meskipun kita tiada dikenal atau tidak pada posisi struktural. Berusaha tanpa pamrih jalankan amanah yang amat berat sekalipun karena itulah tantangan.

Ikhwahfillah,

Saat ini yang dibutuhkan umat muslim adalah orang-orang yang mukhlis dalam berjuang ketika musuh-musuh Islam bersatu untuk menghancurkan Islam dari semua sisi.Orang-orang mukhlis yang tidak menunggu bola tapi menjemput bola. Mengawali untuk berdakwah sesuai dengan kemampuan. Menjadi Pioner. Pioner yang akan selalu mengawali berbuat baik dari hal terkecil, walau sekedar menyingkirkan batu dari jalanan.Pioner untuk selalu berfikir kreatif demi kelangsungan dakwah Islam.

Ikhwahfillah,

Masihkah kita kecewa apabila teman aktivis kita lebih dikenal sedangkan kita yang lebih banyak berkorban dilupakan?

Apakah diri berfikir untuk mundur dari dunia dakwah, saat merasa tiada orang yang peduli dengan keberadaan kita?

Jika jawabannya YA, pertanyakanlah nilai Keikhlasan itu.

Bukankah sang manusia bercadar TIDAK INGIN DIKENAL!!!


Maka jadilah insan yang ketika berada dalam masyarakat, masyarakat tidak mengenal dirinya. Tetapi ketika ia pergi, masyarakat mencari karena jasa-jasanya.

>>>>

Saya sangat-sangat tersentuh dengan ulasan oleh Embun Tarbiyah. Terlalu mendalam sehingga meremang bulu roma saya membacanya. Adakah kita seperti itu? atau sebaliknya? Begitu memuhasabahkan diri. Apabila membaca kisah Manusia Bercadar ini, dalam hati berkata-kata.


"Aku mahu sekali menjadi sepertinya. Dia idamanku."


Wallahu'alam...


Thursday, November 11, 2010

MENJAGA STAMINA IMAN

Setelah berhempas pulas untuk 'mini test' , barulah rasa lega. Kelapangan waktu yang ada saya gunakan sebaiknya sebelum terjun ke medan seterusnya, berhempas pulas di lab pula untuk FYP. Dah lama rasanya saya tak mengisi akal saya ni dengan makanannya. Ya, saya akui, semenjak masuk final year ni, kurang sangat saya membaca. Membaca buku-buku yang meluaskan pemikiran wawasan-wawasan baru.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga menghabiskan satu tajuk dalam satu buku yang saya sangat suka baca bila datang waktu down. Fitrah, iman itu yazid wa yankuz. Saya tak terlepas dari fluctuation iman ni.

Saya nak kupas beberapa perkara yang saya dapat dari pembacaan saya. Buku pilihan saya kali ini ialah 'Menjaga Stamina Iman' oleh Dr. Faishal Al-Hulaibi. Hal-hal yang disentuh oleh Dr. Faishal sangat realistik dan benar-benar membawa isu-isu yang sering dialami oleh seorang aktivis, da'i dan juga sebagai seorang muslim.


Antara bab yang menarik dan sangat-sangat terkesan dalam hati saya ialah bab 4: Tanda dan Terapi Futur.

Bukan apa, kerana saya sendiri mengalami keadaan ini. Dan saya khuatir, mungkin saya masih belum recover dari penyakit ini. Jadi, marilah teman-teman semua kita muhasabah sedikit intipati dari bab ini.

Dalam bab ini, penulis mengawali kupasan beliau dengan menyelitkan satu persoalan:
"Bagaimana saya tahu kalau saya terkena futur? Selain itu apa tanda-tanda dan bentuknya yang tampak dalam ibadah dan kehidupan saya?"

Penulis menyebut bahawa terdapat banyak tanda-tanda yang mengarah pada berkurangnya iman dan goyahnya hubungan dengan Allah. Masalah ini perlu diatasi dengan segera. Pembaikan dan peneguhan.

Antara tanda-tanda yang digariskan oleh penulis ialah:

1. KERASNYA HATI

Hati yang keras ibarat dinding yang menghalang dari kekhusyukan kepada Allah. Dengan hati yang keras, kita tidak akan bisa menangis dan merasai kenikmatan dan kelazatan tunduk kepada-Nya.

Hati kita tidak kenal yang ma'ruf, tak lagi mengingkari kemungkaran. Penulis menyebut lagi bahawa orang yang hatinya keras, ibarat taman-taman yang gersang dengan kasih sayang. Air mata cinta di dalamnya juga kering kontang. Hijau perasaan dalam hatinya juga layu

"Maka kecelakaan yang besar bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata." (Az-Zumar:22)

2. MEREMEHKAN KETAATAN


Ketika seseorang meremehkan ketaatan baik perkara wajib mahupun sunnah, atau jika seseorang merasakan dirinya berat melaksanakan ibadah, malas untuk bangkit, benci melakukannya, maka ketahuilah...penyakit futur sedang menjalar di segenap sendinya dan mengalir dalam darahnya.

"Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (At-Taubah:54)

3. MEMBENCI ORANG-ORANG SOLEH


Bila saja anda melihat seseorang menjauhi majlis-majlis kebaikan dan lebih suka terhadap pembicaraan yang sia-sia, maka ketahuilah bahawa dia telah hidup melawan nuraninya sendiri. Perkara ini akan menghilangkan keteguhannya di atas kebenaran, membuatnya menganggap remeh serta lesu dalam melakukannya.

4. HILANGNYA KECEMBURUAN (GHIRAH) TERHADAP AGAMA


Seseorang tidak lagi marah kerana Allah ketika Islam dihinia, ia telah kehilangan nurani keagamaan. Dan pada pandangan saya sendiri, seseorang yang terkena futur ini tidak lagi merasa ghirah untuk berlumba-lumba membuat kebaikan. Tidak terjentik iman mereka melihat orang lain melakukan ketaatan bahkan timbul perasaan memberontak dalam diri mereka melihat orang lain melakukan ketaatan. Wallahu'alam.

5. TIDAK BERSYUKUR SAAT SENANG DAN TIDAK BERSABAR SAAT SUSAH


Semua ini berlaku kerana lemahnya iman dan lesunya hubungan dengan Allah. Demikianlah, tak ada syukur pada saat ujian nikmat dan tak ada sabar pada saat ujian kesusahan bagi orang-orang yang terkena penyakit futur ini.

6. TERANG-TERANGAN DALAM BERMAKSIAT



Tidak seperti pokok semalu. Tidak ambil peduli jika orang lain mengetahuinya, merupakan tingkatan futur tertinggi. Perbuatan ini sangat buruk. Jiwanya telah berkubang dalam lautan maksiat sehingga menanggalkan perasaan malu kepada Allah dan makhlukNya.

Itulah beberapa tanda yang sempat penulis bincangkan dalam buku ini. Penulis memilih tanda-tanda ini kerana seringnya hal ini terjadi.

Tanda-tanda yang digariskan merupakan tanda-tanda yang realiti dan penting. Mengapa hal ini terjadi? Marilah kita sama-sama muhasabah dan mencari sebab terBoldjadinya penyakit futur ini..

InsyaAllah, saya akan bedah lagi untuk tajuk seterusnya iaitu TERAPI FUTUR pada entry akan datang jika berkesempatan. Semoga kupasan/bedah buku ini akan dapat melembutkan hati-hati kita yang membacanya justeru membuatkan kita sentiasa bermuhasabah iman. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang terkena penyakit futur ini.

Selamat membaca MENJAGA STAMINA IMAN. Harap-harap graf iman kita sentiasa meningkat. Andai pun turun, cukuplah sedikit sahaja. Jangan biarkan penurunan itu terus dan terus sehingga akhirnya kita terjebak ke dalam kancah kefuturan. Na'udzubillahi min dzalik.