Friday, December 17, 2010

AKAD TERLAFAZ, LESTARI PEMILIK HATI!


Baiklah kalian, sekarang ini saya ada beberapa persoalan yang ingin ditanya dan saya harap kalian dapat menjawabnya ya.

Apakah pendapat kalian, setelah terlafaznya akad nikah oleh si lelaki langsung menjadikan si perempuan itu mutlak miliknya?

Bolehkah si lelaki itu menyentuh si perempuan?

Adakah si lelaki berhak ke atas si perempuan 100%?

Wajibkah si perempuan mentaati si lelaki?

Bila disuruh masak, isteri kena masak tak?

Bila diajak tidur, isteri perlu ikut tak?

Kalian,
Ya! Semua jawapan kepada pertanyaan saya di atas adalah "Ya!".

Benar ya?

Benar dan memang jawapannya "Ya".

Baik, bagaimana pula jika seorang suami itu melafazkan talak kepada si isteri?

Adakah hubungan mereka masih sah?

Bolehkah si suami menyentuh isterinya?

Masih halal lagikah hubungan mereka?

Masih wajibkah si isteri mentaati si suami?

Kalian,
Tidak! Semua jawapan kepada pertanyaan saya di atas adalah "Tidak!".

Nah, sekarang adakah kalian dapat melihat besarnya lafaz akad nikah itu dan juga lafaz talak itu. Benar kan?

Dapatkah kalian merasakan betapa beratnya kesan kedua-dua lafaz itu? Dalam sekelip mata sahaja, lafaz itu dapat merubah kehidupan seseorang baik perasaan atau pun tindakannya.

Perhatikan sahabat.
Dua lafaz yang peranannya sangat besar dalam kehidupan kita.

SEKARANG!

Saya ingin bertanya kepada kalian.

BAGAIMANA PULA DENGAN LAFAZ KALIMAH SYAHADAH YANG KITA LAFAZKAN SETIAP KALI SOLAT LIMA WAKTU??

"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah"


Bagaimanakah lafaz itu pula memberi kesan kepada kita?
Adakah kita telah bertindak dan berperasaan terhadap lafaz itu?
Di manakah duduk letaknya lafaz itu di hati kita sebagai seorang muslim?
Di mana?

Adakah kita melaksanakan sesungguhnya untuk memenuhi amanah lafaz itu sepertimana kita memenuhi amanah lafaz akad nikah dan lafaz cerai itu?
Tidakkah pernah terfikir oleh kita semua?
Tidak sedarkah kita betapa BESARnya Si Pemilik lafaz itu?
Dan kita, bagaimana kita berprestasi untuk memenuhi hak-hak Si Pemilik lafaz itu?

Astaghfirullahal'azim...

Saya benar-benar terpukul ketika mendapatkan analogi ini dari murabbi saya dimana murabbi saya telah mendapatkan pula analogi ini dari seorang ustaz lulusan Universiti Iman, Ustaz Emran@Eremy.

Sungguh, analoginya ringkas tetapi besar impaknya. Sahabat, mari kita renungkan, kita muhasabah kembali, apakah tujuan hidup kita selama ini? Apakah kita telah menyiapkan segalanya untuk mempersembahkan segala yang kita ada kepada si Pemilik lafaz ini? Akhirnya nanti, si Pemilik lafaz ini akan menuntut hakNya dari kita. Saat itu, apakah yang kita miliki untuk memberi, untuk mempersembahkan kepadaNya.

Semoga semua terinspirasi dengan analogi ini dan kembali menyusun tindakan bagi memenuhi segala hak-hak lafaz syahadah itu.

No comments:

Post a Comment