Friday, October 28, 2011

REHLAH TARBAWI. APA SEBELUMNYA?

andai dapat kuberteduh di sini


Pagi hari, tanggal 1 Dzulhijjah, redup sinar mentari, menambah ketenangan dan kedamaian di dalam hati ini. Seakan ada irama merdu, lembut dan lunak membuai jiwa. Mungkin puas dek penangan dari 'rehlah tarbawi' (di Women Issues) semalam.

Rehlah Tarbawi? Rehlah? Sebuah Pengembaraan. Haji Sebuah Rehlah Tarbawi atau Haji Sebuah Pengembaraan Tarbawi. Itulah yang nak dikongsi pada entry kali ini. Semoga setiap yang membacanya juga dapat merasa suatu perasaan yang luar biasa kerana rehlah tarbawi itu.

Mungkin, sebelum ini kita sudah biasa mendengar tentang ibadah haji atau fiqh haji. Namun, tak ramai di kalangan kita yang benar-benar menjiwai dan menghayati apakah sebenarnya yang terkandung dalam ibadah haji ini. Haji, sebuah rehlah tarbawi. Ibadah yang sebenarnya banyak mengajar kita, mentarbiyah serta memberi ruh kepada hati kita, andai kita benar-benar mencermati ibadah ini dari mula A hingga Z.

Apabila masuk saja musim haji, atau hari raya aidil adha, pasti di kepala kita yang tergambar adalah kemeriahan ibadah kurban di kampung masing-masing, atau saudara-mara yang diberi rezeki menjejak ke tanah suci Mekah, atau juga kita langsung tidak punya gambaran atau sense tentang musim haji ini. Pendek kata, apa yang tergambar di fikiran kita hanyalah 'ritual' ibadah haji itu sahaja atau 'ritual' ibadah kurban itu saja. 

Jarang sekali, kita memikirkan, mengambil ibrah dan memetik hikmah dari sudut tarbawinya. Sudut yang mana bila kita menyerapnya, menjiwainya serta mencermatinya, akan bisa meleburkan hati kita, lebih mendekatkan kita kepada Allah dan yang penting membangkitkan semangat dan ruh dalam diri kita sama ada untuk mempraktikkannya atau menyampaikannya kepada yang lain. Inilah, sudut inilah yang kita seringkali menitikbutakannya atau jarang sekali mahu menitikkberatkannya.

Istimewanya ibadah haji ini untuk dihayati adalah bukan sekadar sewaktu mengerjakannya saja bahkan nilai-nilai tarbawi itu begitu tebal sekali dirasa sejak fasa 'sebelum'nya lagi. Mari kita susuri sejenak nilai tarbawi sebelum kembara haji ini.

Ya, sebelum menunaikan ibadah haji itu, beberapa nilai yang kita dapat ambil ialah keikhlasan dan pengorbanan. Kita tahu bahawa orang yang menunaikan haji ini, mereka akan keluar dari rumah dalam tempoh masa yang lama. Meninggalkan semua kesibukan duniawi dan yang tinggal semata hanyalah ikhlas kerana Allah. Begitulah nak digambarkan di sini, alangkah miripnya mereka ini denga orang yang meninggalkan dunia ini ketika bertemu Tuhannya. Sebuah kembara yang penuh dengan ketundukan, kekhusyukan dan penuh dengan suasana 'ruhi'.

Selain itu, sebelum menuju perjalanan bertemu Allah itu, pastilah segala keburukan dan kemaksiatan ditinggalkan. Bersedianya untuk bertemu Allah dalam keadaan yang 'bersih' dan 'suci, penuh taubat kepada Allah. Suci bukan dari sudut luaran, tapi dalaman. Di mana kita benar-benar mohon ampun dan taubat dari Allah sebelum berangkat mengikuti kembara tarbawi ini. Khuatir, ibadah tidak diterimaNya di sana kelak. Begitu juga dengan kehidupan kita, seharusnya lebih lagi kita bertaubat sebelum kematian menjemput dan lebih lagi ketakutan bahawa Allah akan menolak segala amalan kita di akhirat kelak.

Dan yang terakhir adalah tawakal. Di mana kita menyerahkan sepenuhnya kepada Allah apa yang ditinggalkan dan apa yang bakal kita hadapi. Kita tidak mengetahui apakah yang bakal berlaku. Mungkin perjalanan kita ini bisa jadi sehala. Tiada kembali. Boleh jadi kematian menjemput kita di sana. Atau kaum keluarga kita yang ditinggalkan yang pergi dahulu. Begitulah betapa kuatnya kita menyerahkan segala urusan kita kepada Allah Yang Maha Mentadbir segalanya. Dan kekuatan tawakal ini menjadikan kita lebih fokus dan lebih tenang untuk melakukan ibadah-ibadah di sana. Tawakal ini juga lebih mendekatkan kita kepada Allah. Kerana hati kita sentiasa berinteraksi dengan-Nya.

Begitulah persiapan yang seharusnya kita tekankan sebelum memulakan kembara tarbawi ini. Kerana sebelum itu yang akan menentukan gambaran langkah seterusnya. Kerana ini perjalanan menuju Tuhan. Hadirlah bersama 'ruh'. Hayatilah bersama tarbawi. Kerjakanlah dengan 'hati' bukan ritual semata.


Ya Allah...
Aku datang penuhi panggilanMu...
Tiada sekutu bagiMu...
Sungguh, segala puji dan nikmat...
Hanya milikMu dan kerajaanMu...
Tiada sekutu bagiMu...

aku datang ya Allah

Sunday, October 23, 2011

DILAMUN CINTA




SMS diterima.

SMS dibuka.

SMS dibaca

..
..
..

Senyum.

Senyum lagi.

Lagi.


Seakan terima 'surat cinta'.
~memang 'love' letter ~


Oh, begini rupanya perasaan dilamun cinta ya? Subhanallah, indahnya perasaan ini. Satu rasa cinta, yang didasari cinta kerana-Nya. Kalau dulu bahagia perasaan dilamar, kini, berbunga hati kerana sedang bercinta. Indahnya percintaan ini! Tak terungkap dengan bait kata. Semoga Dia kekalkan cinta antara kami. Melunakkan hati kami untuk saling setia dan jujur.
~angau cinta~

Wahai ukhti yang kucintai, kaulah cintaku, yang sentiasa membuatkan diri ini lebih cinta akan Dia. Perasaan ini, mahunya lestari selamanya. Mewangi di taman perkasihan. 


~sangat dalam~


p/s: hati selepas majlis 'melamar'...

Wednesday, October 19, 2011

JAUHI MAKSIAT!

jangan biar hati jauh dari cahaya

Sebenarnya, diri ini amat takut dengan apa yang sedang berlaku. Kerana merasakan kestabilan hidup, ketenangan jiwa dan peningkatan dari sudut mutaba'ah ibadah, semua ini berubah menjadi kekhuatiran. Kerisauan bahawa semua ini rupanya adalah 'invisible hukuman'.

Mendapat tugasan untuk menyampai tajuk 'Menjauhi Dosa' dalam halaqah memberikan kesempatan buat diri yang kurang membaca ini menjadi rajin membaca. Beberapa buah buku menjadi santapan akal dan ruhani dalam beberapa hari ini. Kesemuanya seputar dosa dan maksiat yang sangat-sangat banyak memberikan muhasabah dan kesan pada diri.

Merasa sangat mahu berkongsi dengan semua apa yang dibaca agar kita sama-sama dapat muhasabah diri. Sama ada kita sudah berada pada track yang betul atau tidak. Nastaghfirullah... Semoga bermanfaat buat semua juga.

Antara buku-buku yang sempat dijamah ialah:


1. Taushiyah Untuk Aktivis Islam (Dr. Najih Ibrahim)
2. Kitab Tazkiyah-Metode Pembersihan Hati Aktivis Dakwah (Cahyadi Takariawan & Ghazali Mukri)
3. Agar Akhirat Dekat di Hati (Syaikh Mahmud Al-Mishri)
4. Taujih Ruhiyah Pesan-Pesan Spiritual Penjernih Hati (Abdul Hamid Al-Bilali)

Namun, yang saya ingin kongsikan di sini adalah beberapa bahagian petikan dalam buku yang pertama. Berikut adalah beberapa petikan dalam buku tersebut yang sangat-sangat terkesan pada diri.

********************

Kadang, hukuman itu tidak terlihat. Misalnya, seseorang melihat sesuatu yang diharamkan Allah. Akibatnya, cahaya hati nuraninya bermasalah.

(interpretasi saya, sesuatu yang diharamkan ini tidak semestinya bahan porno, boleh jadi filem-filem atau gambar-gambar yang mendedahkan aurat atau yang boleh mengundang gejolak nafsu syahwat atau apa saja yang efek hati.)

Atau ia tidak mengendalikan lidahnya, lalu hatinya tidak lagi jernih. Atau ia lebih senang dengan makanan syubhat. Akibatnya, hatinya gelap, ia tidak bisa mengerjakan qiyamullail dan munajat.

(Kita sering makan bersama sahabat-sahabat, atau bertemu lalu berborak lama, kadang-kadang tak sedar telah berbicara yang sia-sia bahkan leka hingga menjadi ghibah pula. Atau hati masih tak dapat melupakan McDonals atau apa-apa saja yang syubhat.)

Maksiat itu melahirkan maksiat yang sama. Jika maksiat sering dikerjakan, maka terjadi akumulasi maksiat.

Kadang, pelaku maksiat melihat tubuhnya segar bugar, hartanya banyak, dan tidak ada masalah dengan keluarganya. Ia mengira tidak dihukum, padahal ketidaktahuannya kalau ia sedang dihukum merupakan hukuman. Ya, sesuatu yang manis baginya berubah menjadi pahit, lalu yang ada adalah pahitnya penyesalan, kesedihan dan kecemasan.

Diriwayatkan, seorang rahib Bani Israel bermimpi berbicara dengan Allah. Ia berkata, "Tuhanku, aku bermaksiat kepada-Mu, tapi Engkau tidak menghukumku." Allah befirman, "Aku sudah sering menghukummu, tapi engkau tidak tahu. Bukankah Aku telah membuatmu tidak lagi dapat bermunajat dengan-Ku dengan manis?"

(Astaghfirullah...betapa terkesannya pada diri ini.)

Kadang, di antara efek maksiat ialah Allah membuatkan seseorang dibenci manusia dan mereka menolak dakwahnya, kerana sebab-sebab yang tidak jelas. Abu Darda' berkata, "Jika seseorang bermaksiat kepada Allah ketika sendirian, Allah membuatnya dibenci oleh manusia, tanpa ia sedari."

(Lihatlah semua, betapa dahsyatnya efek maksiat itu. Kita dibenci tanpa disedari...)

Ibn Qayyim meringkaskan efek maksiat. Di antara efek maksiat ialah pelakunya tidak banyak mendapatkan petunjuk, fikirannya kacau, ia tidak melihat kebenaran dengan jelas, hatinya rosak, daya ingatannya lemah, waktunya hilang sia-sia, dibenci manusia, hubungannya dengan Allah renggang, doanya tidak dikabulkan, hatinya keras, keberkahannya di rezeki dan umurnya musnah, diharamkan mendapatkan ilmu, hina, dihinakan musuh, dadanya sesak, diuji dengan teman-teman jahat yang merosak hati, dan menyia-nyiakan waktu, cemas berpanjangan, sumber rezekinya seret dan hatinya terguncang. Maksiat dan lalai membuat orang tidak bisa dzikir kepada Allah, sebagaimana tanaman tumbuh kerana air dan terbakar kerana api.

(Adakah kita termasuk dalam mana-mana kategori? Tepuk dada, tanya iman, tanya diri..)

********************

Seperti halnya kita merasa gelapnya malam, begitulah gelapnya hati yang bermaksiat. Sungguh, sangat besar impak maksiat ini. Marilah kita sama-sama muhasabah diri dan bertaubat dari segala jenis maksiat yang kita sudah dan sedang lakukan. 

Taushiyah ini bukanlah untuk orang lain melainkan buat diri juga. Yang paling dekat dengan kita adalah diri kita sendiri. Walaupun berada dalam bi'ah yang solehah, janganlah merasa kita selamat dari bermaksiat dan merasaka maksiat takkan menghinggapi hati kita. Kita tidak maksum. Mungkin kita tidak bermaksiat secara fizikal atau jelas, tapi maksiat yang lebih halus dan tak nampak di mata. Itu kan lebih bahaya?

Atau lebih ditakuti sekali apabila rupanya kita sudah akrab dengan kemaksiatan itu hingga kita tak sedar sedang bermaksiat. Abu al-Hassa Al-Zayyat pernah berkata, "Aku tidak peduli akan banyaknya kemungkaran dan dosa. Yang paling aku takut adalah keakraban hati dengan kemungkaran dan dosa. Kerana jika sudah akrab dengan jiwa, jiwa jarang sekali tidak terpengaruh olehnya."

Dan yang lebih berbahaya dari keakraban dengan kemungkaran ialah sikap tidak peduli dengan hukuman, hingga sampai tahap tidak merasa apa yang dialami sekarang sejatinya hukuman atas dosa yang dikerjakan.

Astaghfirullah... Sekali lagi, marilah kita bersihkan hati dengan taubat. Kerana,percayalah ...kita tidak pernah lari dari melakukan dosa dan maksiat. Antara sedar ataupun tidak. Wallahu'alam.

Tuesday, October 18, 2011

DIMENSI SEBENAR HAJI

Wukuf di Arafah

Intro.
“Jangan lupa letak ‘haji’ nya… Dia sudah naik haji.”
“Nama saya ‘Haji Z”
“Ini haji saya yang ke-X”
“Saya dah banyak kali haji. Masuk ni dah kali ke-X saya naik haji”

Sekilas pandang, nampak biasa saja ungkapan-ungkapan di atas. Begitulah kebiasaan orang Malaysia seputar persoalan haji. Nampak biasa. Namun inilah refleksi sebenar, pemahaman tentang rukun Islam ke-5 ini. Suatu hakikat dan suatu refleksi realiti.

Sebelum ini, saya juga masih tidak berapa jelas akan kondisi ini. Sehinggalah berkesempatan mengikuti sebuah seminar bertajuk ‘Fiqh Haji’ di sebuah surau yang disampaikan oleh Ustaz Zulkifli Ahmad, TYDP IKRAM Bandar Tun Razak.

Dejavu.
Tajuk yang cukup dejavu bagi semua orang, saya kira. Pertama kali mendengarkan tajuk tersebut, sejujurnya, rasa ‘layu’ tumbuh sedikit kerana sudah berulang kali mendengarkan tajuk yang sama. Begitu juga yang terjadi kepada beberapa orang sahabat, mereka juga merasakan yang sama. Bintik-bintik ‘allergic’ mula tumbuh dalam hati.

‘Bawalah cawan kosong’.
Ungkapan ini tersangatlah tepat dan benar bahkan terbukti! Begitu lari dari jangkaan awal, apa yang kami fikirkan dan bayangkan terhadap penyampaian ini ternyata meleset dan jauh dari jangkaan. Ketika itu, diri jadi malu sendiri, benar-benar terkena pada batang hidung betapa masih ada sifat ‘sombong’ dan tidak rendah hati yang merambah dalam jiwa. Astaghfirullah, muhasabah kembali.

Dimensi.
Kami menemukan suatu dimensi lain yang cukup berbeza dalam penyampaian ‘fiqh haji’ kali ini. Dimesni yang berbeza dari sebelum ini. Yang memberi suatu pengisian yang sangat-sangat bernilai. Merasa tersangat beruntung terpilih untuk berada di situ ketika itu mendengarkan penyampaian tersebut. Syukur Alhamdulillah.

Khutbah Wada’
Padang Arafah. Pada tahun ke 10 Hijrah ketika mengerjakan Hujjatul Wada’, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir. Baginda bertolak ke Arafah dari Mina setelah naiknya matahari 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untk baginda dan baginda masuk serta berada di dalamnya sehingga terglincir matahari (waktu zohor). Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya Al-Qaswah, lalu menaikinya sehingga baginda tiba di Wadi Uranah. Di hadapan baginda, ribuan para sahabat mengelilingi baginda. Semuanya menanti penuh debar. Apakah yang ingin disampaikan baginda?

Ramainya manusia yang berhimpun pada haji wida’ itu. Ada riwayat mengatakan jumlahnya mencecah 144000 orang semuanya.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Kupasan oleh Ustaz Zul:
Betapa pentingnya kita untuk menyampaikan apa saja ilmu yang kita dapat kepada yang tidak hadir. Seperti sekarang, sampaikanlah apa yang kamu dapat ini kepada kawan-kawan. Berapa ramai orang yang tidak berkesempatan untuk mendengar penyampaian ini, sampaikanlah kepada mereka.


Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Kupasan oleh Ustaz Zul:
Jika semua jemaah haji memahami isi kandungan khutbah ini, jika kita semua memahami, maka tidak akan ada satu pun di antara kita yang akan menyakiti orang lain. Kita semua akan memahami penderitaan saudara-saudara kita di Palestin dan juga di mana-mana saja yang sedang tertindas. Maka dunia ini akan aman kerana semua orang jiwa dan harta setiap muslim adalah suci.


Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Kupasan oleh Ustaz Zul:
Di sini, ustaz Zul mengupas tentang bagaimana Rasulullah sangat-sangat mengangkat kedudukan dan martabat kaum wanita. Sehingga Allah juga menamakan salah satu surah dalam al-Qur’an dengan An-Nisa’ di mana begitu jelas sekali keistimewaan wanita. Kaum lelaki seharusnya berlembut dengan wanita. Berinteraksi dan berkomunikasi dengan cara yang terbaik tanpa mengenepikan syari’ah. Haknya dipenuhi. Walaupun si isteri punya gaji sendiri, tapi si suami masih perlu memenuhi hak keperluan si isteri.


Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Kupasan oleh Ustaz Zul:
Apakah interpretasi dari ayat berwarna merah itu? Itulah sebabnya kita kena berdakwah. Kita kena menyambung kerja warisan nabi ini. Kita harus sampaikan Islam. 

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.

Kupasan oleh Ustaz Zul:
Di sinilah turunnya wahyu mengenai kesempurnaan agama Islam.
“Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu.” (Al-Maidah ayat 3)

Selepas baginda membacakan wahyu ini, para sahabat saling berpelukan kerana begitu gembira. Namun sayyidina Abu Bakar perasan al-Qaswah unta nabi menitiskan air mata dengan banyak. Beliau pun ikut menangis. Sayyidina Umar bertanya apakah sebabnya lalu Sayyidina Abu Bakar menjelaskan. Di sebalik berita gembira sempurnanya agama Islam, wahyu penutup itu juga petanda khabar duka. Baginda pasti akan meninggalkan mereka kerana tugasnya sebagai Rasul sudahpun selesai. Mendengar itu sayyidina Umar pun menangis sama, begitu juga dengan para sahabat yang lain.


Impak Dari Khutbah Wada’

Setelah mendengar khutbah haji wida’ hampir semua para sahabat telah bertebaran keseluruh pelusuk  dunia untuk menyampaikan pesanan. Daripada 124 ribu hanya sekitar 10 ribu para sahabat yang kuburnya berada di Mekah dan Madinah selainnya berada bertebaran diseluruh dunia. Atas usaha dan pengorbanan para sahabat lah kita di Nusantara mendapat nikmat yang MAHA besar iaitu nikmat IMAN kepada ALLAH S.W.T.

Setelah kita benar-benar memahami isi kandungan khutbah wada’ ini, apakah sempat untuk kita memikirkan title ‘haji’ yang kita ada? Mengira berapa kali sudah kita ke baitullah? Tidak! Dan inilah falsafah haji yang sebenar, yang seharusnya difahami oleh setiap manusia lebih-lebih lagi yang sudah menunaikan haji. Inilah falsafah haji yang sebenar yang Rasulullah mahu setiap dari kita mengerti dan beraksi.

Allahu…Sudah lama rupanya saya tertinggal dari memahami makna sebenar haji dan falsafah sebenar haji ini. Biarpun terlambat mengetahuinya, saya bersyukur kerana dapat memahaminya. InsyaAllah, bakal mengerjakannya. Perkenankanlah ya Allah.


p/s: Sebenarnya, perasaan dan apa yang dapat pada hari itu hanya 40% saja dapat digambarkan ke dalam penulisan ini. Selebihnya, sangat-sangat sukar diungkap. It just, only Allah knows what’s inside my heart when listening to the talk. Only Allah knows. Maafkan diri ini kerana sukar untuk berkongsi pada kali ini.  Semoga mendapat manfaat walaupun sedikit. Wallahu’alam.

Monday, October 17, 2011

KERANA CEKEDIS


sedap ke cekedis ni? =)

Dalam satu pertemuan di sebuah program di luar kampus, sedang kami enak duduk santai selepas tamat pengisian program sesi malam itu, ada yang sedang makan nasi, ada yang sedang mengadap laptop dan ada juga yang sedang baring memujuk mata agar tidur.

Saya mengambil tempat di tepi seorang ukhti yang sedang memujuk matanya untuk tidur tadi. Gigi sudah diberus, wuduk telah diambil, tinggal menanti mata untuk tidur. Sambil-sambil melihat akhawat lain seronok menjamah nasi dan ada juga sedang sibuk berniaga di hujung sana. 

“Kak Syeera, jom makan sekali nasi? Banyak ni. Jom kak.” Pelawa seorang adik dengan penuh mesra sekali.

Saya hanya tersenyum tanda menolak. Dan mempersilakan mereka yang lain makan. Hati tak teringin untuk makan sesuatu yang berat waktu malam begini. Lagipun, dalam hati terdetik ‘Aku da berus gigi tadi. Malas nak berus lagi.’

Selang beberapa minit kemudian seorang adik lagi mempelawa makan sejenis makanan ringan atau lebih senang dikenali dengan cekedis. Cekedis Jack&Jill Roller Coaster. Disuakan cekedis itu kepada kami (saya dan ukhti yang hamper nak tidur tadi), terus ukhti itu menyambarnya dan makan. Begitu juga saya. Yang tadi sibuk-sibuk mengira malas untuk berus gigi kali kedua. Tapi, sebaik saja dihulur dengan cekedis tadi, hati terus berubah. Fikiran terus memutus untuk makan. Alahai, lemahnya dengan godaan. Bisik hati ini.

“Akak, tadi kan, sebenarnya saya tak teringin nak makan nasi tu tadi sebab fikir malas nak berus gigi lagi. Tapi bila orang sua cekedis tadi, terus saya tak fikir apa lagi. Saya terus ambil dan makan. Tak tahan godaan cekedis tu.” Luah ukhti di sebelah saya itu. 

“Oh, rupanya safinah(bukan nama sebenar) pun macam akak ke? Akak pun fikir yang sama.” balasku pula.

Itulah kan kak… Bagaimana pengaruh western tu begitu kuat. Kita boleh lagi tolak nak makan nasi tu tadi, tapi bila kena sikit je dengan cekedis tu, terus kalah. Ini kita kak. Macam nil ah agaknya orang-orang yang kat luar tu kan kak. Umpama macam bila mereka dihulur dengan kebaikan, program-program agama, mereka akan menolak. Tapi bila bila disuakan, dihidangkan dengan program-program mungkar, perkara-perkara lagho dan hal-hal yang tak baik, cepat je mereka serap dan terima. Kuat betul ‘Ghawzul Fikri’ (perang psikologi) yang dilancar oleh musuh Islam ni kan kak? Uh, Finah terasa betul la dengan apa yang berlaku tadi. Refleks terus pada diri kita kan kak?

Aku mengangguk. Benar. Sangat benar. Dan ini kita, para penggerak dakwah. Mereka? Pastilah lebih rapuh dan mudah terpedaya. Astaghfirullah..

Kejadian yang kecil, namun impak yang besar buat diri ini. Terima kasih buat ukhti Safinah itu yang mereflekskan kejadian itu dengan hal-hal sebegini. Dalam kesibukan atau hal-hal kecil, kadang-kadang kita terlupa untuk muhasabah diri dan kita terlupa memikirkan kondisi umat. 

Alhamdulillah diberi bi’ah solehah yang selalu memperingatkan diri saat terlalai dan terleka.
Semoga mendapat sedikit perkongsian dari tulisan kali ini. Sharing sukses!

Friday, October 14, 2011

AKU DILAMAR~

cinta itu indah


Sujud syukurku atas cinta-Mu.
Tiada lagi nikmat nan bahagia begini.
Akan kugenggam, kugigit dengan geraham.
Istiqomahkan aku Robbi..
Satukanlah cinta-cinta kami.

Subhanallah... tiada kata lagi yang mampu terucap saat cinta hadir melamarku. Itulah yang kudoakan selama ini. Akhirnya rintih hati didengari juga.. Alhamdulillah..


Adakah anda pernah merasa perasaan dilamar? Lebih-lebih lagi jika lamaran itu dari 'sumber' yang kita nanti-nantikan, yang kita berharap sangat datang darinya. Nak katakan, begitulah perasaan saya. 


Dan lagi, jika kita pernah menolak untuk menerima cinta itu, merasa lelah dan terbeban dengan cinta itu, merasa tidak layak atau merasa tidak dapat memberikan komitmen terbaik buat cinta itu kerana punya komitmen lain yang lebih 'penting' kononnya. Yang pokok asalnya, cinta itu kita tolak kerana terpaksa memilih di antara dua perkara yang sama-sama penting.


Namun, setelah cinta itu kita tolak... perasaan kehilangan itu tersangat mencengkam jiwa. Kita menderita. Rupanya, kita tidak dapat hidup dengan cinta itu. Kita merasa gundah gulana. Apabila melihat orang lain sangat bahagia dengan cinta itu, kita merasa sangat cemburu. Kita rasa rendah diri, kurang keyakinan, jurang yang jauh dan kita rasa kita tidak punya apa-apa.


Hanya mata yang memandang sekilas kebahagiaan insan lain bersama cinta itu. Dalam hati, kerinduaan pada cinta itu membuak-buak. Kita boleh saja, menarik balik penolakan yang kita buat, namun...rasa 'malu', segan dan sebenarnya lebih tepat 'ego', tapi kita tidak mahu merendahkan diri, menundukkan hati untuk kembali meraih cinta itu. Kononnya, 'pride' kita itu lebih penting, sangat mahal dan bermacam lagi alasan yang kita temukan untuk mempertahankan keputusan awal kita itu.


Detik demi detik berlalu, hari berganti hari, purnama silih berganti... hati tidak tertahan lagi. Rindu ini makin menghempas! Perlu lakukan sesuatu! Namun, dalam jangka waktu tidak bersama cinta itu, diri cuba diperbaiki, cuba dibangkitkan kembali semangat diri. Ego mula melebur, hati mahu dikuatkan. Hakikat yang cinta itu lebih penting dari segala-gala yang kita pertahankan selama ini mula diterima dan perlahan-lahan menjadi satu 'syarat' baru buat diri.


Motivasi diburu, potensi digali, diri cuba untuk 'grooming', khas untuk tackle semula cinta yang kita sendiri tolak itu. Dalam hati, 'malu' untuk mengaku kesilapan dan 'segan' nak merujuk semula itu makin tipis. Dalam hati, 'ah, biarlah apa orang nak kata." 


Barangkali merasa cukup dengan persiapan baru untuk menyerlahkan diri di depan cinta itu. Akhirnya melihat lagi insan demi insan yang terpilih sedangkan kita tidak dipandang langsung. Kita bagaikan dipandang sekilas dan sebelah mata sahaja. 


Pada awalnya, merasa 'down'. "Kenapa aku tidak dipilihnya?" Sekejap saja pemikiran itu hadir. Alhamdulillah, masih diberi rasional dan kewarasan dalam pertimbangan. Terus menangis dan menangis kerana menyedari hakikat yang diri ini sendiri yang masih tidak memberi sepenuhnya jiwa dan perasaan terhadap cinta itu. Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan diri ini sehingga diri ini sedar yang tidak layak lagi untuk memiliki cinta itu. Banyaknya kekurangan... Kerana tidak semua orang akan terpilih untuk menerima cinta itu. 


Kerana Allah itu menyaring insan-insan yang layak untuk menerima cinta-Nya! Penilaian itu datangnya dari penilaian Allah, bukan dari manusia. Hanya orang-orang yang ikhlas dan mampu untuk menerima amanah cinta-Nya yang akan dipilih untuk bercinta dengan-Nya.


Allah akan 'berjual-beli' cinta-Nya dengan orang-orang yang benar-benar ikhlas, murni hatinya dan tanpa sebarang kepentingan peribadi jauh sekali dari kepentigan duniawi. Saat diri mengerti akan sebab dan punca tidak terpilih mengemban cinta-Nya, dunia bagaikan di hujung. Rasa hina dan dina di hadapan-Nya. Malu dengan-Nya. Taubat pada-Nya. Redha atas ketentuan-Nya. Tumpang bersyukur dan gembira atas nikmat cinta-Nya yang diberi kepada insan lain.


Saat itu. Ketika itu. Itu yang dirasa untuk seketika. Lantas, diri semakin bersemangat dan termotivasi untuk bangkit mencuba sekali lagi. Kali ini, niat diluruskan jauh dari sebarang tujuan-tujuan lain. Jauh dari populariti, jauh dari memperbaiki diri atau bukan juga untuk menambah ilmu. Tapi kali ini, diri cuba memurnikan niat yang bahawa tujuan diri ingin meraih cinta-Nya hanyalah semata-mata kerana-Nya. Hanya semata untuk membumikan cinta-Nya. Tidak pada diri sahaja tapi agar cinta-Nya sampai pada hati-hati yang lain. Kerana diri baru terdetik mengerti bahawa cinta-Nya bukan hak milik peribadi. Bahkan harus disebarkan seluas-luasnya kepada jiwa-jiwa lain. Cinta-Nya seluas-luas buat semua. Bukan hanya untuk diri ini saja! Cinta-Nya ini mengajarkan kita erti bermadu kasih, erti berkongsi sayang dan erti berbagi cinta! 


Cinta-Nya berbeza dengan cinta manusia. Kalau cinta manusia yang dikongsi akan merambah dengki dan benci, namun cinta kita dengan-Nya beda! Semakin ramai yang berkongsi cinta-Nya dengan kita, semakin bahagia...semakin manis..semakin mesra..semakin damai dunia...Subhanallah! Tiada kata lagi mampu terungkap untuk menggambarkan hebatnya cinta-Nya.


Kembali sejenak denga kisah diri... Akhirnya, sewaktu diri benar-benar berada dalam pengharapan dan doa yang sangat digantungkan pada-Nya, di rumah suci-Nya (masjid), penuh barokah, dengan berlatarbelakangkan lantunan ayat-ayat cinta-Nya (ayat suci Al-Qur'an), dengan penuh rasa kesyukuran yang tak terhingga, 


Diri ini dilamar cinta-Nya.

Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..Akhirnya doa ini termakbul. Semoga cintaku dan cinta-Nya terus mekar. Aku tidak mahu lagi berpaling. Biar kadang aku pasti rapuh, namun kutahu insan-insan yang terpilih untuk bercinta dengan-Nya juga pasti akan menguatkanku. Semoga kita sama-sama istiqomah menyemai cinta-Nya pada yang jiwa-jiwa yang lain, agar satu hari nanti, tidak akan ada satu jiwa pun yang tidak menerima lamaran-Nya. Dan tidak ada satu hati pun yang tidak menerima cinta-Nya. Itulah tugas kita, para penyebar cinta-Nya! 

inilah cinta-Nya


Alhamdulillah, aku kini sudah 'berpunya'.:x lovestruck:x lovestruck

~Fasabbih bihamdi rabbika wastaghfir, innahuu kaana tawwaaba~




p/s: Astaghfirullah...Afwan atas kata-kata yang terlampau atau yang tidak kena pada jiwa yang membaca.