774 Wanita Kita Gersang Cinta Cair |
KUALA LUMPUR: Koleksi surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak, antara bahan ditemui polis dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan mereka untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mencatatkan sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata siasatan polis mendapati sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan terutama mereka yang kesepian dan ketandusan kasih sayang.
“Taktik atau cara yang mereka lakukan ialah menghantar e-mel atau mesej melalui laman sembang sosial di Internet seperti facebook, Tagged dan Wayn kepada ratusan mangsa dalam sehari,” katanya.
Menurutnya, hasil siasatan pada komputer riba yang digunakan seorang ahli sindiket terbabit, pihaknya menemui skrip berkenaan bersama fail lain yang siap disusun atur dalam pelbagai versi bagi menjayakan rancangan mereka.
**********************************************************************************
Tugasan mencari akhbar islami yang diberi kepada saya menemukan saya dengan berita di atas. Aduhai wanita, begitu mudah kau tertipu. Tambah gerun di hati bila teringatkan kata-kata ini;
"Jika kita mahu lihat generasi masa depan, maka lihatlah bagaimana wanita hari ini."
Tidakkan kata-kata di atas menggentarkan hati kita? Manakan tidak! Kita telah dihadapkan dengan bukti dan petanda yang nyata. Kita juga khuatir dengan apa yang berlaku pada wanita masa kini. Kerisauan ini bukan sekadar atas sebab individu bahkan seluruh masyarakat.
"Seorang ibu ibarat sekolah, apabila kamu siapkan dengan baik, bererti kamu menyiapkan satu bangsa yang harum namanya."
Di manakah peranan wanita muslimah yang sejati seperti yang telah di'sibghah'kan oleh para ummahatul mu'minin dan juga para sohabiyat? Kita melihat sebagai contoh peranan wanita-wanita muslimah seperti:
Asiah, isteri fir'aun yang berdiri teguh mempertahankan keimanannya di tengah kefasikan dan kejahilan suaminya. Demikian juga ibu Nabi Musa yang begitu sabar dan redha dengan perintah Allah menghanyutkan bayinya. Begitu juga dengan Siti Hajar ibunya Nabi Ismail yang ditinggalkan suami tercinta bersama anaknya yang ketika itu masih bayi. Betapa dia redha dan ikhlas menerima perinta Allah ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir kering kontang. Bagaimana pula dengan Siti Khadijah? Di saat suaminya Nabi Muhammad dan juga Islam memerlukan dukungan, dialah insan itu yang berkorban mengeluarkan seluruh harta kekayaan demi Islam tercinta. Dialah yang mendukung perjuangan dakwah suaminya. Tak kurang pula Asma' Abu Bakar. Yang ketika itu sarat mengandung. Membawa bekal makanan buat Rasulullah serta ayahnya, mendaki bukit berbatuan demi hijrah Islam yang murni. Kecerdasan Aisyah juga tidak terbanding. Meriwayatkan begitu banyak hadith dan menjadi sumber rujukan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah.
Apakah wanita-wanita besi ini muncul dengan sendirinya? Apakah peranan ini juga difahami dengan sendirinya secara tiba-tiba? Munculnya mereka ini adalah melalui proses 'pembinaan'. Bukan terhad dari segi akhlak, peribadi, fikrah dan bahkan wanita-wanita ini sangat hebat dalam segala sudut berkat dari pembinaan yang berterusan itu.
Dan kita, wanita muslimah masa kini, kita juga mahu menjadi seperti mereka. Kita mahu menjadi 'catalyst' dalam proses reaksi perkembangan Islam. Ini menuntut kita untuk memahami urgensi tarbiyah wanita muslimah di mana dengan tarbiyah, wanita muslimah:
- Dapat menambah ilmu dan wawasan.
- Dapat mendukung suami dan dakwah.
- Dapat mendidik anak-anak.
- Dapat mewujudkan masyarakat Islami.
Bukankah ini yang seharusnya ada pada seorang wanita muslimah? Sayangnya, wanita muslimah hari ini telah hilang malu. Telah hilang ketinggian harga diri. Sehingga mereka mudah terpedaya dengan jerat duniawi.
Andai beginilah keadaan wanita muslimah masa kini, bagaimana pula terlahirnya generasi akan datang? Sungguh, sangat gerun jika kita benar-benar menghitung dan memperhatikannya. Sudah terbayang akan bobroknya masyarakat dan cara hidup generasi akan datang. Naudzubillahi min dzalik.
Satu solusi dan satu jalan yang tepat dan berkesan adalah tarbiyah. Apabila semua wanita muslimah memahami urgensi tarbiyah, insyaAllah, segalanya akan dapat dipulihkan. Maka, siapakah yang harus memastikan itu semua? Siapakah yang harus bertanggungjawab untuk itu semua?
Kita? Ya, kita.
No comments:
Post a Comment