Peringatan
Hari ini, bermula dari detik subuh hingga ke saat ini, tidak henti-henti Allah datangkan peringatan-Nya buat saya. Peringatan yang tidak lain hanya sebagai tanda cinta-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Alhamdulillah, saya masih lagi termasuk dalam golongan yang masih merasakan peringatan Allah itu selalu ada.
Ada beberapa peringatan Allah pada saya yang ingin sekali saya berkongsi dengan teman semua. Peringatan tentang nikmat ujian, nikmat kesihatan, nikmat waktu, dan nikmat energi berbagi. Semua peringatan ini datang bersilih ganti teratur mengikut peristiwa dan waktu yang sangat tepat.
Nikmat Ujian
Pagi tadi, saya sempat membuka emel bersama teman sebilik. Seorang ukhti telah mengepos kisah pengalamannya menjaga seorang lagi ukhti yang mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya. Ia bercerita tentang kesabaran ukhti tersebut akan kecederaan yang dihadapinya bahkan keadaannya langsung tidak melemahkan semangatnya untuk terus berjuang melawan segala keuzuran. Bayangkan, dalam keadaan yang sakit, ukhti tersebut masih mampu untuk kembali ke kampus semata-mata untuk mengambil peperiksaan walaupun hakikatnya ia telah mendapat 'study leave' daripada pihak pentadbiran universiti.
Apa yang menyentuh hati saya, semangat yang ada pada ukhti itu dalam memijak duri-duri di hadapannya, langsung saja terus meraduk arus ujian yang deras. Dalam kesakitan itu, ia masih cekal bangun setiap hari pada pukul 3pagi, tidak pernah tertinggal untuk qiyamulail. Kata kunci yang pertama, CEKAL.
Dan lagi, ukhti tersebut begitu tabah menghadapi sakit yang dirasainya ketika melakukan gerakan solat. Bayangkan, tiga tulang rusuknya patah, dan ia terpaksa menahan kesakitan itu dalam solatnya. Bila ditanya sama ada sakit atau tidak, jawabnya, "Sakit, memang sakit, Tapi bila fokus betul-betul, sakit itu hilang dengan sendiri." Kata kunci yang kedua, FOKUS.
Lebih melihat keluarbiasaan semangat ukhti itu, tidak pernah dalam sehari pun ia tidur semula selepas subuh. Pasti aktivitinya diteruskan dengan ulangkaji pelajaran yang ia tertinggal selama cuti sakit. Kesungguhan dan keseriusannya dalam mencapai targetnya membuahkan hasil apabila ia berjaya menamatkan silibus yang ia tertinggal begitu banyak. Kata kunci ketiga, SERIUS.
CEKAL, FOKUS dan SERIUS.
Subhanallah, ketiga-tiga elemen ini sangat saling bersandaran dalam rangka menempa kesuksesan dalam kehidupan (selain usaha, doa dan tawakal). Apa sahaja yang ingin dicapai, andai adanya ketiga-tiga elemen ini, pasti akan berhasil. Dan, saya jadi tersedar. Mengevaluasi, mengintrospeksi diri, rupanya diri ini masih belum benar-benar memegang ketiga-tiga elemen ini dalam mencapai maksud dan tujuan. Ya Allah, peringatan-Mu hadir di saat aku memerlukannya. Ibarat tekak yang dahaga menanti setitis air mengalir melaluinya. Sungguh, Engkau dekat. Lebih dekat dari urat leherku.
to be continued...(nikmat seterusnya)
No comments:
Post a Comment