Tuesday, August 16, 2011

SANG PENGUASA

Siapa Sang Penguasa Utama?


Sang Penguasa...

Astaghfirullahal'azim.... 
Istighfar panjang saya mendengar sebuah kisah dari seorang sahabat ini. Adakah manusia mula lupa siapakah sang Penguasa yang sebenar?

Sedikit picisan kisah yang saya sempat kongsi bersama pembaca, iktibar buat kita semua...Dari sana...dari bumi UIA tercinta. Tujuannya bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sekadar mengutip ibrah dan untuk menundukkan hati kita bahawa sebesar mana pun kita, apa pun posisi yang kita pegang, ingatlah, masih ada Sang Penguasa yang Maha Besar di atas kita..


Jumaat Yang Barokah...

Minggu lepas, saya sempat menziarah sahabat-sahabat yang menyambut Ramadhan mereka di UIA. Rasa cemburu di hati memang sangat kuat. Melihat ada di antara mereka yang sudah hampir 3 kali khatam Qur'an, dan ramai yang di antara mereka semua sudah khatam.. Ah, jelesnye! Namun apakan daya, saya bekerja di Bangsar sepanjang cuti 2 bulan ini. Ramdhan tahun ini ternyata berbeza dengan sebelumnya. Kerinduan pada iftar, terawikh dan qiyam di Masjid SHAS begitu tebal. Sungguh bahagia menyambut ramadhan di sana. Iktikaf di masjid sepanjang masa..Sahabat-sahabatku, sungguh beruntung kamu semua! Tapi ingat, ramadhan itu bukan di UIA sahaja, ibadah itu bukan di masjid saja. Semuanya tergantung bagaimana kita mengisi Ramadhan ini sebaik-baiknya. Celakalah bagi orang masih lagi ketawa berdekah-dekah sedangkan Ramadhan berlalu begitu saja. Na'udzubillahi min dzalik...


Ini Kisahnya...

"Syera, kamu mahu dengar sebuah cerita. Cerita benar. Dan aku harap kamu tulislah dalam blog kamu. Sebagai pengajaran dan iktibar buat kita semua. Aku benar-benar tak boleh terima apa yang berlaku. Kerana aku berada di situ, di saat itu dan akulah mangsa itu." Seorang sahabat memula bicara.

Saya hilang punca. Tentang apa dan siapa. Saya menunggu sahabat ini menyambung bicara.

"Kamu tahu, kami semua dapat beriktikaf awal di masjid SHAS ini tahun ini. Awal lagi, Kami sudah diberi kebenaran minggu pertama lagi. Cuma masalahnya yang berlaku bermula dari pihak yang sepatutnya menyerahkan kunci bilik lambat menyerahkan kunci bilik kepada  kami menyebabkan ramai sisters yang terpaksa tidur di ruangan solat dan bukan di dalam bilik."

Saya masih lagi mendengar.

"Satu malam...dalam pukul 11 lebih. Aku masih belum tidur, menyiapkan tugasan yang belum selesai. aku duduk di belakang sekali. di tempat yang tidak dapat terlihat oleh brothers."

 Dan sememang ruangan solat sisters berada di tingkat 3 memang selamat jika di bahagian belakangnya. 

"Malam itu kami lihat lampu di ruangan brothers telah ditutup. Fikiran kami lega, kerana sudah gelap. Namun tiba-tiba, pintu yang memisahkan ruangan brothers dan sisters di tingkat 3 dibuka kasar. Seorang lelaki (yang berpangkat 'ustaz' zahirnya) menjerit dan memaki-maki kami ibarat samseng. Aku terkedu Syera! Aku tidak sempat menutup aurat saat itu. Begitu juga dengan beberapa orang sisters yang berada tidak jauh dari aku. Lelaki itu dengan tanpa segan dan malu dengan perbuatannya menghalau kami dan dengan tanpa berdosa memandang kami yang masih tidak menutup aurat sepenuhnya. Dia memaki menyuruh kami keluar dari masjid itu kerana tidak ada kebenaran untuk tidur di masjid. Dia silap! Kami telah pun mendapatkan kebenaran itu."

Darahku membuak mendengar cerita sahabatku ini,

"Kau tau, seorang ukhti bangun dengan tindakan refleksnya menentang lelaki itu. Lebih kurang beginilah dialognya.."

Ukhti: Kenapa main masuk je? Kalau ya pun nak halau kami, berilah salam dulu, ketuklah pintu dulu? Kenapa tak respek kami? Kami boleh pergi, tak perlu maki-maki begini, Di mana akhlak anda sebagai seorang muslim?

Lelaki: Ah! Aku peduli apa! Kat sini, aku yang berkuasa. Dah, keluar-keluar! Sapa bagi korang semua tidur kat masjid ni?

Ukhti: Saya tahu awak berkuasa kat sini tapi ingat, Allah lagi berkuasa dari awak. Awak tidak menghormati kami muslimah. Beginikah caranya?

Lelaki itu terdiam dan tidak dapat membalas kata-kata ukhti itu. (Sebenarnya dialog ini masih panjang dan mungkin berbeza dengan yang sebenar kerana penulis hanya mendengar dari saksi. Keadaan sebenar lebih genting dan penuh emosi)

Lelaki itu dengan selambanya berjalan melalui sisters yang termangu tidak sempat tutup aurat dan menutup lampu lalu keluar dari ruang solat itu ke pintu yang dimasukinya tadi.


Apa Kata Hati?

Saya...Sedih...Rasa seperti Masjid Al-Aqsa pulak kan? Tidak dibenarkan beribadat di situ. Dan lagi.. Lelaki itu, kerana ingin menegakkan undang-undangnya, sehingga sanggup melanggar syariat Allah. Maruah muslimah yang sepatutnya dilindungi telah dirobek dan diperlecehkan.Bila merasakan dirinya berkuasa, sehingga hilang rasa kehambaan dan terlupa masih ada Sang Penguasa Utama di atasnya. Di manakah silapnya? Sistem? Iman? Jawablah dari hatimu...




Thursday, August 11, 2011

DIAM

Belum mampu menghamburkan segala yang tercatat dalam hati..untuk tempoh ini..sangat sukar untuk meluahkan...

izinkan diriku berDIAM seketika...


Thursday, July 28, 2011

Sayu...

Ramadhan bakal menjengah...
Bulan yang menyatukan silaturrahim..
Sudah lama tidak bertemu dengannya...
Bilakah kemarau persengketaan ini bakal berakhir?

Rindu hadirlah..
cinta bersemilah..
Kemaafan, suburlah...
Biar lara terus berlalu..
Biar kasih tumbuh semula...

Sungguh dalam hati ada kesal dan rindu...
Mengapa ini terjadi..
Ayah..bila mahu kembali?

Sunday, June 19, 2011

KASIH AYAH

Kasih ayah...


Di bawah ini, tulisan lama. Kisah lama. Namun kisahnya masih lagi berkesinambungan. Hati ini begitu pedih. Pilu mengenangkan seorang ayah. Walau di mana dia berada. Semoga Allah beri petunjuk dan memeliharanya. Sungguh, tipulah andai diri ini mengatakan tidak pernah memikirnya..bahkan setiap hari. Dia pernah membesarkanku. Pernah menyayangiku. Selamat Hari Bapa buat ayahku. 

********************
Afwan terlebih dahulu...

Dia baru lepas menangis semahunya. Matanya merah menyala. Keluar saja dari bilik interview tadi, terus lagi air mata menghujan..Tadi, di depan tiga orang ustaz, dia telah menangis. Dia geram! Kerana dia terlalu lemah untuk menjadi keras. Lemah untuk menyembunyikan perasaannya. Malu sungguh!

Interview tentang apa?

Interview zakat. Ustaz itu sangat pandai menggunakan kata-katanya. Pandai sungguh psik pemikirannya. Biar apa pun masalah yang terpaksa diceritakan kepada tiga orang ustaz tadi, namun hanya satu perkara yang buat dia tak dapat menahan perasaan lalu 'burst' terus di situ.

Satu ayat dari seorang ustaz yang duduk paling kiri sekali...

"Walau apa pun yang ayah awak dah lakukan...ingatlah waktu awak kecil dulu, dia pernah mendukung awak, menimang awak...dia pernah sayang awak...Ingat yang itu saja..."

Air matanya terus berderai di situ. Semua ustaz menenangkannya dan memberinya masa untuk bertenang.. Mungkin dialah calon yang paling lama dalam bilik itu...

Dan lagi ustaz itu menyambung...

"Kesian...tua nanti dia hidup sunyi..seorang diri..ada penyakit...tak siapa tahu..."

Memang ada kebenarannya..Memang...Tapi, bila terkenangkan apa yang telah berlaku ke atas dirinya dan keluarganya, hati bagaikan membara semula..

Istighfar...

Dalam sudut hatinya....

"Dia tetap seorang ayah. Harus dihormati. Hanya doa agar ayahnya berubah dan kembali ke pangkal jalan. Menyesali segala kesalahan. Dan dirinya...inilah tugasnya sebagai seorang da'i untuk menegur, memperbaiki dan menyambung silaturrahim..."

Ayah dan ibu...
Itulah..permulaan kami...
Dapat melihat bulan dan matahari...

********************



SUDAH BERSIAP?


"Allahumma bariklana fi Rajab wa Sya'ban, wa balighna Ramadhan"

Bulan Rejab kini tinggal sisa. Sya'ban bakal menjengah sedikit waktu lagi. Kemudian, akan tibalah bulan penuh keberkahan, bulan yang dinanti, Bulan Ramadhan.

Namun, bagaimanakah persiapan kita untuk menempuhi bulan Ramadhan itu? Persiapan ruhi? Persiapan jasadi? Persiapan aqli? Sudahkan kita bersedia untuk masuk ke bulan tarbiyyah ini? Tidak sanggup rasanya untuk masuk ke bulan itu dengan 'tangan kosong'. Paling kurang, adalah sedikit buah tangan untuk kita bawa masuk ke bulan itu ya.

Setiap orang pasti masing-masing dengan persediaan tersendiri. Dari sudut ruhi, kita tingkatkan evaluasi ibadah kita. Bagaimana dengan qiyamullail, puasa, tilawah, hafalan dan solat sunat rawatib? Adakah semakin meningkat atau masih di tahap yang sama?

Dari sudut jasadi, kita perlu melakukan riadah bagi meningkatkan stamina supaya kita tak terkejut dengan perubahan fisiologi dalam badan kita. Stamina untuk bergerak di siang hari, terawikh di malamnya dan untuk bangun qiyamullai di sepanjang Ramadhan nanti. Kesemua ini perlu dipersiapkan dari sekarang, Kita tidak mahu hanya masuk ke bulan Ramadhan dengan sepintas lalu, mengharunginya tanpa spirit dan hambar. Lalu, pejam celik kita sudah keluar dari bulan tersebut.

Kita mahu menikmati seluruh kebaikan dan ganjaran yang Allah telah kurniakan kepada kita di bulan Ramadhan nanti. Bagaimana pula dengan persediaan aqli? Sudahkah kita semak kembali fiqh puasa? Niatnya masih ingat? Apa yang batalkan puasa? Dan yang penting, apa yang batalkan pahala puasa? Kelebihan-kelebihan, sunat-sunat yang kita harus lakukan sepanjang bulan puasa. Iktikaf? Bagaimana nak iktikaf? Apa syarat-syaratnya? Sudahkah kita sediakan ilmu-ilmu ini semua?

Bulan Ramadhan yang datang sekali setahun ini, sayang rasanya kalau kita biarkan ia berlalu seperti bulan-bulan lain. Tulisan kali ini lebih kepada reminder buat diri dan juga para pembaca. Semoga akan mampu mencetus mahu untuk berbuat sekarang. 

Teruskan dengan persiapan anda. Tingkatkan mana yang kurang. Lajukan mana yang perlahan. InsyaAllah, semoga bisa bertemu dengan Ramadhan kali ini. 

~Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna...~

Wednesday, June 15, 2011

STRESS? BRING IT ON!!

Sebagai seorang muslim, bagaimanakah cara kita menguruskan keadaan stress? Bagaimana untuk menyalurkannya pada tempat yang betul? Balik-balik, semuanya tergantung kepada iman kita. Iman yang di dalam itu akan refleks kepada setiap perkara yang di luar itu. Jadi, bagi mengetahui tips-tipsnya, mari kita luangkan masa ke sebuah majlis ilmu, 'Woman Issues' dengan tajuk minggu ini yang merupakan juga program akhir untuk semester ini iaitu "STRESS? BRING IT ON!!"


Jangan lupa: Ada Farewell Party (Majlis Wida') + Special Performance (Nasyeed Kumpulan Shoutul Humaira')

Menarik kan?
Apa tunggu lagi?
Fastabiqul Khairat!

Saturday, June 11, 2011

CERITERA CINTA 1 MALAM: KISAH MAJLIS ILMU

Adakah cinta yang kalian fikirkan itu adalah cinta yang ingin kukongsikan di sini? Ini adalah cinta luar biasa. Cinta ini bisa menyalurkan energi untuk mendapatkan cinta yang lebih banyak dan lebih besar lagi. Cinta yang bisa menghantarkan kita kepada Sang Pemilik Cinta. InsyaAllah.

cinta adalah kata kerja(credit to Freedom)

Hanya satu malam, satu sesi, satu bulatan, satu hati dan satu ikatan telah melahirkan sebuah kisah cinta luar biasa ini. Sebagai buah tangan untuk kali ini, ingin kukongsikan sebuah kisah cinta ini agar kalian turut merasa energi cinta yang membangkitkan kemahuan untuk bercinta dengan-Nya. InsyaAllah.

Kisah cinta: Majlis Ilmu

Kumpulan cinta (credit to addin love)


Pada suatu petang yang damai, sekumpulan hati telah berkumpul di dalam sebuah masjid dalam rangka menambah iman, menambah ilmu dan memperkukuh ukhuwwah. Lalu, dalam kemanisan berbincang, tiba-tiba kumpulan itu didatangi oleh seorang wanita Arab yang terburu-buru, berlari-lari anak ke arah mereka. Mereka kehairanan. Wanita itu lalu penuh semangat bersalaman dengan setiap dari mereka dengan penuh kecintaan dan kekaguman. Lantas apakah yang dilakukan oleh wanita itu menurut perkiraanmu? 

Subhanallah, terkedu seribu bahasa mereka melihat perlakuan wanita tersebut. Wanita itu menadah tangannya dengan penuh kobaran semangat serta keikhlasan, ia berdoa dengan penuh pengharapan, mendoakan majlis ilmu itu agar diberkati Allah, ia berdoa agar majlis ilmu itu tetap istiqomah... Subhanallah! Tanpa mengenal siapa, tanpa mengenal nama, tanpa pertalian apa-apa, sebuah cinta terlahir petang itu. Alangkah indahnya cinta itu. Cinta yang tiadalah punca selain kecintaan kepada Allah. 

Cinta yang terdasar dari iman kerana kita mengetahui, ukhuwwah itu saudaranya iman. Maka, pasti! Cinta kepada Allah lah yang telah menurunkan kecintaan kepada wanita itu untuk bercinta dengan sekumpulan hati itu. Alhamdulillah, satu lagi kisah cinta terjalin. Rahmat dari-Nya, kurniaan tak ternilai!

Maka, masihkah kalian ingin berpaling dari cinta ini? Di mana cinta ini telah termaktub dalam sebuah hadis cinta..inilah dalil cinta majlis ilmu...renungkanlah dan jentiklah iman agar tersedar dari mimpi yang lena.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda:

Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki
para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t.
Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa
memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis
yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di
mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah
memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan
langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar,
para malikat naik ke langit.



Allah s.w.t bertanya para malaikat meskipun Allah mengetahui pergerakan mereka:
“Dari mana kamu datang?”

Malaikat menjawab:“Kami datang dari tempat hamba-hambaMu di dunia.
Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta berdoa memohon dari-Mu.”


Allah s.w.t berfirman:“Apakah yang mereka pohonkan.?”

Para Malaikat menjawab:“Mereka memohon Syurga dari-Mu.”

Allah berfirman:“Apakah mereka pernah melihat Syurga-Ku?”

Para Malaikat menjawab:“Belum, wahai Tuhan.”
Allah berfirman:“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Syurga-Ku?”

Malaikat berkata lagi:“Mereka juga memohon daripada-Mu perlindungan.”


Allah berfirman:“Mereka pohon perlindungan-Ku dari apa?”

Malaikat menjawab:“Dari Neraka-Mu, wahai tuhan.”

Allah berfirman:“Apakah mereka pernah melihat Neraka-Ku?”

Malaikat menjawab:“Belum.”

Allah berfirman:“Bagaimanakah agarnya akan terjadi seandainya mereka dapat melihat Neraka-Ku.”

Malaikat terus berkata:“Mereka juga memohon keampunan-Mu.”

Allah berfirman:“Aku sudah mengampuni mereka. Aku telah kurniakan kepada
mereka apa yang mereka pohon dan Aku telah berikan ganjaran pahala
kepada mereka sebagaimana yang mereka pohonkan.”


Malaikat berkata lagi:“Wahai tuhan kami, di antara mereka terdapat seorang
hamba-Mu. Dia penuh dengan dosa, sebenarnya dia tidak berniat untuk
menghadiri majlis tersebut, tetapi setelah dia melaluinya dia terasa
ingin menyertainya lalu duduk bersama-sama orang ramai yang berada di
majlis itu.”





Allah berfirman:“Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak dicelakakan dengan majlis yang mereka adakan.”