Siapa Sang Penguasa Utama? |
Sang Penguasa...
Astaghfirullahal'azim....
Istighfar panjang saya mendengar sebuah kisah dari seorang sahabat ini. Adakah manusia mula lupa siapakah sang Penguasa yang sebenar?
Sedikit picisan kisah yang saya sempat kongsi bersama pembaca, iktibar buat kita semua...Dari sana...dari bumi UIA tercinta. Tujuannya bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sekadar mengutip ibrah dan untuk menundukkan hati kita bahawa sebesar mana pun kita, apa pun posisi yang kita pegang, ingatlah, masih ada Sang Penguasa yang Maha Besar di atas kita..
Jumaat Yang Barokah...
Minggu lepas, saya sempat menziarah sahabat-sahabat yang menyambut Ramadhan mereka di UIA. Rasa cemburu di hati memang sangat kuat. Melihat ada di antara mereka yang sudah hampir 3 kali khatam Qur'an, dan ramai yang di antara mereka semua sudah khatam.. Ah, jelesnye! Namun apakan daya, saya bekerja di Bangsar sepanjang cuti 2 bulan ini. Ramdhan tahun ini ternyata berbeza dengan sebelumnya. Kerinduan pada iftar, terawikh dan qiyam di Masjid SHAS begitu tebal. Sungguh bahagia menyambut ramadhan di sana. Iktikaf di masjid sepanjang masa..Sahabat-sahabatku, sungguh beruntung kamu semua! Tapi ingat, ramadhan itu bukan di UIA sahaja, ibadah itu bukan di masjid saja. Semuanya tergantung bagaimana kita mengisi Ramadhan ini sebaik-baiknya. Celakalah bagi orang masih lagi ketawa berdekah-dekah sedangkan Ramadhan berlalu begitu saja. Na'udzubillahi min dzalik...
Ini Kisahnya...
"Syera, kamu mahu dengar sebuah cerita. Cerita benar. Dan aku harap kamu tulislah dalam blog kamu. Sebagai pengajaran dan iktibar buat kita semua. Aku benar-benar tak boleh terima apa yang berlaku. Kerana aku berada di situ, di saat itu dan akulah mangsa itu." Seorang sahabat memula bicara.
Saya hilang punca. Tentang apa dan siapa. Saya menunggu sahabat ini menyambung bicara.
"Kamu tahu, kami semua dapat beriktikaf awal di masjid SHAS ini tahun ini. Awal lagi, Kami sudah diberi kebenaran minggu pertama lagi. Cuma masalahnya yang berlaku bermula dari pihak yang sepatutnya menyerahkan kunci bilik lambat menyerahkan kunci bilik kepada kami menyebabkan ramai sisters yang terpaksa tidur di ruangan solat dan bukan di dalam bilik."
Saya masih lagi mendengar.
"Satu malam...dalam pukul 11 lebih. Aku masih belum tidur, menyiapkan tugasan yang belum selesai. aku duduk di belakang sekali. di tempat yang tidak dapat terlihat oleh brothers."
Dan sememang ruangan solat sisters berada di tingkat 3 memang selamat jika di bahagian belakangnya.
"Malam itu kami lihat lampu di ruangan brothers telah ditutup. Fikiran kami lega, kerana sudah gelap. Namun tiba-tiba, pintu yang memisahkan ruangan brothers dan sisters di tingkat 3 dibuka kasar. Seorang lelaki (yang berpangkat 'ustaz' zahirnya) menjerit dan memaki-maki kami ibarat samseng. Aku terkedu Syera! Aku tidak sempat menutup aurat saat itu. Begitu juga dengan beberapa orang sisters yang berada tidak jauh dari aku. Lelaki itu dengan tanpa segan dan malu dengan perbuatannya menghalau kami dan dengan tanpa berdosa memandang kami yang masih tidak menutup aurat sepenuhnya. Dia memaki menyuruh kami keluar dari masjid itu kerana tidak ada kebenaran untuk tidur di masjid. Dia silap! Kami telah pun mendapatkan kebenaran itu."
Darahku membuak mendengar cerita sahabatku ini,
"Kau tau, seorang ukhti bangun dengan tindakan refleksnya menentang lelaki itu. Lebih kurang beginilah dialognya.."
Ukhti: Kenapa main masuk je? Kalau ya pun nak halau kami, berilah salam dulu, ketuklah pintu dulu? Kenapa tak respek kami? Kami boleh pergi, tak perlu maki-maki begini, Di mana akhlak anda sebagai seorang muslim?
Lelaki: Ah! Aku peduli apa! Kat sini, aku yang berkuasa. Dah, keluar-keluar! Sapa bagi korang semua tidur kat masjid ni?
Ukhti: Saya tahu awak berkuasa kat sini tapi ingat, Allah lagi berkuasa dari awak. Awak tidak menghormati kami muslimah. Beginikah caranya?
Lelaki itu terdiam dan tidak dapat membalas kata-kata ukhti itu. (Sebenarnya dialog ini masih panjang dan mungkin berbeza dengan yang sebenar kerana penulis hanya mendengar dari saksi. Keadaan sebenar lebih genting dan penuh emosi)
Lelaki itu dengan selambanya berjalan melalui sisters yang termangu tidak sempat tutup aurat dan menutup lampu lalu keluar dari ruang solat itu ke pintu yang dimasukinya tadi.
Apa Kata Hati?
Saya...Sedih...Rasa seperti Masjid Al-Aqsa pulak kan? Tidak dibenarkan beribadat di situ. Dan lagi.. Lelaki itu, kerana ingin menegakkan undang-undangnya, sehingga sanggup melanggar syariat Allah. Maruah muslimah yang sepatutnya dilindungi telah dirobek dan diperlecehkan.Bila merasakan dirinya berkuasa, sehingga hilang rasa kehambaan dan terlupa masih ada Sang Penguasa Utama di atasnya. Di manakah silapnya? Sistem? Iman? Jawablah dari hatimu...
No comments:
Post a Comment