Sunday, May 8, 2011

USRATI JANNATI


Saat ramai insan di sekelilingku sudah mula membuka lembaran baru dalam hidup mereka, aku masih di sini. Melunaskan sebuah perjalanan yang masih tak sudah. Sedikit masa dahulu, aku merasa lelah, aku merasa lemah, aku merasa bersendirian untuk menapaki jalan ini. Namun, lama kelamaan, berkat perkongsian semangat dari sahabat-sahabatku, aku kembali neutral. Kembali redha dengan siri perjalanan hidupku. Setiap yang berlaku, pasti Allah telah menyediakan sesuatu yang indah buat kita. Tarbiyah yang langsung untuk kita. Aku sangat-sangat yakin akan itu.

Perjalanan tarbiyahku selama hampir 6 tahun telah banyak mengubah aku dari aku yang dahulu hingga aku yang sekarang. Apakah tarbiyah itu? 'Membahasabumikan' nilai-nilai Islam. Alhamdulillah. Aku bukan mahu berbangga atau merasa selesa dengan apa yang aku perolehi selama ditarbiyah. Namun, aku perlu untuk menyatakan, berkongsi kepada semua, bahawa tarbiyah itu, kayu ukurnya bukan pada luaran sahaja bahkan lebih dari itu.

Aku terlalu ingin untuk melakarkan keindahan tarbiyah itu agar turut dinikmati oleh oleh insan-insan disekelilingku terutama keluargaku sendiri. Aku masih ingat lagi bagaimana aku masuk ke UIA ini dengan tanpa tahu membaca Al-Qur'an. Aku tak kenal apa-apa istilah bahasa Arab seperti 'tarbiyah', 'halaqah', usrah' dan banyak lagi. Dari dulu, aku suka untuk membaca Al-Qur'an, aku mahu solat..Tapi, aku tidak diajarkan dengan itu oleh ibubapaku. Mereka juga tidak punya ilmu agama seperti itu untuk mengajarku.

Kini, tarbiyah mengajarku segalanya tentang hidup. Aku melihat sahabatku mentarbiyah adik-adiknya, ibunya...sehinggakan ibunya kini penyokong program-program keagamaan, adik-adiknya diserapkan ke halaqah-halaqah di IPT masing-masing. Dan aku...aku masih tidak mampu menyalurkan apa yang kuperolehi ini kepada keluargaku. Aku, mahu sekali melihat keluargaku bersama-samaku.

Namun apa yang kudapat, pelbagai tohmahan, sindiran, kata-kata pedas dari adik-beradikku. Aku pernah dituduh mengikut tabligh sebaik mereka melihat perubahan pada penampilanku bertudung labuh. Setiap kali aku mahu pulang awal ke UIA, pasti menerima sindiran "Ada program lah tu! Program, program! Belajar je lah!" atau... "Asyik sangat dengan program! Sebab tu study kau teruk!" dan banyak lagi.

Aku akui, kelemahanku dalam pengurusan masa. Sehingga menyebabkan aku ketinggalan dalam pelajaran. Bagiku, bukanlah kerana aku sibuk dengan program tarbiyah..tetapi kerana kelemahan diriku sendiri dalam pengurusan. Aku sedar itu!

Akhir, pelajaran menjadi fitnah untuk aku mentarbiyah keluargaku. Mereka hilang kepercayaan dengan kemampuanku, kata-kataku sering dipandang enteng dan aku dipandang sebagai anak@adik@kakak yang 'lembab' dari segala segi. Aku cukup-cukup sedih dan terpukul dengan keadaan ini.

Kini, sahabat-sahabatku, akhawat kesayanganku, merekalah yang selalu memberikan semangat kepadaku untuk terus berjuang walau apa saja rintangan menanti di hadapan. Aku tidak akan mengalah. Walau sekarang aku dipandang lemah oleh keluargaku sendiri, namun aku berjanji untuk membersihkan semula namaku, membersihkan semula imejku di hadapan mereka. Aku mahu tunjukkan pada mereka bahawa aku punya kelebihan-kelebihan yang satu hari nanti mereka akan memerlukan aku sebagai tempat rujukan.

Aku mahu mendakwahi keluargaku satu hari nanti. Aku juga mahu mewujudkan halaqah dalam keluarga kami. Aku mahu adik-adikku hidup dengan berlandaskan syari'at. InsyaAllah. Aku yakin selagi mana aku sentiasa berbuat kerana Allah, Allah akan memelihara keluargaku. Ya Allah, aku bertaubat atas segala dosa-dosa yang kulakukan secara terang mahupun tersembunyi. Aku mahu Kau redha padaku, dan memberkati hidupku. Semoga dakwahku ini ikhlas keranaMu dan tersampai pada keluargaku juga. Ya Allah, berikanlah keluargaku petunjuk. Berikanlah petunjuk kepada mak, ayah, kaklong, abengah, dayah, awie, farah dan mirul. Amin.

Wednesday, April 20, 2011

MEREKA KEMBALI


Alhamdulillah. Mereka telah kembali dengan selamat. Rindunya untuk bertemu dengan mereka. Semoga Allah izinkan.

Akhawat...kuharapkan dapat berkongsi setiap detik, setiap momen yang antunna sempat reguk di sana. Semoga tersalur juga sedikit buat diriku.

InsyaAllah...

Sayang antunna fillah~

Tuesday, April 19, 2011

Re-Post: KAMI HARUS KEMBALI!


~Kerana, artikel ini sangat istimewa buat diriku. Kerana untuk memperingatkanku kembali tentang apa yang kujanji pada diri. Kerana itu, aku re-post kembali entry ini..Selamat membaca, sahabat sekalian.~

***********************

Pernahkah kalian melihat bagaimana anah panah dilepaskan? Atau menyaksikan sukan memanah dalam televisyen? Ya! Seperti itulah.

Anak panah terbujur yang siap dilepaskan dari busurnya, akan ditarik ke belakang dahulu sebelum dilepaskan. Setelah beberapa ketika, setelah si pemanahnya mengumpul konsentrasi dan fokus dengan targetnya, barulah anak panah itu dilepas laju menuju sasaran.

Ya! Seperti itulah. Memetik kata-kata yang saya terima dari Penebar Taushiyah(Facebook):

"Seperti anak panah,

terkadang kita perlu MUNDUR SEJENAK...

....BUKAN untuk MENYERAH

tapi untuk MENGHIMPUN KEKUATAN

lalu MAJU

MELESAT

menerobos APAPUN

...TEPAT ke sasaran"

Saya suka untuk berkongsi perumpamaan ini kerana merasakan itu yang saya alami selama ini. Memundurkan diri, untuk mengumpul kekuatan, lalu kembali melaju. Bukanlah maksud mundur itu adalah untuk mematikan langkah, atau lari dari musuh. Jauh sekali untuk meninggalkan medan perjuangan yang telah saya berjanji untuk berkomitmen dengannya. Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora.

Saya juga akui, kemunduran itu tidak boleh terlalu lama. Kerana jika terlalu lama, kita akan melarut. Melarut dengan kesantaian gaya hidup. Hanyut dengan kelapangan masa. Dan lama-kelamaan, hati kita akan mengeras. Tiada lagi daya ghirah agama menarik. Dan tiada lagi spirit ukhuwah tersalur. Tiada lagi energi iman memancar. Bahaya!

Saya sedari, ada yang masih menunggu tangan saya untuk dipegang. Ramai lagi hati-hati yang kekeringan minta disiram. Terlalu banyak hal yang menanti. Dan saya harus kembali. Biarpun agak terlewat dari yang lain, namun, inilah masanya. Semoga Allah beri kekuatan.

Begitu juga dengan hidup ini, kadang-kala kita memerlukan masa untuk mengumpul kekuatan. Lalu bangkit semula dengan penuh iman dan energi luar biasa. Kerana Allah telah berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat 15 hingga 16, yang bermaksud:

"Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang akan menyerangmu, maka janganlah kamu berbalik membelakangi mereka(mundur).

Dan barangsiapa mundur pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat)perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sungguh, orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah. Tempatnya ialah neraka Jahanam, dan seburuk-buruk tempat kembali."

Semoga diberi kekuatan. Kerana perjuangan ini masih panjang dan penuh liku. Saya harus kembali! Dedikasi buat diri, lagu dari Izzatul Islam, 'Kami Harus Kembali'.

Salam energi sukses.

Berkobar tinggi panaskan bumi
Membakar ladang dan rumah kami
Darah syuhada mengalir suburkan negeri
Tiada kata lagi ... kami harus kembali

Siapa dituduh siapa menuduh
Mulut lancang asal bicara
Kami mujahid bukan perusuh
Berjuang pertahankan agama
Tanah lahir kami ... akan tetap dibela

Walau tertatih kami berjalan
Susuri bukit lembah dan hutan
ukan karna takut kami berlari
dengan asma Allah ... kami akan kembali

berbekal iman yang paling utama
mujahid maju songsong senjata
pasukan Allah akan membela
mereka atau kami binasa
bergelar syuhada ... hidup dijalan mulia

AKU MAHU SEPERTI HUDHUD


Membaca artikel baru dari Saifulislam.com mengingatkan aku kembali kepada period awal dalam dunia pentarbiyahan. Waktu itu penuh dengan spirit untuk memberi segala-galanya. Di mana saja ada peluang dakwah, di situlah aku berada. Di mana ada 'unta merah', di situlah aku memasang jerat. Siapa taknak pahala seluruh isi dunia kan?

Kami saling berlumba-lumba mengajak orang kepada kebaikan. Apa saja peluang, direbut. Saat itu sangat indah. Pergantungan kepada Allah sangat tinggi. Pengorbanan yang dibuat ringan terasa. Infak bukan lagi sesuatu yang berat.

Alangkah indahnya andai kondisi itu stagnant hingga kini. Memang benarlah, iman ini yazid wa yankuz, naik dan turun. Mengapa, diriku yang dahulu makin pudar. Aku mahu menjadi seperti hudhud, yang inisiatif dan responsif. Peka terhadap keadaan sekeliling. Yang penting, ghirah. Ghirah kepada apa yang melanggar batas agama.

Semoga, aku bisa mencari identiti yang hilang seketika dek kelelahan dunia yang menipu ini.

p/s: tanya sama itu hud-hud, Lang mensilang, kui mengsikui. Kerana dia yang menerbangkan aku ke mari..


Sunday, April 17, 2011

INGIN BERSAMA


Aku masih di mahallah (kolej). Sendirian. Menyudahkan perjuangan FYP. Hari Isnin ini perlu jalankan satu lagi eksperimen. Saat ini, semangatku, sejujurnya, jatuh menjunam. Aku tidak dapat bersama kembara itu. Namun, aku harus akur, kadangkala, apa yang kita inginkan kita tidak akan dapat. Semoga akhawat selamat pergi dan selamat pulang. Aku sudah mula rindu pada mereka...

Friday, April 15, 2011

PILIHAN

Mood melukis dah datang. Sementara ia hadir, baik manfaatkan.



p/s: Percayalah...

Thursday, April 14, 2011

SEBUAH PENCARIAN

Mencari ruang-ruang dakwah. Untuk menyubur kembali lahan dakwah yang gersang seketika.


Mencari sisa-sisa semangat. Untuk menyambung sebuah perjuangan yang masih belum selesai.



Mencari lubang-lubang pekerjaan. Untuk menampung hidup buat beberapa waktu yang tinggal.



Mencari sela-sela waktu lapang. Untuk pulang berkhidmat buat keluarga tercinta.


Mencari diri yang hilang. Untuk menambah bekalan pulang ke negeri abadi.


Alhamdulillah masih bernafas..masih ada rezeki yang masuk ke mulut..ada kasih yang hadir dari ukhuwwah.

Hasbunallahu wa ni'mal wakil...