Wednesday, September 28, 2011

100%

Y.A.K.I.N tidak bermakna tanpa 100%


Bahagia.

Semalam yang terindah sepanjang buka semester baru ni. Semoga akan ada lagi momen-momen yang membahagiakan diriku selepas ini.

Alhamdulillah, terpanggil untuk berkongsi sebuah kisah yang diceritakan oleh murabbi baruku semalam. Kisah tentang keyakinan.


Keyakinan.

Dahulu, pada zaman tabi’in ada seorang ulama yang sangat warak. Ulama itu  sangat terkenal dengan sifat pemurahnya. Setiap kali mendapat duit, dia pasti akan menginfaqkan kesemua duit itu. Dan setiap kali selepas solat, di bawah sejadahnya pasti akan ada duit (mungkin ulama ini adalah wali Allah yang terpilih). Ceritanya mendapat duit setiap kali lepas solat tersebar. Seorang lelaki yang mendengar kisah itu kemudian ingin melakukan hal yang sama seperti ulama tersebut. Dia pun menginfakkan kesemua duitnya setiap kali mendapat duit. Maka, selepas solat, dia pun melihat di bawah sejadahnya. TIADA SATU SEN pun! Lelaki itu hairan. Dia telah melakukan seperti apa yang dilakukan oleh ulama itu tetapi mengapa dia tidak mendapatkan apa yang diperoleh oleh ulama itu. Lelaki itu lalu pergi berjumpa dengan ulama itu dan menceritakan apa yang berlaku padanya. Dan tahukan apa yang dijawab oleh ulama itu?

“Itulah perbezaan antara kau dan aku.”

Lelaki itu kehairanan. Wajahnya meminta penjelasan.

“Aku melakukan itu dengan sepenuh keyakinanku kepada Allah tanpa sedikit kurangpun. Dan kau, kau melakukan itu dengan penuh keraguan sama ada apa yang kau lakukan itu menjadi atau tidak.”


Ibrah.

Begitulah kuatnya kuasa keyakinan. Sama juga dengan keberadaan kita di jalan ini. Yakinlah bahawa Allah meletakkan kita di sini bukanlah sia-sia. Dan Allah tidak akan merugikan orang-orang yang bekerja untuk agama-Nya. Allah menyediakan sesuatu untuk kita. Pokoknya, yakin dan sabar. Keyakinan akan memandu kita untuk terus melaju. Kita yakin Allah akan menjaga kita. Dan apabila berjauhan dengan keluarga, kita yakin Allah akan memelihara keluarga kita. Kita yakin dengan apa telah kita korbankan dari segi masa, tenaga dan harta. Kita yakin, masa yang kita korbankan akan digantikan Allah dengan keberkahan waktu. Harta yang kita korbankan, Allah gantikan dengan kemurahan rezeki. Tenaga yang kita korbankan, Allah gantikan dengan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk beribadah di waktu malam. Pokoknya, yakinlah 100%.


Refleksi Diri.

Aku sedar keyakinanku masih belum penuh 100%. Dan sebab itu aku masih perlahan. Itu juga yang dikatakan oleh bekas murabbi yang sangat kucinta. Katanya,

“Syeera masih tak yakin berada dijalan ini. Masih goyah.Tiada apa yang mampu makcik buat. Semuanya terserah pada diri Syeera. Syeera perlu bina kekuatan jiwa, perlu teguhkan keyakinan. Banyakkan ibadah, kukuhkan hubungan dengan Allah.”

Kata-kata itu sangat benar. Kerana keraguan itu, aku jatuh. Aku melemah. Aku tidak berjuang untuk sebuah keyakinan itu. Kerana keraguan itu, aku hilang manisnya ‘rasa’, aku hilang tingginya ‘ghirah’, aku hilang hangatnya ‘ukhuwwah’ dan aku hilang kuatnya ‘tawakkal’.

Kesemuanya bertumpuk dan menjadikan diriku semakin ‘inferior’. Berjalan dengan penuh kesangsian dan ketidakyakinan. Rasa berat untuk memandang sekeliling. Rasa menjauh dari lingkungan kesolehan. Semakin hari semakin selesa dengan keadaan itu. Menjadikan aku bahagia sendiri.

Tapi aku sedar kembali, hakikat yang berlaku pada diri. Diri ingin bangkit kembali. Aku ingin ‘polish’ kembali apa yang malap. Terlalu banyak yang hilang dari diriku. Sehingga kini masalah keyakinan menjadi hambatan. Keyakinan untuk berubah.

“Adakah aku mampu berubah?”

Kerana sudah terlalu banyak yang hilang dari diriku.




Monday, September 26, 2011

MONOLOG

Mengapa begitu kusut sekali perasaan yang aku rasakan saat ini? Bagaikan terperangkap dalam sebuah terowong gelap yang sangat panjang. Begitu meronta-ronta perasaan ini.


gelap.tapi aku percaya ada cahaya dihujungnya


Semua yang berlaku pada aku masih tidak dapat membuka hati, mata hati dan masih tak dapat menyedarkan aku hakikat yang sebenarnya. Mengapa begitu kerasnya hati seorang manusia bernama 'aku' ini?

Dan lagi..kembali berulang lagi. Dan lagi. Setelah itu, lagi dan lagi. Berulang kembali tanpa sesal. Mengapa? Dan semua itu memberitahu padaku yang taubatku masih belum diterima. Namun, mengapa saat kusujud, mohon ampun, begitu ampuh sekali hati ini, begitu laju sekali air mata ini mengalir. Sehingga aku merasakan 'ikhlas'nya taubatku itu. 


Bukan untuk hipokrit, namun bersikap realistik. Memang kadang-kala ada benarnya sebuah kata-kata, 


              "Mudah untuk berubah, tapi tak mudah untuk kekal dengan perubahan itu."

Aku perlukan kekuatan untuk terus teguh. Aku perlukan petunjuk untuk terus terpimpin dalam setiap yang kulakukan. Aku mahu hati yang lembut. Hati yang jujur. Hati yang mengenal Allah. Hati yang berharap Allah. Hati yang takkan berpaling pada dosa silamnya lagi. 

Wahai diri, aku mahu tanya..

"Bagaimana hubunganmu dengan Allah?"


ya, seperti ini. pasti kan ada cahaya menanti!



Friday, September 23, 2011

KISAH TERKENAL

Harum wangi syuhada
Saat syahid menjemputnya
Bergetar jiwa yang mengiringinya
Tak henti menyebut kalimatullah
Allahu Allahu
Laa ilaha illallah


Ini Kisah Noramfaizul



Pagi itu menyapaku awal. Seusai solat Subuh, aku turun untuk menonton televisyen. Dalam hati, tertunggu-tunggu siaran berita pagi itu tapi sayang tiada. Rancangan pagi itu tidak menarik minatku. Di bahagian bawah siaran itu, mataku tertangkap akan tulisan yang bergerak tentang berita terkini yang berlaku di Mogadishu, Somalia. Zzuup! Meremang bulu romaku. Aku pun tidak tahu mengapa. Sewaktu terbaca berita tentang kematian seorang jurukamera Bernama, Arwahyarham Noramfaizul, hatiku bergetar. Suatu perasaan menusuk. Ganjil sekali. Aku mencapai telefon bimbitku, terus kutaip tentang berita itu dan menghantarnya kepada ibuku di kampung. Aku pun tidak tahu mengapa aku harus berbuat begitu.

Hatiku masih dalam debaran. Apakah yang berlaku dengan diriku? Duduk serba tidak kena. Tidak lama selepas itu, siaran Berita Terkini pun ke udara. Dapatlah ku tahu berita penuh tentang itu. Namun, masih juga aku serba tidak kena. Mataku bergenang, hatiku sebak, seakan sedih akan pemergian arwah. Namun, siapa arwah? Aku langsung tidak pernah mengenalinya. Tapi, itulah yang berlaku, seakan kehilangan yang berlaku pada diriku. Bercampur baur dengan kekaguman terhadap arwah yang bagiku, aku yakin itulah namanya syahid. Dia pergi dalam satu misi bantuan kemanusiaan di Mogadishu. Apakah belum murni tujuannya? Semoga arwah mendapat syahid.

Kisahnya masih belum terhenti di situ. Sewaktu kami berhalaqah minggu lepas, sempat juga menyentuh isu ini. Dan seorang ukhti bertanya, “Akak, itu kira mati syahid ke?”.

Murabbiku menjawab. Dan aku sangat-sangat puas hati dan sebulat suara dengan jawapan murabbiku. Beginilah lebih kurang jawapannya.

“Wallahu’alam. Tapi kita lihat apakah tujuan arwah berada di situ. Atas misi kemanusiaan membantu mangsa-mangsa di Mogadishu. Dan lagi, menurut apa yang diceritakan oleh rakan sekerja, keluarganya, semuanya menunjukkan arwah punya peribadi yang baik. Dia membahasakan dirinya dengan rakan sekerjanya dengan panggilan ‘abang’ dan ‘adik’. Kalau kita lihat, orang sekarang lebih suka guna ‘aku’ ‘kau’ kan? Tapi tidak bagi arwah. Arwah juga datang dari keluarga yang baik-baik. Isterinya juga baik, bertudung. Kalau akhawat nak tahu, salah satu tanda mati syahid ni, orang tu sewaktu hidupnya langsung tidak dikenali. Tapi, bila waktu kematiannya, satu isi bumi mengetahuinya. Kita tengok arwah, dia dikenali tak sebelum ni? Tak kan? Tapi bila saat kematiannya, terus namanya disebut-sebut, satu Malaysia kenal. Tak kira dari  pihak kerajaan atau pembangkang, masing-masing mengangkatnya sebagai wira negara. Satu Malaysia mengenali sebagai wira selepas kematiannya. Inilah salah satu tanda mati syahid. Wallahu’alam. Kita doakan arwah berada bersama golongan syuhada di sana.”

Melalui jawapan murabbiku itu, sekali lagi meremang bulu romaku. Aku teringat kisah seorang sahabat pada zaman Rasulullah, Uwais al-Qarni.


Ini Kisah Uwais al-Qarni



Uwais Al-Qarni, seorang pemuda miskin yang tidak dikenali dikalangan orang kebanyakkan ketika itu dan pemuda ini hidup di zaman Rasulullah namun tidak pernah bertemu baginda. Walaubagaimanapun,mengikut sesetengah pendapat mengatakan Uwais juga tergolong sebagai sahabat Rasulullah walaupun tidak pernah bersua..ini kerana Uwais sangat2 berhajat menemui Rasulullah, namun ketaatan menjaga ibunya yang sudah uzur menyebabkan Uwais terpaksa memendamkan hasrat di hati..

Sehinggalah selepas berkali-kali meminta izin, akhirnya ibunya membenarkan Uwais menemui Rasulullah, tetapi dengan syarat membawa bersama ibunya..Uwais lantas bersama ibunya menunggang unta untuk menemui Rasulullah dengan jarak perjalanan 400 lebih km...Namun, ketika baru meneruskan perjalanan, ibunya jatuh sakit yang kuar menyebabkan tidak berdaya menunggang unta..lantas, tahukah anda, Uwais sendiri mengendong ibunya dalam perjalanan ditengah-tengah padang pasir...Bayangkan lah menggendong dalam perjalanan yang amat jauh...baru sepertiga perjalanan, ibunya meninggal dunia dan dikuburkan di tempat itu..

Uwais dalam kesedihan meneruskan perjalanan menemui Rasulullah.Setibanya di sana, Uwais bertanyakan seseorang di manakah rumah Rasulullah..Uwais sangat-sangat berhajat menemui Rasulullah..Lantas terus menangis orang itu sehingga tidak dapat berkata-kata...Ditanya Uwais pada seorang yang lain, menangis pula orang yang lain itu..Sehinggalah datangnya Saidina Umar dan Saidina Ali dan menyatakan Rasulullah baru sahaja wafat dan bertanya siapakah namanya..Uwais memberitahu namanya Uwais Al-Qarni...Mendengar sahaja nama Uwais Al-Qarni, terus Saidina Umar dan Saidina Ali berkata, "Ya Uwais, doakanlah aku"...Uwais terkejut apabila disuruh begitu...

Rupa-rupanya, Rasulullah pernah memberitahu sahabat-sahabat bahwa, baginda akan mempunyai teman di syurga..Dan sahabat-sahabat semuanya berharap merekalah yang akan menjadi teman Rasulullah...Namun, dijawab Rasulullah, temannya itu lelaki yang sebegini dan sebegini, namanya Uwais Al-Qarni..tidak terkenal di kalangan manusia, malah sangat miskin orangnya, namun namanya harum di kalangan penduduk langit dan terkenal di sana...Itulah dia Uwais Al-Qarni...Doanya terus sampai pada RabbNya..sebab itulah Rasulullah memberitahu apabila berjumpa Uwais, mintalah Uwais mendoakan kamu...Subhanallah..Apa Rahsia Uwais Al-Qarni sehingga martabatnya begitu tinggi di sisi Allah? Uwais ternyata seorang anak yang taat, menjaga ibunya sehingga ibunya meninggal dunia...Hidup di zaman Rasulullah tetapi tidak sempat menemui baginda kerana ketaatan kepada ibunya...


Ini Kisahku

Apa yang boleh dirumuskan, mungkin, menurut apa yang diceritakan oleh ibu arwah Noramfaizul, beliau seorang anak yang baik. Alangkah bangganya seorang ibu mempunyai anak yang mati syahid. Subhanallah.

Sahabat semua, marilah kita perhalusi kembali. Adakah kita benar-benar telah berbuat baik kepada ibu kita? Telah berbakti kepada ibu kita? Mungkin rasa ganjil dan serba tak kena yang saya alami sebelum ini adalah tanda Allah memberikan ‘signal’ agar saya lebih halus, lebih teliti dan lebih sensitif dengan adab dan akhlak terhadap ibu saya. Tiba-tiba jadi rindu pada ibu..

Wednesday, September 21, 2011

JALAN

Dua bulan telah berlalu. Dan selama dua bulan juga aku rasa jauh dari wasilah-Nya. Sedangkan Allah telah berfirman dalam Surah al-Maidah:35;

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah(jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berjihadlah di jalan-Nya, agar kamu beruntung."

Aku sedar, semuanya datang dari dalam diri aku sendiri. Bagaimana aku bertindak dan membuat pilihan. Dan aku telah memilih untuk tidak bersusah payah berjiddiyyah untuk mencari wasilah Allah itu. Aku tidak menuding jari pada sesiapa. Kesemuanya terletak di atas pundakku. 

Tak payahlah aku nak merasakan tiada semangat atau tiada ruhi yang mendorong aku untuk menulis sesuatu yang mendatangkan kebaikan. Semuanya hilang kerana aku tidak bersama berada di atas medan. Bagaimana mahu memberi jika kita tiada apa untuk diberi, betul? 

Bagaimana mahu menyentuh hati orang melalui tulisan jika diri sendiri pun tidak merasakan apa-apa. Tiada lagi ghirah untuk mengambil tahu akan dunia sekeliling, tentang akhbar islami, tentang dakwah dan tarbiyah. Jika tiada lagi semua ini, bagaimana nak memberi kepada orang? Adakah ini yang selalu disebut-sebut oleh 'orang dakwah' sebagai futur?

Teringat sebuah nukilan kata-kata yang kena benar dengan situasi aku sekarang ini.


"Mungkin, bukan cuma Ka'ab yang sempat merasakan keanehan itu. Kita pun secara sedar atau tidak, pernah merasa ada sesuatu yang mengganjal. Semangat untuk aktif tiba-tiba mengendur. Dan keasyikan pun muncul saat diri cuma sebagai penonton."
 Ah! Aku butuh semangat saat ini! Dan aku sedar, cukup sedar dan tahu yang kekuatan dan semangat itu hanya akan datang dari iman. Iman itu bertambah dengan ibadah dan berkurang dengan kemaksiatan. Tapi mengapa aku masih tak dapat nak hadapi keadaan ini?


Aku rindu zaman ketika aku memberikan segalanya untuk da'wah ini.  
Aku rindu zaman ketika nasyid ghuroba menjadi lagu kebangsaan.
Aku rindu zaman ketika hadir di liqo adalah kerinduan, dan terlambat adalah kelalaian.
Aku rindu zaman ketika halaqoh adalah kebutuhan, bukan sekedar sambilan apalagi hiburan. 
Aku rindu zaman ketika membina adalah kewajiban, bukan pilihan apalagi beban dan paksaan. 
Aku rindu zaman ketika dauroh menjadi kebiasaan, bukan sekedar pelengkap pengisi program yang dipaksakan. 

Aku rindu semua itu! Tapi..sekarang bukan lagi masa untuk merasa lemah. Siapa yang lemah akan tercicir dari jalan ini. Siapa yang perlahan akan tertinggal dari kapal dakwah yang terus berlayar laju. Aku tidak mahu menjadi salah seorang dari mereka yang berguguran.

Resolusiku. Telah pun dibuat. Tinggal lagi untuk dilaksanakan. Istiqomah. Dalam diam, jauh dalam sudut hati, aku takut untuk hadapi keputusan akhir, melihat bagaimana aku selepas ini. Berjayakah aku dalam menghadapi diri dan berjiddiyyah atau aku akan terus gugur ibarat bunga-bunga kering yang kehabisan madu?

Aku mencari jalan pulang.

malu bertanya, sesat jalan


Doakan diriku ya?


Monday, September 5, 2011

BLANK TAHAP SILING


Kadang-kala manusia mengambil jalan mudah untuk melupakan segala masalahnya. 'LARI'! Ya, dengan lari dari masalah. Lari sejauh-jauhnya sehingga akhirnya ia tak sedar yang sebenarnya ia masih berlari dalam dunianya sendiri. Cuma yang bezanya, ia sudah jauh meninggalkan dunia sekelilingnya. Sudah jauh. Minda dan jiwanya sudah menolak 'dunia luar' sepenuhnya. Kerana ingin lari dari masalah, ia terperangkap dalam dunia ilusi ciptaannya sehingga melihat dunia ini ibarat logamaya yang tidak bererti. Ya, dunia ibarat fatamorgana. Tapi kita tidak dapat menolak yang dunia ini juga ladang untuk kita menuai bekal ke akhirat. 


Manusia itu hilang pedoman, hilang arah dan tujuan. Ia masih mahu lari dari dunia nyata. Jauh. Sehingga akhirnya dunia ilusinya menyelubungi hidupnya. Tiada lagi cahaya dari luar. Ia dalam kegelapan, kekeliruan...teraba-raba mencari jalan keluar. 


Jiwanya kosong. Mindanya kabur. Blurr... Blank. Matanya tidak nampak dunia luar. Sudah terlalu blank. Blank tahap siling. Itu mungkin sesuai untuk menggambarkan kebuntuannya.


Bagaimana? Bagaimana mahu kita bantu manusia seperti ini? Apabila diri dalamannya sendiri sudah menolak untuk dibantu. Sudah menepis tangan-tangan yang mahu memimpinnya. Beritahu saya, bagaimana lagi mahu kita bantu manusia seperti itu? 


Mahu saja kubelah dadanya, kusiram dengan suci air zam-zam. Biar bersih dari gelora masalah yang melanda. Mahu saja kuambil otaknya, untuk di'brainscan'. Tolonglah!!!


Aku kebuntuan. Doa..setakat ini hanya itu yang mampu aku usahakan untuk melihat ia terus bertahan.
Semoga ia diberi kekuatan untuk melawan belengu hidupnya. Semoga ia akan menerima cahaya yang ingin masuk ke dalam dunia ilusinya itu..

Cahaya itu sudah datang untuk masuk ke dalam rumahnya...semoga ia terbuka hati untuk menerima cahaya itu.



Tuesday, August 16, 2011

SANG PENGUASA

Siapa Sang Penguasa Utama?


Sang Penguasa...

Astaghfirullahal'azim.... 
Istighfar panjang saya mendengar sebuah kisah dari seorang sahabat ini. Adakah manusia mula lupa siapakah sang Penguasa yang sebenar?

Sedikit picisan kisah yang saya sempat kongsi bersama pembaca, iktibar buat kita semua...Dari sana...dari bumi UIA tercinta. Tujuannya bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sekadar mengutip ibrah dan untuk menundukkan hati kita bahawa sebesar mana pun kita, apa pun posisi yang kita pegang, ingatlah, masih ada Sang Penguasa yang Maha Besar di atas kita..


Jumaat Yang Barokah...

Minggu lepas, saya sempat menziarah sahabat-sahabat yang menyambut Ramadhan mereka di UIA. Rasa cemburu di hati memang sangat kuat. Melihat ada di antara mereka yang sudah hampir 3 kali khatam Qur'an, dan ramai yang di antara mereka semua sudah khatam.. Ah, jelesnye! Namun apakan daya, saya bekerja di Bangsar sepanjang cuti 2 bulan ini. Ramdhan tahun ini ternyata berbeza dengan sebelumnya. Kerinduan pada iftar, terawikh dan qiyam di Masjid SHAS begitu tebal. Sungguh bahagia menyambut ramadhan di sana. Iktikaf di masjid sepanjang masa..Sahabat-sahabatku, sungguh beruntung kamu semua! Tapi ingat, ramadhan itu bukan di UIA sahaja, ibadah itu bukan di masjid saja. Semuanya tergantung bagaimana kita mengisi Ramadhan ini sebaik-baiknya. Celakalah bagi orang masih lagi ketawa berdekah-dekah sedangkan Ramadhan berlalu begitu saja. Na'udzubillahi min dzalik...


Ini Kisahnya...

"Syera, kamu mahu dengar sebuah cerita. Cerita benar. Dan aku harap kamu tulislah dalam blog kamu. Sebagai pengajaran dan iktibar buat kita semua. Aku benar-benar tak boleh terima apa yang berlaku. Kerana aku berada di situ, di saat itu dan akulah mangsa itu." Seorang sahabat memula bicara.

Saya hilang punca. Tentang apa dan siapa. Saya menunggu sahabat ini menyambung bicara.

"Kamu tahu, kami semua dapat beriktikaf awal di masjid SHAS ini tahun ini. Awal lagi, Kami sudah diberi kebenaran minggu pertama lagi. Cuma masalahnya yang berlaku bermula dari pihak yang sepatutnya menyerahkan kunci bilik lambat menyerahkan kunci bilik kepada  kami menyebabkan ramai sisters yang terpaksa tidur di ruangan solat dan bukan di dalam bilik."

Saya masih lagi mendengar.

"Satu malam...dalam pukul 11 lebih. Aku masih belum tidur, menyiapkan tugasan yang belum selesai. aku duduk di belakang sekali. di tempat yang tidak dapat terlihat oleh brothers."

 Dan sememang ruangan solat sisters berada di tingkat 3 memang selamat jika di bahagian belakangnya. 

"Malam itu kami lihat lampu di ruangan brothers telah ditutup. Fikiran kami lega, kerana sudah gelap. Namun tiba-tiba, pintu yang memisahkan ruangan brothers dan sisters di tingkat 3 dibuka kasar. Seorang lelaki (yang berpangkat 'ustaz' zahirnya) menjerit dan memaki-maki kami ibarat samseng. Aku terkedu Syera! Aku tidak sempat menutup aurat saat itu. Begitu juga dengan beberapa orang sisters yang berada tidak jauh dari aku. Lelaki itu dengan tanpa segan dan malu dengan perbuatannya menghalau kami dan dengan tanpa berdosa memandang kami yang masih tidak menutup aurat sepenuhnya. Dia memaki menyuruh kami keluar dari masjid itu kerana tidak ada kebenaran untuk tidur di masjid. Dia silap! Kami telah pun mendapatkan kebenaran itu."

Darahku membuak mendengar cerita sahabatku ini,

"Kau tau, seorang ukhti bangun dengan tindakan refleksnya menentang lelaki itu. Lebih kurang beginilah dialognya.."

Ukhti: Kenapa main masuk je? Kalau ya pun nak halau kami, berilah salam dulu, ketuklah pintu dulu? Kenapa tak respek kami? Kami boleh pergi, tak perlu maki-maki begini, Di mana akhlak anda sebagai seorang muslim?

Lelaki: Ah! Aku peduli apa! Kat sini, aku yang berkuasa. Dah, keluar-keluar! Sapa bagi korang semua tidur kat masjid ni?

Ukhti: Saya tahu awak berkuasa kat sini tapi ingat, Allah lagi berkuasa dari awak. Awak tidak menghormati kami muslimah. Beginikah caranya?

Lelaki itu terdiam dan tidak dapat membalas kata-kata ukhti itu. (Sebenarnya dialog ini masih panjang dan mungkin berbeza dengan yang sebenar kerana penulis hanya mendengar dari saksi. Keadaan sebenar lebih genting dan penuh emosi)

Lelaki itu dengan selambanya berjalan melalui sisters yang termangu tidak sempat tutup aurat dan menutup lampu lalu keluar dari ruang solat itu ke pintu yang dimasukinya tadi.


Apa Kata Hati?

Saya...Sedih...Rasa seperti Masjid Al-Aqsa pulak kan? Tidak dibenarkan beribadat di situ. Dan lagi.. Lelaki itu, kerana ingin menegakkan undang-undangnya, sehingga sanggup melanggar syariat Allah. Maruah muslimah yang sepatutnya dilindungi telah dirobek dan diperlecehkan.Bila merasakan dirinya berkuasa, sehingga hilang rasa kehambaan dan terlupa masih ada Sang Penguasa Utama di atasnya. Di manakah silapnya? Sistem? Iman? Jawablah dari hatimu...




Thursday, August 11, 2011

DIAM

Belum mampu menghamburkan segala yang tercatat dalam hati..untuk tempoh ini..sangat sukar untuk meluahkan...

izinkan diriku berDIAM seketika...