Wednesday, September 21, 2011

JALAN

Dua bulan telah berlalu. Dan selama dua bulan juga aku rasa jauh dari wasilah-Nya. Sedangkan Allah telah berfirman dalam Surah al-Maidah:35;

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah(jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berjihadlah di jalan-Nya, agar kamu beruntung."

Aku sedar, semuanya datang dari dalam diri aku sendiri. Bagaimana aku bertindak dan membuat pilihan. Dan aku telah memilih untuk tidak bersusah payah berjiddiyyah untuk mencari wasilah Allah itu. Aku tidak menuding jari pada sesiapa. Kesemuanya terletak di atas pundakku. 

Tak payahlah aku nak merasakan tiada semangat atau tiada ruhi yang mendorong aku untuk menulis sesuatu yang mendatangkan kebaikan. Semuanya hilang kerana aku tidak bersama berada di atas medan. Bagaimana mahu memberi jika kita tiada apa untuk diberi, betul? 

Bagaimana mahu menyentuh hati orang melalui tulisan jika diri sendiri pun tidak merasakan apa-apa. Tiada lagi ghirah untuk mengambil tahu akan dunia sekeliling, tentang akhbar islami, tentang dakwah dan tarbiyah. Jika tiada lagi semua ini, bagaimana nak memberi kepada orang? Adakah ini yang selalu disebut-sebut oleh 'orang dakwah' sebagai futur?

Teringat sebuah nukilan kata-kata yang kena benar dengan situasi aku sekarang ini.


"Mungkin, bukan cuma Ka'ab yang sempat merasakan keanehan itu. Kita pun secara sedar atau tidak, pernah merasa ada sesuatu yang mengganjal. Semangat untuk aktif tiba-tiba mengendur. Dan keasyikan pun muncul saat diri cuma sebagai penonton."
 Ah! Aku butuh semangat saat ini! Dan aku sedar, cukup sedar dan tahu yang kekuatan dan semangat itu hanya akan datang dari iman. Iman itu bertambah dengan ibadah dan berkurang dengan kemaksiatan. Tapi mengapa aku masih tak dapat nak hadapi keadaan ini?


Aku rindu zaman ketika aku memberikan segalanya untuk da'wah ini.  
Aku rindu zaman ketika nasyid ghuroba menjadi lagu kebangsaan.
Aku rindu zaman ketika hadir di liqo adalah kerinduan, dan terlambat adalah kelalaian.
Aku rindu zaman ketika halaqoh adalah kebutuhan, bukan sekedar sambilan apalagi hiburan. 
Aku rindu zaman ketika membina adalah kewajiban, bukan pilihan apalagi beban dan paksaan. 
Aku rindu zaman ketika dauroh menjadi kebiasaan, bukan sekedar pelengkap pengisi program yang dipaksakan. 

Aku rindu semua itu! Tapi..sekarang bukan lagi masa untuk merasa lemah. Siapa yang lemah akan tercicir dari jalan ini. Siapa yang perlahan akan tertinggal dari kapal dakwah yang terus berlayar laju. Aku tidak mahu menjadi salah seorang dari mereka yang berguguran.

Resolusiku. Telah pun dibuat. Tinggal lagi untuk dilaksanakan. Istiqomah. Dalam diam, jauh dalam sudut hati, aku takut untuk hadapi keputusan akhir, melihat bagaimana aku selepas ini. Berjayakah aku dalam menghadapi diri dan berjiddiyyah atau aku akan terus gugur ibarat bunga-bunga kering yang kehabisan madu?

Aku mencari jalan pulang.

malu bertanya, sesat jalan


Doakan diriku ya?


Monday, September 5, 2011

BLANK TAHAP SILING


Kadang-kala manusia mengambil jalan mudah untuk melupakan segala masalahnya. 'LARI'! Ya, dengan lari dari masalah. Lari sejauh-jauhnya sehingga akhirnya ia tak sedar yang sebenarnya ia masih berlari dalam dunianya sendiri. Cuma yang bezanya, ia sudah jauh meninggalkan dunia sekelilingnya. Sudah jauh. Minda dan jiwanya sudah menolak 'dunia luar' sepenuhnya. Kerana ingin lari dari masalah, ia terperangkap dalam dunia ilusi ciptaannya sehingga melihat dunia ini ibarat logamaya yang tidak bererti. Ya, dunia ibarat fatamorgana. Tapi kita tidak dapat menolak yang dunia ini juga ladang untuk kita menuai bekal ke akhirat. 


Manusia itu hilang pedoman, hilang arah dan tujuan. Ia masih mahu lari dari dunia nyata. Jauh. Sehingga akhirnya dunia ilusinya menyelubungi hidupnya. Tiada lagi cahaya dari luar. Ia dalam kegelapan, kekeliruan...teraba-raba mencari jalan keluar. 


Jiwanya kosong. Mindanya kabur. Blurr... Blank. Matanya tidak nampak dunia luar. Sudah terlalu blank. Blank tahap siling. Itu mungkin sesuai untuk menggambarkan kebuntuannya.


Bagaimana? Bagaimana mahu kita bantu manusia seperti ini? Apabila diri dalamannya sendiri sudah menolak untuk dibantu. Sudah menepis tangan-tangan yang mahu memimpinnya. Beritahu saya, bagaimana lagi mahu kita bantu manusia seperti itu? 


Mahu saja kubelah dadanya, kusiram dengan suci air zam-zam. Biar bersih dari gelora masalah yang melanda. Mahu saja kuambil otaknya, untuk di'brainscan'. Tolonglah!!!


Aku kebuntuan. Doa..setakat ini hanya itu yang mampu aku usahakan untuk melihat ia terus bertahan.
Semoga ia diberi kekuatan untuk melawan belengu hidupnya. Semoga ia akan menerima cahaya yang ingin masuk ke dalam dunia ilusinya itu..

Cahaya itu sudah datang untuk masuk ke dalam rumahnya...semoga ia terbuka hati untuk menerima cahaya itu.



Tuesday, August 16, 2011

SANG PENGUASA

Siapa Sang Penguasa Utama?


Sang Penguasa...

Astaghfirullahal'azim.... 
Istighfar panjang saya mendengar sebuah kisah dari seorang sahabat ini. Adakah manusia mula lupa siapakah sang Penguasa yang sebenar?

Sedikit picisan kisah yang saya sempat kongsi bersama pembaca, iktibar buat kita semua...Dari sana...dari bumi UIA tercinta. Tujuannya bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun sekadar mengutip ibrah dan untuk menundukkan hati kita bahawa sebesar mana pun kita, apa pun posisi yang kita pegang, ingatlah, masih ada Sang Penguasa yang Maha Besar di atas kita..


Jumaat Yang Barokah...

Minggu lepas, saya sempat menziarah sahabat-sahabat yang menyambut Ramadhan mereka di UIA. Rasa cemburu di hati memang sangat kuat. Melihat ada di antara mereka yang sudah hampir 3 kali khatam Qur'an, dan ramai yang di antara mereka semua sudah khatam.. Ah, jelesnye! Namun apakan daya, saya bekerja di Bangsar sepanjang cuti 2 bulan ini. Ramdhan tahun ini ternyata berbeza dengan sebelumnya. Kerinduan pada iftar, terawikh dan qiyam di Masjid SHAS begitu tebal. Sungguh bahagia menyambut ramadhan di sana. Iktikaf di masjid sepanjang masa..Sahabat-sahabatku, sungguh beruntung kamu semua! Tapi ingat, ramadhan itu bukan di UIA sahaja, ibadah itu bukan di masjid saja. Semuanya tergantung bagaimana kita mengisi Ramadhan ini sebaik-baiknya. Celakalah bagi orang masih lagi ketawa berdekah-dekah sedangkan Ramadhan berlalu begitu saja. Na'udzubillahi min dzalik...


Ini Kisahnya...

"Syera, kamu mahu dengar sebuah cerita. Cerita benar. Dan aku harap kamu tulislah dalam blog kamu. Sebagai pengajaran dan iktibar buat kita semua. Aku benar-benar tak boleh terima apa yang berlaku. Kerana aku berada di situ, di saat itu dan akulah mangsa itu." Seorang sahabat memula bicara.

Saya hilang punca. Tentang apa dan siapa. Saya menunggu sahabat ini menyambung bicara.

"Kamu tahu, kami semua dapat beriktikaf awal di masjid SHAS ini tahun ini. Awal lagi, Kami sudah diberi kebenaran minggu pertama lagi. Cuma masalahnya yang berlaku bermula dari pihak yang sepatutnya menyerahkan kunci bilik lambat menyerahkan kunci bilik kepada  kami menyebabkan ramai sisters yang terpaksa tidur di ruangan solat dan bukan di dalam bilik."

Saya masih lagi mendengar.

"Satu malam...dalam pukul 11 lebih. Aku masih belum tidur, menyiapkan tugasan yang belum selesai. aku duduk di belakang sekali. di tempat yang tidak dapat terlihat oleh brothers."

 Dan sememang ruangan solat sisters berada di tingkat 3 memang selamat jika di bahagian belakangnya. 

"Malam itu kami lihat lampu di ruangan brothers telah ditutup. Fikiran kami lega, kerana sudah gelap. Namun tiba-tiba, pintu yang memisahkan ruangan brothers dan sisters di tingkat 3 dibuka kasar. Seorang lelaki (yang berpangkat 'ustaz' zahirnya) menjerit dan memaki-maki kami ibarat samseng. Aku terkedu Syera! Aku tidak sempat menutup aurat saat itu. Begitu juga dengan beberapa orang sisters yang berada tidak jauh dari aku. Lelaki itu dengan tanpa segan dan malu dengan perbuatannya menghalau kami dan dengan tanpa berdosa memandang kami yang masih tidak menutup aurat sepenuhnya. Dia memaki menyuruh kami keluar dari masjid itu kerana tidak ada kebenaran untuk tidur di masjid. Dia silap! Kami telah pun mendapatkan kebenaran itu."

Darahku membuak mendengar cerita sahabatku ini,

"Kau tau, seorang ukhti bangun dengan tindakan refleksnya menentang lelaki itu. Lebih kurang beginilah dialognya.."

Ukhti: Kenapa main masuk je? Kalau ya pun nak halau kami, berilah salam dulu, ketuklah pintu dulu? Kenapa tak respek kami? Kami boleh pergi, tak perlu maki-maki begini, Di mana akhlak anda sebagai seorang muslim?

Lelaki: Ah! Aku peduli apa! Kat sini, aku yang berkuasa. Dah, keluar-keluar! Sapa bagi korang semua tidur kat masjid ni?

Ukhti: Saya tahu awak berkuasa kat sini tapi ingat, Allah lagi berkuasa dari awak. Awak tidak menghormati kami muslimah. Beginikah caranya?

Lelaki itu terdiam dan tidak dapat membalas kata-kata ukhti itu. (Sebenarnya dialog ini masih panjang dan mungkin berbeza dengan yang sebenar kerana penulis hanya mendengar dari saksi. Keadaan sebenar lebih genting dan penuh emosi)

Lelaki itu dengan selambanya berjalan melalui sisters yang termangu tidak sempat tutup aurat dan menutup lampu lalu keluar dari ruang solat itu ke pintu yang dimasukinya tadi.


Apa Kata Hati?

Saya...Sedih...Rasa seperti Masjid Al-Aqsa pulak kan? Tidak dibenarkan beribadat di situ. Dan lagi.. Lelaki itu, kerana ingin menegakkan undang-undangnya, sehingga sanggup melanggar syariat Allah. Maruah muslimah yang sepatutnya dilindungi telah dirobek dan diperlecehkan.Bila merasakan dirinya berkuasa, sehingga hilang rasa kehambaan dan terlupa masih ada Sang Penguasa Utama di atasnya. Di manakah silapnya? Sistem? Iman? Jawablah dari hatimu...




Thursday, August 11, 2011

DIAM

Belum mampu menghamburkan segala yang tercatat dalam hati..untuk tempoh ini..sangat sukar untuk meluahkan...

izinkan diriku berDIAM seketika...


Thursday, July 28, 2011

Sayu...

Ramadhan bakal menjengah...
Bulan yang menyatukan silaturrahim..
Sudah lama tidak bertemu dengannya...
Bilakah kemarau persengketaan ini bakal berakhir?

Rindu hadirlah..
cinta bersemilah..
Kemaafan, suburlah...
Biar lara terus berlalu..
Biar kasih tumbuh semula...

Sungguh dalam hati ada kesal dan rindu...
Mengapa ini terjadi..
Ayah..bila mahu kembali?

Sunday, June 19, 2011

KASIH AYAH

Kasih ayah...


Di bawah ini, tulisan lama. Kisah lama. Namun kisahnya masih lagi berkesinambungan. Hati ini begitu pedih. Pilu mengenangkan seorang ayah. Walau di mana dia berada. Semoga Allah beri petunjuk dan memeliharanya. Sungguh, tipulah andai diri ini mengatakan tidak pernah memikirnya..bahkan setiap hari. Dia pernah membesarkanku. Pernah menyayangiku. Selamat Hari Bapa buat ayahku. 

********************
Afwan terlebih dahulu...

Dia baru lepas menangis semahunya. Matanya merah menyala. Keluar saja dari bilik interview tadi, terus lagi air mata menghujan..Tadi, di depan tiga orang ustaz, dia telah menangis. Dia geram! Kerana dia terlalu lemah untuk menjadi keras. Lemah untuk menyembunyikan perasaannya. Malu sungguh!

Interview tentang apa?

Interview zakat. Ustaz itu sangat pandai menggunakan kata-katanya. Pandai sungguh psik pemikirannya. Biar apa pun masalah yang terpaksa diceritakan kepada tiga orang ustaz tadi, namun hanya satu perkara yang buat dia tak dapat menahan perasaan lalu 'burst' terus di situ.

Satu ayat dari seorang ustaz yang duduk paling kiri sekali...

"Walau apa pun yang ayah awak dah lakukan...ingatlah waktu awak kecil dulu, dia pernah mendukung awak, menimang awak...dia pernah sayang awak...Ingat yang itu saja..."

Air matanya terus berderai di situ. Semua ustaz menenangkannya dan memberinya masa untuk bertenang.. Mungkin dialah calon yang paling lama dalam bilik itu...

Dan lagi ustaz itu menyambung...

"Kesian...tua nanti dia hidup sunyi..seorang diri..ada penyakit...tak siapa tahu..."

Memang ada kebenarannya..Memang...Tapi, bila terkenangkan apa yang telah berlaku ke atas dirinya dan keluarganya, hati bagaikan membara semula..

Istighfar...

Dalam sudut hatinya....

"Dia tetap seorang ayah. Harus dihormati. Hanya doa agar ayahnya berubah dan kembali ke pangkal jalan. Menyesali segala kesalahan. Dan dirinya...inilah tugasnya sebagai seorang da'i untuk menegur, memperbaiki dan menyambung silaturrahim..."

Ayah dan ibu...
Itulah..permulaan kami...
Dapat melihat bulan dan matahari...

********************



SUDAH BERSIAP?


"Allahumma bariklana fi Rajab wa Sya'ban, wa balighna Ramadhan"

Bulan Rejab kini tinggal sisa. Sya'ban bakal menjengah sedikit waktu lagi. Kemudian, akan tibalah bulan penuh keberkahan, bulan yang dinanti, Bulan Ramadhan.

Namun, bagaimanakah persiapan kita untuk menempuhi bulan Ramadhan itu? Persiapan ruhi? Persiapan jasadi? Persiapan aqli? Sudahkan kita bersedia untuk masuk ke bulan tarbiyyah ini? Tidak sanggup rasanya untuk masuk ke bulan itu dengan 'tangan kosong'. Paling kurang, adalah sedikit buah tangan untuk kita bawa masuk ke bulan itu ya.

Setiap orang pasti masing-masing dengan persediaan tersendiri. Dari sudut ruhi, kita tingkatkan evaluasi ibadah kita. Bagaimana dengan qiyamullail, puasa, tilawah, hafalan dan solat sunat rawatib? Adakah semakin meningkat atau masih di tahap yang sama?

Dari sudut jasadi, kita perlu melakukan riadah bagi meningkatkan stamina supaya kita tak terkejut dengan perubahan fisiologi dalam badan kita. Stamina untuk bergerak di siang hari, terawikh di malamnya dan untuk bangun qiyamullai di sepanjang Ramadhan nanti. Kesemua ini perlu dipersiapkan dari sekarang, Kita tidak mahu hanya masuk ke bulan Ramadhan dengan sepintas lalu, mengharunginya tanpa spirit dan hambar. Lalu, pejam celik kita sudah keluar dari bulan tersebut.

Kita mahu menikmati seluruh kebaikan dan ganjaran yang Allah telah kurniakan kepada kita di bulan Ramadhan nanti. Bagaimana pula dengan persediaan aqli? Sudahkah kita semak kembali fiqh puasa? Niatnya masih ingat? Apa yang batalkan puasa? Dan yang penting, apa yang batalkan pahala puasa? Kelebihan-kelebihan, sunat-sunat yang kita harus lakukan sepanjang bulan puasa. Iktikaf? Bagaimana nak iktikaf? Apa syarat-syaratnya? Sudahkah kita sediakan ilmu-ilmu ini semua?

Bulan Ramadhan yang datang sekali setahun ini, sayang rasanya kalau kita biarkan ia berlalu seperti bulan-bulan lain. Tulisan kali ini lebih kepada reminder buat diri dan juga para pembaca. Semoga akan mampu mencetus mahu untuk berbuat sekarang. 

Teruskan dengan persiapan anda. Tingkatkan mana yang kurang. Lajukan mana yang perlahan. InsyaAllah, semoga bisa bertemu dengan Ramadhan kali ini. 

~Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna...~