Sunday, May 8, 2011

USRATI JANNATI


Saat ramai insan di sekelilingku sudah mula membuka lembaran baru dalam hidup mereka, aku masih di sini. Melunaskan sebuah perjalanan yang masih tak sudah. Sedikit masa dahulu, aku merasa lelah, aku merasa lemah, aku merasa bersendirian untuk menapaki jalan ini. Namun, lama kelamaan, berkat perkongsian semangat dari sahabat-sahabatku, aku kembali neutral. Kembali redha dengan siri perjalanan hidupku. Setiap yang berlaku, pasti Allah telah menyediakan sesuatu yang indah buat kita. Tarbiyah yang langsung untuk kita. Aku sangat-sangat yakin akan itu.

Perjalanan tarbiyahku selama hampir 6 tahun telah banyak mengubah aku dari aku yang dahulu hingga aku yang sekarang. Apakah tarbiyah itu? 'Membahasabumikan' nilai-nilai Islam. Alhamdulillah. Aku bukan mahu berbangga atau merasa selesa dengan apa yang aku perolehi selama ditarbiyah. Namun, aku perlu untuk menyatakan, berkongsi kepada semua, bahawa tarbiyah itu, kayu ukurnya bukan pada luaran sahaja bahkan lebih dari itu.

Aku terlalu ingin untuk melakarkan keindahan tarbiyah itu agar turut dinikmati oleh oleh insan-insan disekelilingku terutama keluargaku sendiri. Aku masih ingat lagi bagaimana aku masuk ke UIA ini dengan tanpa tahu membaca Al-Qur'an. Aku tak kenal apa-apa istilah bahasa Arab seperti 'tarbiyah', 'halaqah', usrah' dan banyak lagi. Dari dulu, aku suka untuk membaca Al-Qur'an, aku mahu solat..Tapi, aku tidak diajarkan dengan itu oleh ibubapaku. Mereka juga tidak punya ilmu agama seperti itu untuk mengajarku.

Kini, tarbiyah mengajarku segalanya tentang hidup. Aku melihat sahabatku mentarbiyah adik-adiknya, ibunya...sehinggakan ibunya kini penyokong program-program keagamaan, adik-adiknya diserapkan ke halaqah-halaqah di IPT masing-masing. Dan aku...aku masih tidak mampu menyalurkan apa yang kuperolehi ini kepada keluargaku. Aku, mahu sekali melihat keluargaku bersama-samaku.

Namun apa yang kudapat, pelbagai tohmahan, sindiran, kata-kata pedas dari adik-beradikku. Aku pernah dituduh mengikut tabligh sebaik mereka melihat perubahan pada penampilanku bertudung labuh. Setiap kali aku mahu pulang awal ke UIA, pasti menerima sindiran "Ada program lah tu! Program, program! Belajar je lah!" atau... "Asyik sangat dengan program! Sebab tu study kau teruk!" dan banyak lagi.

Aku akui, kelemahanku dalam pengurusan masa. Sehingga menyebabkan aku ketinggalan dalam pelajaran. Bagiku, bukanlah kerana aku sibuk dengan program tarbiyah..tetapi kerana kelemahan diriku sendiri dalam pengurusan. Aku sedar itu!

Akhir, pelajaran menjadi fitnah untuk aku mentarbiyah keluargaku. Mereka hilang kepercayaan dengan kemampuanku, kata-kataku sering dipandang enteng dan aku dipandang sebagai anak@adik@kakak yang 'lembab' dari segala segi. Aku cukup-cukup sedih dan terpukul dengan keadaan ini.

Kini, sahabat-sahabatku, akhawat kesayanganku, merekalah yang selalu memberikan semangat kepadaku untuk terus berjuang walau apa saja rintangan menanti di hadapan. Aku tidak akan mengalah. Walau sekarang aku dipandang lemah oleh keluargaku sendiri, namun aku berjanji untuk membersihkan semula namaku, membersihkan semula imejku di hadapan mereka. Aku mahu tunjukkan pada mereka bahawa aku punya kelebihan-kelebihan yang satu hari nanti mereka akan memerlukan aku sebagai tempat rujukan.

Aku mahu mendakwahi keluargaku satu hari nanti. Aku juga mahu mewujudkan halaqah dalam keluarga kami. Aku mahu adik-adikku hidup dengan berlandaskan syari'at. InsyaAllah. Aku yakin selagi mana aku sentiasa berbuat kerana Allah, Allah akan memelihara keluargaku. Ya Allah, aku bertaubat atas segala dosa-dosa yang kulakukan secara terang mahupun tersembunyi. Aku mahu Kau redha padaku, dan memberkati hidupku. Semoga dakwahku ini ikhlas keranaMu dan tersampai pada keluargaku juga. Ya Allah, berikanlah keluargaku petunjuk. Berikanlah petunjuk kepada mak, ayah, kaklong, abengah, dayah, awie, farah dan mirul. Amin.